Halaman

Jumaat, Julai 09, 2010

Hasrat tak kesampaian



LEKIR - Persiapan anak sulung untuk melanjutkan pelajaran Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) tidak kesampaian apabila semua barangan hangus dalam satu kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah teres satu tingkat di Taman Keris, Batu 6, di sini, semalam.

Bapanya, Mohd Razi Abdullah berkata, semua barangan anaknya itu habis terbakar termasuk, komputer riba dan pakaian di dalam biliknya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang bekerja di Majlis Perbandaran Manjung (MPM) cawangan Ayer Tawar.

“Saya menerima panggilan daripada jiran tetangga kira-kira jam 8.05 pagi semalam.

“Kemudian saya segera menelefon isteri yang bekerja di Sekolah Convent, Sitiawan untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Mohd Razi berkata, rumah itu didiami semenjak tahun 1988.

“Ketika kebakaran, kediaman ini kosong kerana kami semua keluar bekerja dan bersekolah.

“Walaupun tidak dapat menyelamatkan barangan milik kami, saya bersyukur kerana isteri dan anak selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, menurut Pegawai Bomba Kanan II, Arbaan Mukti, pihaknya menerima panggilan pada 7.50 pagi dan tiba di tempat kejadian 7.57 pagi.

“Tiga jentera dari Balai Bomba Sitiawan dan Seri Manjung dengan kekuatan 26 anggota berjaya mengawal api 13 minit kemudian daripada terus merebak ke rumah sebelah.

“Ketika kami sampai, rumah mangsa hampir 95 peratus terbakar sebelum berjaya memadamkan api sepenuhnya pada 9 pagi,” katanya.

Katanya, kebakaran bermula dari bilik anak sulungn mangsa sebelum merebak ke tempat lain.

Menurutnya, ketika kejadian, ketiga-tiga rumah itu kosong kerana semua keluar bekerja dan bersekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails