Halaman

Sabtu, Julai 10, 2010

PM Gesa MIC Tidak Gunakan Sistem Kasta Untuk Pilih Pemimpin


KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa MIC supaya tidak menggunakan sistem kasta sebagai faktor utama atau penentu untuk memilih pemimpin di semua peringkat.

Pemimpin perlu dipilih berdasarkan keupayaan, kebolehan dan kewibawaan untuk berkhidmat kepada masyarakat India, katanya.

"Hanya kerana anda berasal daripada kasta rendah, tidak bermakna anda tidak boleh memegang jawatan dalam MIC. Adakah anda akan dikutuk selama-lamanya? "Tidak.

MIC perlu menjadi sebuah parti yang moden dan progresif yang bersedia melakukan perubahan dan tidak terikut-ikut dengan sistem kasta untuk memilih pemimpin.

"Kita patut lihat mereka...adakah beliau pemimpin terbaik bagi masyarakat India? Jika beliau adalah pemimpin yang terbaik, tidak kisah dari mana asal-usul beliau. "Dalam Umno, kami tidak mengamalkan cara itu.

Dalam Umno, terdapat anak penoreh getah, anak nelayan jadi Menteri Besar, ada anak petani jadi Menteri, ini merupakan pergerakan sosial.

"Kita mahu melihat pergerakan sosial di negara ini dan itu penting bagi masyarakat India," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-64 di sini.

Najib turut menggesa MIC mencontohi "perubahan" yang berlaku dalam Umno sekarang.

"Inilah yang saya maksudkan, perubahan. Umno melakukan perubahan, anda juga perlu sama-sama melakukan perubahan, berubah untuk lebih baik.

"Dan saya berjanji, sebagai Perdana Menteri saya akan bersikap adil kepada semua kaum," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), yakin MIC mampu melakukannya sekiranya parti itu bersedia berubah mengikut peredaran masa dan juga menerima isyarat yang diberikan masyarakat India.

"Apakah isyarat yang diberikan masyarakat India? Itu, anda kena tanya diri anda sendiri, saya tidak mahu cakap bagi pihak masyarakat India," katanya.

Perdana Menteri turut memberikan kata-kata nasihat kepada pemimpin MIC supaya mengelakkan politik dalaman yang hanya akan memusnahkan parti.

"Jangan terlalu terbawa-bawa dengan politik MIC. Politik dalaman hanya akan memusnahkan MIC. Jika anda sedar mengenai perkara itu dan anda sedar yang anda perlu memberikan khidmat lebih baik kepada masyarakat India, dengan itu MIC akan menjadi sebuah parti yang lebih kuat dan lebih dihormati," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan pemimpin MIC agar menyelesaikan kemelut kepimpinan parti melalui cara yang dapat memperkukuhkan parti dan bukan memusnahkan parti.

Najib turut mengingatkan para perwakilan mengenai sejarah dalam parti bahawa mendiang Tun V.T. Sambanthan dan Tan Sri V. Manickavasagam juga pernah menghadapi masalah kepimpinan yang telah menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti.

"Kita tidak mahu perkara serupa berulang. Ketika kita bakal menghadapi pilihan raya umum ke-13, anda perlu selesaikan masalah kepimpinan melalui cara yang akan memperkukuhkan parti, bukan musnahkan MIC.

"Saya tidak mahu campur tangan, saya tiada penyelesaiannya. Anda perlu cari jalan penyelesaian yang dapat memperkukuhkan kepimpinan MIC, tetapi jangan bergaduh dan musnahkan MIC.

"Inilah rayuan saya kepada anda, jangan gaduh dan mengetuai pasukan sehingga membawa kepada kemusnahan MIC. Pilih pemimpin anda untuk menjadikan MIC sebuah parti yang lebih baik, lebih kuat dan dihormati masyarakat India," katanya.

Najib berkata MIC juga perlu menjadi lebih inklusif dan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) India yang "baik" untuk memenuhi keperluan masyarakat India. "Saya tekankan NGO India yang 'baik'.

Bekerjasama dengan mereka, jangan pinggirkan mereka. Bersikap lebih inklusif dengan NGO India yang baik.

"Jika saya boleh bekerjasama dengan mereka, kenapa pula MIC tidak boleh bekerjasama dengan mereka? Bekerjasama dengan mereka, berkhidmat untuk masyarakat India," katanya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden Umno menekankan agar semua parti komponen BN, supaya melakukan proses muhasabah diri iaitu melihat secara jujur dan ikhlas segala kekuatan dan kelemahan masing-masing selepas keputusan merosot pada pilihan rayau umum ke-12 yang lepas.

"Kita pertahankan kekuatan dan perbaiki kelemahan kita supaya kita boleh muncul pada pilihan raya umum akan datang dengan kekuatan yang baru. Adalah penting kita melakukan perkara ini," katanya. Dalam pada itu, Najib memuji MIC sebagai sebuah parti komponen yang setia kepada BN sejak ditubuhkan.

Katanya sejak negara merdeka, MIC telah bersama-sama parti komponen BN yang lain mengharungi 12 pilihan raya umum, berjaya mengembangkan sokongan masyarakat India untuk menyokong Parti Perikatan yang kemudiannya bertukar kepada BN.

"MIC merupakan sebahagian daripada landskap politik tanah air sejak penubuhannya selama 64 tahun.

"Oleh itu, sewajarnya, pada hari ini saya selaku Pengerusi BN dan bagi pihak rakan-rakan yang lain (parti komponen BN yang lain), perlu mengiktiraf MIC dalam konteks menyokong Parti Perikatan dan BN selama ini," katanya.

Beliau juga mengakui peranan MIC dalam membangunkan masyarakat India di negara ini khususnya dalam bidang pendidikan dan peluang ekonomi di negara ini.

Sebagai contoh, beliau berkata Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) adalah inisiatif yang baik dalam usaha MIC membantu kaum itu dalam bidang pendidikan.

Katanya melalui biasiswa MIED, telah berjaya melahirkan bilangan doktor, jurutera dan peguam yang ramai terdiri daripada kaum India.

Najib turut mengiktiraf sumbangan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dalam parti, BN dan juga kerajaan.

Katanya Samy Vellu ketika menjawat jawatan dalam Kabinet, tidak jemu-jemu mengetengahkan isu dan masalah berkaitan masyarakat India.

"Tidak dapat dinafikan juga peranan Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden MIC dalam menyokong kepimpinan BN, di samping menyumbang kepada perubahan masyarakat India.

"Tidak kurang juga peranan beliau dalam Kabinet dulu. Saban minggu, membawa isu kaum India termasuk masalah pelajar dari universiti di Ukraine yang tidak diiktiraf," katanya.

Najib juga memuji kesungguhan Samy Vellu yang berjaya menubuhkan sebuah institut perubatan di Sungai Petani iaitu Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).

"Bukan semua parti politik boleh menubuhkan sebuah universiti. Kita perlu mengiktiraf usaha itu," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails