Halaman

Jumaat, Julai 09, 2010

Pekerja restoran parah terkena peluru sesat


09/07/2010 7:06pm

JITRA – Seorang pekerja restoran makanan laut di Taman Dato’ Osman Aroff di sini, cedera parah selepas terkena peluru sesat, yang dilepaskan seorang lelaki ketika cuba menembak anjing liar dalam kejadian awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa, P. Rajagovallan, 65, dari Taman Desa Damai di sini, sedang menyapu sampah di restoran berkenaan apabila kedua-dua belah kakinya terkena kira-kira 30 butir peluru tabur yang dilepaskan seorang lelaki yang cuba menembak seekor anjing liar tetapi tersasar.

Anak mangsa, R. Mugunthan, 21, berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang rakan memaklumkan kejadian yang menimpa bapanya dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Apabila sampai di restoran makanan laut itu, beliau mendapati bapanya telah dihantar ke Hospital Jitra.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu, telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt. Sawaluddin Haminuddin mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 iaitu melepaskan tembakan hingga menyebabkan kecederaan. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails