Halaman

Jumaat, Julai 09, 2010

Ketua UMNO bebas hukuman



KOTA BHARU - Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Mohd Fauzi Ismail dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM138,210 pada 2005.:

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Mohd Azman Husin memutuskan demikian setelah menolak rayuan pihak pendakwaan selepas meneliti mitigasi kedua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mohd Azman semasa membacakan keputusan penghakimannya memberitahu, saksi pendakwaan (SP17) adalah rakan sejenayah dan keterangan yang diberikannya dan SP10 adalah tidak kredibal.

“Pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti bahawa responden mempunyai pengetahuan yang sah mengenai tindak tanduk SP17.

“Mahkamah Tinggi tidak boleh mengganggu dapatan fakta yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen dan dengan ini rayuan perayu di tolak,” katanya.

Mohd Fauzi diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed sementara pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dihadapi, Mohd Fauzi didakwa menerima wang hasil aktiviti haram RM91,650 daripada Mohd Syahbuddin Hashim, 26, di hadapan Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 7 malam pada 6 Januari 2005.

Bagi pertuduhan kedua pula, beliau didakwa menerima RM46,560 hasil aktiviti haram daripada Wan Ibrahim Wan Setapa, 43, di Pejabat Umno Bahagian Kubang Kerian, dekat sini, antara jam 1 tengah hari dan 2 petang, 10 Januari 2005.

Mohd Fauzi dituduh melakukan dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pada 22 Januari 2008, Hakim Mahkamah Sesyen, di sini, memutuskan Mohd Fauzi tidak perlu membela diri berikutan kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi dua pertuduhan itu.

Namun, pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, memfailkan rayuan ke mahkamah tinggi dan kes itu didengar semula sehingga Hakim Mohd Azman semalam memutuskan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini dikekalkan.:

Mohd Fauzi ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah semalam bersyukur atas keputusan itu.

“Walau apa keadaan sekalipun yang benar tetap benar. Saya merayu kepada semua pihak supaya menerima hakikat bahawa keadaan sudah pulih. Marilah sama-sama kita membina kembali UMNO Bahagian Kubang Kerian ke arah yang lebih baik,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails