Halaman

Rabu, April 27, 2011

Coretan terakhir guru sebelum ajal



TAIPING – “Saya tidak sangka coretan ‘Mempunyai firasat yang tidak berapa elok’ tertulis di laman web sosial Facebook Abdullah Zubair Ismail seakan petanda dia akan meninggalkan kami,” kata rakan sekerja, Mohd Noor Hisham Baharom, 48.

Abdullah Zubair, 27, yang berasal dari Taman Jitra, Kedah seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII mengajar bahasa Melayu dan sejarah serta guru Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) telah berkhidmat di sekolah terbabit selama setahun setengah.

Mohd Noor berkata, mereka menyedari kehilangannya apabila tugas arwah untuk memasang sistem siar raya (PA System) bagi perhimpunan sekolah tidak dilakukan seperti biasa dan diganti dengan guru lain.

“Kami sedih dengan pemergiannya kerana arwah seorang guru muda yang rajin dan komited dengan kerjanya, di samping tidak pernah merungut.

“Ini adalah kali keempat arwah ke bukit terbabit dan tidak menyangka ia kali terakhir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa dipercayai tergelincir di kawasan curam sejauh 30 meter dan dijumpai dalam keadaan tertiarap.

Menurutnya, terdapat kesan luka di dahi mangsa mungkin disebabkan hentakan dan mangsa ditemui lima kilometer dari kaki Bukit Larut.

“Mangsa ditemui jam 10.30 pagi dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

Seorang saksi, Wan Solahuddin Wan Abdul Kadir, 46, berkata, awalnya dia bersama pasukan Jabatan Hutan menemui mangsa, tetapi tidak menghampirinya.

Menurutnya, setelah mengesahkan itu mangsa, mereka menghubungi rakan sukarela lain untuk membantu.

“Kami nampak kesan tergelincir di batu, manakala kasut sebelah kanan mangsa tertanggal,” katanya.

Isteri mangsa, Norziah Zulkifli, 26, berkata, dia tidak menyangka minggu lalu adalah kali terakhir dia bertemu suaminya, ketika arwah menghantarnya pulang ke Tanjung Karang, Selangor.

Norziah berkata, arwah menghubunginya pada malam Sabtu lalu memberitahunya, ingin ke Bukit Larut tetapi dia melarang.

“Arwah ketika itu akur dengan permintaan saya supaya tidak pergi, bagaimanapun pada pagi Ahad, arwah telefon semula beritahu dia hendak pergi makan, tetapi tidak beritahu akan ke bukit itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Taiping, semalam.

Menurutnya, dia yang melangsungkan perkahwinan pada November 2009, kini mengandung empat bulan bekerja sebagai guru praktikal di SMK Sungai Burung, Tanjung Karang akan menamatkan praktikalnya Jun depan.

Penggal Parlimen Genap Tiga Tahun, Tiada Lagi Pilihan Raya Kecil


KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen tidak perlu diadakan selepas esok memandangkan penggal Parlimen ke-12 ini telah mencapai tempoh mandat tiga tahunnya, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

"Selepas tarikh itu, sekiranya berlaku kekosongan kerusi yang disebabkan oleh kematian atau penyandangnya hilang kelayakan, maka PRK (pilihan raya kecil) diadakan," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Beliau berkata perkara itu adalah sejajar dengan Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa suatu PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen sepertimana yang termaktub di dalam undang-undang.

Tarikh 28 April ialah hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008. Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April 2013.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata tempoh akhir bagi mengadakan PRK untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah berbeza, bergantung kepada tarikh kali pertama DUN berkenaan bersidang selepas pilihan raya umum lepas.

"Sepertimana Parlimen, PRK juga tidak boleh lagi diadakan bagi DUN dalam tempoh dua tahun sebelum mandat yang diberikan kepada kerajaan berakhir, kecuali ada keperluan khas" katanya.

Keperluan khas itu termasuklah jika berlaku situasi di mana kerajaan pusat atau negeri tidak lagi mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat atau DUN, menyebabkan kerajaan sedia ada hilang kelayakan untuk memerintah negara atau negeri.

"Jika speaker memaklumkan kepada SPR situasi di mana kerajaan sedia ada tidak boleh lagi membentuk kerajaan kerana hilang majoriti dalam dewan, PRK boleh diadakan.

"Tetapi setakat ini situasi ini tidak pernah berlaku. Walaupun di Dewan Rakyat kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga, tetapi masih mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan," katanya.

Selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008, sebanyak 16 PRK telah dijalankan, iaitu empat bagi kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN, membabitkan kos lebih RM11 juta.

Perincian perbelanjaan bagi setiap pilihan raya kecil ialah Permatang Pauh (RM409,000), Kuala Terengganu (RM325,416), Bukit Gantang (RM460,971), Bukit Selambau (RM318,000), Batang Ai (RM391,700), Penanti (RM514,600), Manik Urai (RM548,003), Permatang Pasir (RM461,367.93), Bagan Pinang (RM449,485), Hulu Selangor (RM1.2 juta), Sibu (RM1 juta), Batu Sapi (RM1.290 juta), Galas (RM1.047 juta), Tenang (RM1.1 juta), Merlimau (RM755,000) dan Kerdau (RM915,000).

Ditanya persediaan SPR untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, Abdul Aziz berkata badan itu belum bersedia sepenuhnya sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat ini.

"Pilihan raya umum ini perkara serius, banyak benda yang perlu kita sediakan, kita harap tidaklah diadakan secara mengejut-mengejut.

"Kita perlukan masa. Pilihan raya umum bukan perkara main-main, ia perkara serius dan banyak yang perlu kita lakukan," katanya tanpa menjelaskan maksud 'masa terdekat'.

Bagaimanapun beliau meminta masyarakat umum tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tarikh pilihan raya umum memandangkan kerajaan masih mempunyai banyak masa sebelum tempoh mandatnya berakhir.

"Kerajaan sekarang ada tempoh dua tahun lagi sebelum mandat berakhir pada April 2013, biarlah kerajaan sekarang mentadbir negara, mereka ada lima tahun," katanya.

-- BERNAMA

Selasa, April 12, 2011

Juruterbang maut helikopter terhempas


2011/04/12

HELIKOPTER  Bell 206 Long Ranger terhempas di Dataran Sibu, sementara gambar kecil, Muhyiddin (tiga dari kanan)  melawat  Sahimi di bilik bedah Hospital Sibu, semalam.
HELIKOPTER Bell 206 Long Ranger terhempas di Dataran Sibu, sementara gambar kecil, Muhyiddin (tiga dari kanan) melawat Sahimi di bilik bedah Hospital Sibu, semalam.
Pesawat terbabit nahas di Dataran Sibu ketika berlepas selepas iringi rombongan TPM

SIBU: Juruterbang helikopter Bell 206 Long Ranger yang membawa rombongan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bintangor, Sarikei dekat sini maut apabila pesawat itu terhempas di Dataran Sibu, selepas menurunkan tiga penumpangnya, termasuk Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Hafiz Abdul Halim.

Kejadian di hadapan Wisma Sanyan jam 1.50 tengah hari dipercayai berlaku ketika helikopter milik Sabah Air itu mahu berlepas ke Lapangan Terbang Sibu. Nahas menyebabkan pesawat remuk teruk, terutama di bahagian kipas.
Muhyiddin yang menaiki helikopter berasingan turut mendarat di dataran sama sebelum kejadian untuk memulakan programnya di sini selepas melakukan lawatan kerja ke Kanowit dan Bintangor.

Timbalan Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman turut meluangkan masa melawat mangsa di HS.

Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata Allahyarham Sahaimi menjalani pembedahan dan dibantu alat sokongan pernafasan, tetapi gagal diselamatkan kerana kecederaan serius

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan pesawat terhempas sebaik berada pada ketinggian kira-kira dua meter menyebabkan juruterbangnya tersepit sebelum dikeluarkan orang ramai.
Sementara itu, Muhyiddin mengucapkan takziah kepada keluarga Sahaimi yang meninggal dunia kira-kira tujuh jam selepas kejadian.

“Allahyarham meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara. Kita akan melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarganya,” katanya sebelum berlepas pulang ke ibu negara selepas lawatan kerja sehari ke bahagian ini dan Sarikei, malam tadi.

Muhyiddin turut menyalurkan bantuan peribadi bagi membiayai kos pengurusan jenazah Allahyarham.

Kapten Sahaimi Ghazali, 38, berasal dari Selangor meninggal dunia di Hospital Sibu (HS) jam 8.36 malam tadi akibat kecederaan parah pada paru-paru dan hati.

Isnin, April 04, 2011

Murid agama dibelasah guru meninggal


Oleh Rashidi Karim
bhnews@bharian.com.my
2011/04/04

SAIFUL SYAZANI  meninggal selepas tiga hari koma di  Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam. Gambar kecil,  Saiful Sopfidee,
SAIFUL SYAZANI meninggal selepas tiga hari koma di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam. Gambar kecil, Saiful Sopfidee,
Mangsa koma tiga hari akibat alami pendarahan dalaman

KANGAR: Murid Tahun Satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, yang koma sejak tiga hari lalu selepas dibelasah gurunya, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi semalam.

Mangsa yang juga anak yatim, menghembuskan nafas terakhir jam 8.30 pagi selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung akibat kejadian terbabit yang berlaku di bilik asrama sekolah agama itu, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, berkata murid berkenaan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik HSB dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman mati.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian terbabit, apatah lagi ia membabitkan kematian.

“Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini), akan sambung bagi tujuan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut kes itu.

Difahamkan, punca kejadian mangsa dibelasah dengan teruk kerana didakwa mencuri wang RM7 milik rakan sekelas.
Akhbar semalam melaporkan Saiful Syazani yang juga anak yatim dibelasah dengan kejam oleh gurunya dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Khamis lalu.

Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri hingga menimbulkan kemarahan guru berkenaan yang memukulnya tanpa belas kasihan.

Selepas memukul kepala, suspek dikatakan ‘naik minyak’ dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama mangsa mengalami masalah pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.

Suspek juga dikatakan sempat bersolat hajat selepas dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan mangsa.

Guru terbabit yang juga warden asrama sekolah itu menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, jam 8 malam hari kejadian.

Sementara itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman, berkata pihaknya tidak akan membuat sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan pihak polis.

"Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek yang juga guru sekolah ini tamat nanti," katanya.

Dalam pada itu, Saiful Sopfidee berkata, jenazah mangsa yang juga anak tunggal hasil perkongsian hidup dengan arwah isteri, Jahiyah Che Amat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduk, di sini, selepas solat Maghrib, semalam.

Beliau berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika mengulas kejadian itu berkata, pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan.

Catatan: Mengapakah sanggup dibuat begitu kepada anak murid yang hanya tahu keseronokan sahaja? Anak-anak yang masih tidak berakal dan hanya tahu seronok saja hendaklah didik dan diasuh denga kasih sayang dari seorang guru sehinggalah mereka ini dapat memahami dan mengetahui buruk dan baik terhadap sesuatu perkara atau perbuatan. Adakah guru itu sendiri tidak memahami hakikat pendidikan....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails