Halaman

Khamis, Julai 15, 2010

SJKC paling banyak dapat peruntukan bantuan modal dalam RMK-9



KUALA LUMPUR - Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) paling banyak menerima peruntukan untuk sekolah bantuan modal daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tempoh 2006 hingga 2008.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejumlah 444 buah SJKC telah menerima peruntukan itu dengan nilai RM25,408,761 dalam tempoh dua tahun itu.

Angka itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 772 buah sekolah bantuan modal di seluruh negara yang telah menerima peruntukan bantuan modal bernilai RM51,421,086 yang disalurkan di dalam RMK-9 bagi tempoh sama.

Kementerian Pelajaran telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta dalam RMK-9 untuk disalurkan kepada sekolah bantuan modal.

"Peruntukan itu untuk disalurkan kepada semua Sekolah Bantuan Kerajaan (Bantuan Modal) yang terdiri daripada SJKC, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sekolah mubaligh ," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Teo meminta kementerian menyatakan secara terperinci kegunaan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah RMK-9 untuk sekolah bantuan kerajaan setakat ini.

Selain SJKC, sejumlah 160 buah SJKT turut menerima bantuan sama dengan nilai RM15,474,410, diikuti 157 buah sekolah mubaligh (RM10,804,915) dan 11 buah SABK (733,000).

Bagaimanapun beliau berkata, Kementerian Pelajaran tidak menetapkan jumlah pecahan peruntukan itu mengikut aliran sekolah tertentu, tetapi berasaskan kepada keutamaan dan keperluan terutamanya bagi kes-kes yang melibatkan keselamatan sekolah dan keselesaan pembelajaran dan pengajaran.

Sementara itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri), Muhyiddin berkata, pendapat dan pandangan yang dikemukakan oleh persatuan-persatuan yang memperjuangkan pelbagai perkara dan isu berkaitan pendidikan seperti persatuan guru dan badan-badan bukan kerajaan seperti Persatuan Dong Jiao Zong perlu didengar dan dikaji kesesuaiannya.

"Kementerian Pelajaran berpendapat adalah perlu tuntutan bertujuan untuk membangunkan pendidikan negara ini diketengahkan untuk dikaji dan dinilai, dan jika bersesuaian akan dilaksanakan," katanya.

Er meminta kementerian menyatakan usul-usul dan isi kandungan pertemuan dengan persatuan Dong Jiao Zong mengenai permasalahan SJKC sejak 2000.

Muhyiddin berkata, persatuan itu antara lain mahu kerajaan mengkaji kesesuaian pelaksanaan seksyen-seksyen di bawah Akta Pelajaran, mengambil langkah mengatasi masalah kekurangan guru dan menggesa ambilan guru pelatih Cina ke institusi pendidikan tinggi awam melalui lulusan sijil Unified Examination Certificate (UEC).

Persatuan itu turut memperjuangkan hak-hak yang boleh diberi keutamaan terhadap kebajikan guru, murid dan pembangunan SJKC dan memastikan bahawa pendudukan di SJKC tidak diabaikan oleh kerajaan, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails