Halaman

Jumaat, Julai 30, 2010

Polis tahan 6 lelaki dipercayai terbabit proses, edar dadah


2010/07/30

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan enam lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sungai Semambu semalam.

Ketua Polis Daerah SPT, ACP Azman Abd Lah, berkata semua mereka yang berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam serbuan pada kira-kira 8 pagi di rumah seorang daripada suspek

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui 33 paket kecil dadah jenis heroin, satu paket kecil ice, selain 120 pil khayal yang semuanya dianggarkan bernilai RM7,000.
"Selain dadah, turut ditemui adalah peralatan untuk memproses dadah seperti pita dan alat penimbang untuk membungkus dadah di dalam rumah itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah tiga komputer riba serta pengecas, satu kamera video, serta pemutar skru, dan polis turut menemui sebatang pokok ganja di belakang rumah salah seorang suspek.

"Siasatan juga mendapati kumpulan itu terbabit dalam kes curi motosikal dan ragut di sekitar daerah ini. Kami turut rampas satu pistol mainan dan dua motosikal yang nombor enjin dan chasisnya didapati dikaburkan," katanya.

Azman berkata, semua mereka kini direman bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails