Halaman

Khamis, Julai 15, 2010

800 batang kayu balak dirampas di Hutan Simpan Bintang Hijau




LENGGONG - Kira-kira 800 batang kayu balak bernilai lebih RM250,000 yang ditebang pembalak haram dirampas dalam satu serbuan oleh Jabatan Perhutanan Perak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Hutan Simpan Bintang Hijau dekat sini, hari ini.

Kayu-kayu balak termasuk yang siap digergaji itu ditemui di lapan lokasi hutan tersebut.

Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat dalam operasi yang bermula 5 pagi hingga 11 pagi itu membabitkan 21 pegawai jabatan dan SPRM dari Putrajaya dan Perak.


Jurucakap Jabatan Perhutanan berkata, sebuah jentolak, sebuah jip dan mesin pemotong turut dirampas.

Bercakap kepada pemberita yang menyertai operasi itu, beliau berkata, lokasi pembalakan haram itu membabitkan kawasan tadahan air.

Katanya, kegiatan berkenaan dipercayai telah berjalan sejak beberapa minggu lepas dan berdasarkan kawasan hutan yang ditebang, dianggarkan kayu balak bernilai kira-kira RM500,000 telah dibawa keluar sebelum ini.

Beliau berkata, sindiket pembalakan haram kini menggunakan taktik baru mengabui pihak berkuasa iaitu dengan membawa kayu yang siap digergaji.

Pasukan berkenaan terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer ke beberapa lokasi berkenaan kerana laluan kenderaan telah disekat dengan kayu balak.

Antara kayu balak yang dirampas itu ialah jenis chengal, meranti,merbau dan balau, katanya.

Kayu chengal adalah spesies termahal di pasaran dengan harga RM8,000 se tan manakala jenis lain pula antara RM4,500 dan RM8,000 tetapi harga pasaran gelap mungkin separuh daripada itu, tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails