Halaman

Sabtu, Julai 17, 2010

Siswi rempuh, cekup peragut


Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/07/17


SHAH ALAM: Tindakan berani pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM), memecut laju motosikalnya sejurus diragut bukan saja berjaya menangkap penjenayah terbabit, malah membantu polis menyelesaikan beberapa kes berkaitan ragut dan samun di sekitar daerah ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 23 tahun, menunggang motosikal menghadiri kuliah sebelum motosikalnya diekori seorang lelaki.

Sebaik tiba di Persiaran Raja Mud, motosikal ditungganginya dipintas penjenayah yang kemudian menyambar beg tangan yang diletak dalam bakul sebelum memecut laju motosikalnya menuju Seksyen 3.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, mangsa dengan berani mengejar penjenayah itu sejauh 1.5 kilometer hingga ke Jalan Jati, Seksyen 3, sebelum melanggar lelaki itu berdekatan satu pusingan U.

“Akibat rempuhan itu, mangsa dan suspek terjatuh dari motosikal masing-masing sebelum penjenayah terbabit yang cedera ringan cuba melarikan diri.

“Mangsa menjerit meminta tolong dan jeritannya didengar dua pegawai polis yang kebetulan berada di restoran berhampiran sebelum mereka bersama orang ramai mengejar penjenayah dan menahannya,” katanya.

Mangsa turut cedera ringan akibat terjatuh dari motosikal menerima rawatan di klinik berdekatan sebelum membuat laporan polis manakala beg tangannya ditemui semula.

Noor Azam berkata, berdasarkan pemeriksaan rekod jenayah, suspek berusia lewat 30-an dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di daerah ini mempunyai lima rekod dadah.

Dengan tertangkapnya suspek, polis menyelesaikan lima kes ragut di daerah ini. Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia direman mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai berhati-hati dan jangan sesekali memberi ruang dan peluang kepada penjenayah melakukan kerja jahat mereka.

“Saya harap orang ramai terutama wanita membawa beg tangan berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails