Halaman

Sabtu, Ogos 07, 2010

Bapa Ditahan Disyaki Dera Anak Sehingga Mati


KUALA LUMPUR: Seorang bapa berumur 35 tahun ditahan kerana disyaki mendera anak lelakinya berusia 11 tahun sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Puchong Utama dekat sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan di Hopital Serdang kira-kira pukul 2 petang Jumaat.

"Lelaki itu telah menghantar anak lelakinya ke Hospital Ampang petang semalam apabila anaknya tidak sedarkan diri. Dia mengadu kepada pihak hospital bahawa punca anaknya tidak sedarkan diri disebabkan terjatuh," katanya.

Bagaimanapun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam semalam, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 18 anggota polis yang terlibat dalam kemalangan di Taman Putra Ampang di sini malam ini.

Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk disebabkan dipukul di kepala dan bahagian belakang badan.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berlainan seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui berbalut dengan kain putih di tepi stesen minyak Petronas Ulu Kelang di sini petang tadi.

Khalid berkata, bayi itu ditemui kira-kira 3.20 petang oleh sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di kawasan itu setelah mendengar tangisan bayi itu.

"Bayi itu dipercayai baru dilahirkan dan ia masih bertali pusat dan cukup sifat," kata Khalid.

Menurutnya, bayi perempuan itu berada dalam keadaan baik dan kini masih dirawat di Hospital Ampang.

"Kita belum dapat mengenal pasti keturunan bayi terbabit. Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini sila tampil dimana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," kata beliau.- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails