Halaman

Isnin, Julai 05, 2010

Bapa mentua EXCO Pahang sangka bunyi tembakan daripada TV

2010/07/05

KUANTAN: Datuk Ahmad Baharuddin Akil, bapa mentua Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat, tidak menyangka bunyi tembakan di luar rumah ketika beliau sedang menonton televisyen awal pagi tadi rupa-rupanya membabitkan suspek yang memecah masuk ke rumahnya itu.

Ahmad Baharuddin berkata, ketika kejadian jam 3 pagi itu, beliau secara kebetulan sedang menonton sebuah filem aksi tembak-menembak.

"Sebelum kejadian, saya telah ke dapur untuk mengambil air dan masuk semula ke dalam bilik tidur. Bila payah nak tidur, saya pasang cerita, kebetulan cerita itu ada aksi tembak-menembak," katanya kepada pemberita di sini hari ini setelah empat lelaki ditembak mati oleh polis dalam satu kejadian samun di rumah Wan Adnan di Jalan Teluk Sisek di sini.

Ahmad Baharuddin berkata, mungkin disebabkan bunyi audio filem yang ditontonnya itu agak kuat, beliau tidak menyedari suspek telah masuk ke dalam rumah mereka.

Katanya, kejadian itu hanya disedari isterinya yang melihat dari tingkap anggota polis sedang mengepung rumah mereka.

"Ketika itu sembilan orang berada di dalam rumah termasuk dua pembantu rumah," katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, turut menziarahi keluarga terbabit di kediaman mereka.
Wan Adnan, bagaimanapun, gagal ditemubual pemberita. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails