Halaman

Jumaat, Julai 30, 2010

Pengecat rumah dituduh cuba rasuah pegawai polis RM54,950

2010/07/30

KUALA LUMPUR: Seorang pengecat rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menawarkan rasuah wang bernilai RM54,950 kepada seorang pegawai polis, dua minggu lalu.

Yap Ten Ooi, 46, didakwa secara rasuah menawarkan wang sebanyak RM54,950 kepada Ketua Inspektor, M Suresh, 41, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, sebagai dorongan kepadanya untuk melepaskan tertuduh daripada ditangkap atas kesalahan memiliki dadah

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta tingkat 4, Vista Mutiara Off, Jalan Kepong di sini pada 8.15 malam, 15 Julai lalu.
Yap didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Azizun Mohamad, menawarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Adi Harman Mawardi memohon agar jaminan itu dikurangkan kerana tertuduh hanya mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM1,500.

Hakim Rozilah Salleh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails