Halaman

Ahad, Julai 25, 2010

Lima maut tiga nahas berasingan
Oleh Suzianah Jiffar, Tuty Haryanti Ahmad Rodzi, Poliana Ronnie Sidom dan Khairul Hamizy Ramlee
bminggu@bharian.com.my
2010/07/25

KEMALANGAN yang mengorbankan Abd Basir, manakala dua lagi parah di Kilometer 12 Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Bukit Putus, petang semalam.
KEMALANGAN yang mengorbankan Abd Basir, manakala dua lagi parah di Kilometer 12 Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Bukit Putus, petang semalam.
Enam lagi parah, kenderaan terbabas punca kemalangan mangsa parah

KUALA LUMPUR: Lima termasuk dua beradik maut, manakala enam lagi parah dalam tiga kemalangan berasingan di Kota Kinabalu, Kuala Terengganu dan Seremban dalam tempoh petang kelmarin hingga pagi semalam.

Nahas di Kota Kinabalu mengorbankan Wahid Abdullah, 37, dan sepupunya, Junjung Mohamad, 22, manakala empat ahli keluarga mereka parah selepas kereta dipandu Wahid terbabas lalu terperosok di bawah lori tangki di Kilometer (Km) 66, Jalan Beluran-Telupid, 250 km dari sini, jam 8 pagi semalam.
Keluarga malang berkenaan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu untuk pulang ke kampung di Lahad Datu sempena cuti hujung minggu.

Empat yang parah ialah isteri Wahid, Asibah Mashud, 37; anak mereka, Adzmir Wahid, 3, serta dua saudara mereka, Ahmad Kung, 36, dan Amir Paris, 16. Semua mangsa dari Kampung Pisang, Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintenden V Shivanathan, berkata Proton Saga dinaiki mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh tayar belakang lori tangki minyak kelapa sawit yang datang dari arah bertentangan sebelum terperosok ke bawah lori terbabit.

Di KUALA TERENGGANU, Mohd Masri Mat Ludin, 14, dan adiknya, Mohd Arif, 12, maut selepas motosikal mereka dirempuh kereta yang terbabas ketika cuba mengelak lembu di Kampung Padang Machang, kira-kira jam 8 malam kelmarin.
Seorang lagi adik mereka, Mohd Firdaus, 4, parah dan kini koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Tiga beradik dari Padang Tengir itu menaiki motosikal ditunggang Mohd Masri menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Beladau Kolam untuk menghantar Mohd Arif ke kem kelas malam.

Di SEREMBAN, seorang pegawai Jabatan Perhutanan, Abd Basir Hassan, 41, maut apabila kereta dipandu rakannya bertembung sebuah Perodua Kembara dari arah bertentangan yang terbabas ke laluannya di KM 12 Jalan Seremban-Kuala Pilah, Bukit Putus, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati Perodua Kembara dipandu seorang lelaki menghala ke Kuala Pilah terbabas ke laluan mangsa.

Abd Basir mati di tempat kejadian manakala rakannya serta pemandu Perodua Kembara parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails