Halaman

Khamis, Julai 15, 2010

Cuepacs puji kakitangan awam

SEREMBAN - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini memuji kakitangan awam di seluruh negara kerana tiada tindakan tatatertib dikenakan terhadap mereka sepanjang pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 berlangsung di Afrika Selatan dari 11 Jun hingga 12 Julai lepas.

Presidennya, Omar Osman berkata, setakat ini Cuepacs tidak menerima laporan mengenai kakitangan awam dikena tindakan tatatertib termasuk menerima surat tunjuk sebab kerana kesalahan datang lambat ke pejabat, mengambil cuti kecemasan dan sebagainya ekoran menonton Piala Dunia.

"Kalau dulu kita ada terima laporan penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib kerana kesalahan datang lambat dan sebagainya sebab tengok bola punya hal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan tri tahunan Cuepacs Bahagian Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Katanya, ini bermakna mereka tahu tanggungjawab mereka sebagai kakitangan awam.

"Kali ini kita dapati yang terbaik dan inilah yang kita kehendaki agar penjawat awam menjaga imej mereka seiring dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu memantapkan lagi kakitangan awam," katanya.

Omar berkata, sebab lain kesalahan ini tidak berlaku kerana pada kali ini Cuepacs telah memberi taklimat awal iaitu jika hendak menonton Piala Dunia dan bimbang datang lewat ke pejabat maka jika perlu mereka mengambil cuti rehat.

"Saya berterima kasih kepada semua kakitangan awam kerana mengambil berat perkara ini," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails