Halaman

Jumaat, Julai 09, 2010

Najib cadang syarikat automotif negara bergabung


09/07/2010 11:00pm

KUALA LUMPUR 9 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar syarikat-syarikat automotif dalam negara mempertimbangkan penggabungan sekiranya berlaku terlebih kapasiti dalam industri itu bagi terus berdaya maju dan selari dengan peredaran semasa.

Katanya, hanya syarikat yang berinovatif, yang sanggup melakukan perubahan dan mempunyai model perniagaan yang mapan sahaja akan benar-benar berjaya dalam abad ke-21 ini.

"Kalau sekiranya terlebih kapasiti merupakan satu daripada hambatan atau kekangan kepada syarikat-syarikat, apakah patut dilakukan proses untuk menggabungkan syarikat-syarikat automotif dalam negara kita supaya akan wujud syarikat yang lebih kuat, lebih besar dan lebih mampu lagi?,” katanya semasa berucap sempena makan malam gala sambutan ulang tahun ke-25 Proton di sini malam ini.

"Saya menyebut perkara ini sebagai bayangan supaya dalam kita menyambut 25 tahun kejayaan Proton, saya juga ingin mengingatkan kita semua bahawa kejayaan pada masa lalu tidak menjamin kejayaan masa hadapan,” katanya.

Naijb, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau ingin melihat kejayaan yang berterusan dari syarikat pengeluar kereta nasional itu seperti mana syarikat itu berjaya sejak ia ditubuhkan pada 1983.

"Saya ingin melihat Proton merupakan syarikat yang benar-benar membawa bendera kejayaan negara Malaysia sepertimana proton dilahirkan 25 tahun dahulu, ketika kereta saga yang pertama meluncur atas jalanraya kita dengan penuh kebanggaan, maka kita mesti jadikan Proton kebanggaan Malaysia dalam tempoh 25 tahun yang akan datang,” kata Najib.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamed, yang juga pencetus idea untuk mengeluarkan kereta nasional itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails