Halaman

Jumaat, Julai 09, 2010

Suami dihukum gantung, isteri bebas



KOTA BHARU – Seorang peniaga kedai makan warga Thailand dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine, manakala isterinya dilepas dan dibebaskan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdullah Saopi, 46, setelah mendapati kes prima facie terhadapnya gagal disangkal pembela.

“Pihak pembela gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwa berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

“Mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan itu. Mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atasnya,” katanya.

Mohd Azman berkata, mengenai tertuduh kedua Yanidah Maerohkachi, 41, pula, mahkamah mendapati tiada bukti dia terbabit dengan urusan jual beli dadah.

“Tertuduh kedua berjaya menyangkal pertuduhan prima facie pihak pendakwaan ke atasnya.

“Kes prima facie pendakwaan terhadap tertuduh kedua gagal meragui keraguan yang munasabah dan tertuduh kedua dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Abdullah didapati bersalah mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 76.39 gram ketika ditahan di stesen minyak Caltex, Jalan Pasir Mas – Rantau Panjang dekat Pasir Mas kira-kira jam 7.10 malam pada 15 Disember 2006.:

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails