Halaman

Khamis, Julai 15, 2010

Masjid dan surau terima sumbangan untuk imarah bulan Ramadan




KUALA TERENGGANU - Sebanyak 487 buah masjid kerajaan dan mukim di negeri Terengganu bakal menerima sumbangan kewangan daripada kerajaan negeri untuk perbelanjaan program keagamaan pada bulan puasa ini.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Sheikh Harun Ismail berkata, bagi masjid negeri, kerajaan negeri memberikan sumbangan sebanyak RM2,000 manakala masjid mukim pula akan menerima RM1,000.

"Sumbangan itu bertujuan untuk menghidupkan lagi program-program keagamaan di masjid sepanjang bulan tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Sheikh Harun berkata, sumbangan serupa juga akan diberikan kepada 1,300 buah surau iaitu antara RM300 dan RM500 sebuah untuk tujuan yang sama.


Dalam pada itu, beliau berkata, masjid-masjid juga akan melancarkan tabung "Ihya' Ramadan" dan orang ramai bolehlah menghulurkan sumbangan pada tabung tersebut.

Sementara itu, JHEAT akan mengimport imam dari Universiti Al-Azhar Mesir untuk menjadi imam tarawih di masjid-masjid terpilih di Terengganu pada bulan puasa ini.

Di samping itu, katanya JHEAT juga akan menggunakan tenaga guru-guru Mesir dan Sudan yang bertugas di sekolah-sekolah menengah agama di negeri ini menjadi imam tarawih di daerah masing-masing.

Ketika ini, terdapat seramai 10 orang guru Mesir dan Sudan di negeri Terengganu, katanya.

Selain itu, Sheikh Harun berkata, pada bulan puasa ini, JHEAT akan meningkatkan rondaan bagi memastikan umat Islam tidak makan pada waktu siang hari.

Sehubungan itu, beliau meminta peniaga-peniaga bekerjasama tidak menjualkan makanan kepada orang Islam sebelum pukul 3 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails