Halaman

Khamis, Julai 15, 2010

Pelarasan Subsidi Dapat Pelbagai Reaksi NGO


KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama)-- Penyelarasan subsidi untuk beberapa barangan seperti gula dan petrol yang diumum hari ini diterima baik oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr David Quek berkata pengurangan subsidi gula sebanyak 25 sen sekilo akan memberi kesan yang baik kepada kesihatan rakyat kerana ia boleh mengurangkan pengambilan gula dalam pemakanan.

"Pesakit diabetes telah meningkat dengan banyak. Hasil kajian pada 2006 mendapati 14 hingga 15 peratus rakyat menghidap diabetes berbanding hanya tujuh ke lapan peratus 10 tahun lepas," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata peningkatan ini jelas menunjukkan taraf kesihatan rakyat yang semakin menurun dan rakyat kurang prihatin dalam menjaga kesihatan.

"Oleh itu kami menyokong pengurangan subsidi gula ini demi kesihatan rakyat, dan kami berharap rakyat boleh mengurangkan pengambilan gula," katanya.



Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang-Barang Runcit Lean Hing Chuan ketika dihubungi turut sependapat dengan Dr David.

"Kerajaan dah banyak tanggung subsidi...tak baguslah. Bila subsidi kurang, orang ramai akan kurang makan gula. Boleh kurangkan penyakit diabetes," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N.Marimuthu berkata pengurangan subsidi harga petrol RON95 sebanyak 5 sen itu tidak memberi kesan besar kepada rakyat.

"Kerajaan telah banyak belanjakan wang semata-mata untuk tampung subisidi yang semakin meningkat. Jadi sewajarnya rakyat menerima keputusan ini dengan hati terbuka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari Khamis.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata satu sistem subsidi yang telus patut diwujudkan bagi memastikan subsidi dinikmati oleh golongan yang layak.

"Subsidi terutamanya gas turut dinikmati oleh golongan yang tidak layak seperti golongan kaya," katanya.

Beliau berkata rakyat tidak boleh bergantung terus kepada subsidi yang ditanggung oleh kerajaan seperti barang keperluan dan rakyat sewajarnya memikirkan alternatif lain.

Nadzim turut menyeru pihak berkuasa membuat pemantauan berkala bagi menangani masalah peniaga yang suka menaikkan harga barangan kesan pengurangan subsidi minyak.

Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Stesesn Minyak (PDAM) Datuk Zulkifli Abdul Mokti pula berkata persatuan itu menyambut baik pengurangan subsidi harga petrol dan berpendapat pengguna harus bijak dalam menggunakan barangan kawalan supaya bebannya tidak terlalu dirasai.

"Tapi rakyat Malaysia tidak kisah tentang perkara ini, dan terus menggunakan barang-barang tanpa berhemat selain hanya bergantung kepada kerajaan untuk mengurangkan beban mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails