Ahad, Julai 25, 2010
Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati pemasang dawai
2010/05/06
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang pemasang dawai kerana kesalahan mengedar 1.34 kilogram (kg) kanabis dekat sempadan Malaysia-Thailand 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Seri Raus Md Sharif, menolak rayuan terakhir yang dikemukakan oleh Roslan Sabu @ Omar.
Roslan, 38, dari Felda Mata Ayer, Kangar, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 10 Oktober, 2003, yang mendapatinya bersalah dan menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah itu dekat pagar keselamatan di Padang Besar di sempadan Thailand pada 5.40 petang, 4 Februari, 1998.
Beliau pada awalnya dituduh mengedar dadah itu tetapi pada 4 Ogos 1999, Mahkamah Tinggi Kangar mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan mengikut pertuduhan pindaan iaitu memiliki dadah itu.
Mahkamah Rayuan kemudiannya membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan kes Roslan dibicarakan semula.
Dia kemudian didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah. Rayuannya turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 13 Mac, 2006. - Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan