Halaman

Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 09, 2010

Ibu tunggal rugi RM30,000, kediaman dipecah masuk


09/07/2010 3:54pm

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal kerugian kira-kira RM30,000 apabila kediamannya di rumah pangsa Aman Putra, Jinjang di sini dipecah masuk oleh tiga lelaki bersenjatakan pistol dan pisau hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi ketika mangsa yang berumur 46 tahun dan anak lelakinya yang berumur 18 tahun sedang tidur.

Mangsa dan anaknya yang terjaga apabila terdengar bunyi bising ketika rumah diceroboh kemudian diugut penjenayah yang bersenjatakan sepucuk pistol dan dua bilah pisau agar diam dan kemudian menyelubung mangsa dengan selimut.

"Berdasarkan siasatan, suspek yang terdiri daripada tiga lelaki itu masuk ke rumah mangsa dengan mengumpil pintu hadapan rumahnya sebelum masuk ke bilik tidur utama rumah itu yang menempatkan mangsa dan anaknya," katanya.

Mangsa, seorang peniaga, kehilangan wang tunai RM15,000, tiga telefon bimbit, sembilan cincin emas, seutas rantai emas dan sebuah

komputer riba setelah dilarikan tiga suspek terbabit yang menaiki sebuah kereta jenama Nissan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah, katanya. - Bernama

Pekerja restoran parah terkena peluru sesat


09/07/2010 7:06pm

JITRA – Seorang pekerja restoran makanan laut di Taman Dato’ Osman Aroff di sini, cedera parah selepas terkena peluru sesat, yang dilepaskan seorang lelaki ketika cuba menembak anjing liar dalam kejadian awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa, P. Rajagovallan, 65, dari Taman Desa Damai di sini, sedang menyapu sampah di restoran berkenaan apabila kedua-dua belah kakinya terkena kira-kira 30 butir peluru tabur yang dilepaskan seorang lelaki yang cuba menembak seekor anjing liar tetapi tersasar.

Anak mangsa, R. Mugunthan, 21, berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang rakan memaklumkan kejadian yang menimpa bapanya dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Apabila sampai di restoran makanan laut itu, beliau mendapati bapanya telah dihantar ke Hospital Jitra.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu, telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt. Sawaluddin Haminuddin mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 iaitu melepaskan tembakan hingga menyebabkan kecederaan. – Bernama

Empat ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan ah long di Ipoh




2010/07/09
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Polis menahan dua lelaki dan dua wanita yang disyaki terbabit dengan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (Ah Long) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tambun di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, semua mereka yang berumur antara 20 dan 25 tahun yang berasal dari Tangkak, Johor itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam, hasil maklumat orang awam.


Beliau berkata, polis merampas beberapa dokumen dan barangan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan Ah Long, antaranya catatan rekod pinjaman wang, dua fail yang mempunyai senarai nama peminjam, 74 salinan kad pengenalan milik peminjam wang.


Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini beliau berkata, turut dirampas ialah 12 keping slip deposit wang, enam buah buku bank, wang tunai RM5,802, enam telefon bimbit dan 800 "banner" iklan mengenai pinjaman yang ditawarkan.


Katanya, kumpulan Ah Long itu dipercayai mula aktif di sekitar bandaraya sejak Februari 2009 dengan memberi pinjaman pada kadar faedah yang amat tinggi, sehingga 120 peratus sebulan, dan siasatan juga mendapati kumpulan itu membuat kutipan menjangkau sehingga RM150,000 setiap bulan.


Zulkifli berkata, kesemua mereka direman sejak ditahan, namun dua wanita itu sudah dibebaskan dengan ikat jamin polis hari ini, manakala reman dua lelaki itu pula disambung sehingga Ahad ini.


Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Pemberi Pinjaman Wang 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau penjara tidak melebihi lima tahun, manakala bagi kesalahan kedua boleh juga dikenakan sebatan.


Orang ramai yang terlibat meminjam daripada Ah Long tersebut, atau mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu diminta supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak atau menelefon 05-5452252 bagi membantu siasatan.


Sementara itu, menurut Zulkifli sepanjang tempoh enam bulan lepas, polis menerima 14 laporan berhubung kes meminjam wang daripada Ah Long, dan polis sedang menyiasat semua laporan itu.-Bernama

Suami dihukum gantung, isteri bebas



KOTA BHARU – Seorang peniaga kedai makan warga Thailand dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine, manakala isterinya dilepas dan dibebaskan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdullah Saopi, 46, setelah mendapati kes prima facie terhadapnya gagal disangkal pembela.

“Pihak pembela gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwa berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

“Mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan itu. Mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atasnya,” katanya.

Mohd Azman berkata, mengenai tertuduh kedua Yanidah Maerohkachi, 41, pula, mahkamah mendapati tiada bukti dia terbabit dengan urusan jual beli dadah.

“Tertuduh kedua berjaya menyangkal pertuduhan prima facie pihak pendakwaan ke atasnya.

“Kes prima facie pendakwaan terhadap tertuduh kedua gagal meragui keraguan yang munasabah dan tertuduh kedua dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Abdullah didapati bersalah mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 76.39 gram ketika ditahan di stesen minyak Caltex, Jalan Pasir Mas – Rantau Panjang dekat Pasir Mas kira-kira jam 7.10 malam pada 15 Disember 2006.:

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Isnin, Julai 05, 2010

Bapa mentua EXCO Pahang sangka bunyi tembakan daripada TV

2010/07/05

KUANTAN: Datuk Ahmad Baharuddin Akil, bapa mentua Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat, tidak menyangka bunyi tembakan di luar rumah ketika beliau sedang menonton televisyen awal pagi tadi rupa-rupanya membabitkan suspek yang memecah masuk ke rumahnya itu.

Ahmad Baharuddin berkata, ketika kejadian jam 3 pagi itu, beliau secara kebetulan sedang menonton sebuah filem aksi tembak-menembak.

"Sebelum kejadian, saya telah ke dapur untuk mengambil air dan masuk semula ke dalam bilik tidur. Bila payah nak tidur, saya pasang cerita, kebetulan cerita itu ada aksi tembak-menembak," katanya kepada pemberita di sini hari ini setelah empat lelaki ditembak mati oleh polis dalam satu kejadian samun di rumah Wan Adnan di Jalan Teluk Sisek di sini.

Ahmad Baharuddin berkata, mungkin disebabkan bunyi audio filem yang ditontonnya itu agak kuat, beliau tidak menyedari suspek telah masuk ke dalam rumah mereka.

Katanya, kejadian itu hanya disedari isterinya yang melihat dari tingkap anggota polis sedang mengepung rumah mereka.

"Ketika itu sembilan orang berada di dalam rumah termasuk dua pembantu rumah," katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, turut menziarahi keluarga terbabit di kediaman mereka.
Wan Adnan, bagaimanapun, gagal ditemubual pemberita. - BERNAMA

Sabtu, Jun 26, 2010

Saya lihat ada kesan lebam pada mata kanan'
Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2010/06/26

Mohd Sobri Mohd Sofian (kiri) dan Fauziah Abdul Wahab.
Mohd Sobri Mohd Sofian (kiri) dan Fauziah Abdul Wahab.
Bapa pelajar MTD mati kesal dilarang periksa tubuh anak

BALING: Keluarga Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16, pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mati akibat didera pelajar senior di asramanya, kelmarin, mendakwa ada kesan lebam pada mata kanan pelajar itu.

Bapa mangsa, Mohd Sobri Mohd Sofian, 41, berkata mereka melihat kesan lebam itu sebelum upacara pengebumiannya, malam kelmarin

Bagaimanapun, Mohd Sobri berkata, beliau tidak dibenarkan untuk memeriksa keseluruhan tubuh anaknya kerana dihalang pegawai tentera dan MTD yang hadir bersama jenazah anaknya.

“Mereka kata ikut prosedur tak boleh sebab anak saya sudah dikapankan. Mereka hanya benarkan bahagian muka saja dibuka untuk kami menatap wajah arwah buat kali terakhir.

“Saya tidak membantah tapi saya dapati ada kesan lebam di bahagian mata kanan anak saya ketika saya mengucupnya buat kali terakhir,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Lalang, Siong di sini, petang semalam.

Mohd Sobri yang menetap di Kampung Sungai Siput, Sungai Lasah, Perak, mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan kematian anaknya secara telus sehingga kejadian sebenar yang menimpa anaknya terbongkar dan pesalahnya dihukum.
Katanya, dia dan keluarga menerima kejadian itu sebagai takdir, namun mahukan pembelaan terhadap kematian anaknya, selain menjadi teladan supaya nasib sama tidak menimpa orang lain.

“Naim adalah anak harapan saya untuk membantu keluarga kami pada masa depan, namun hari ini (semalam) harapan itu hancur berkecai. Sukar bagi saya menerima kejadian itu yang menyebabkan saya kehilangan Naim buat selama-lamanya.

“Saya sentiasa impikan satu hari nanti Naim akan pulang ke rumah dengan pakaian seragam tentera dan membantu kami serta adik-adiknya yang lain untuk berjaya sepertinya,” katanya.

Mohd Sobri turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling mengenai kejadian itu pada jam 6.20 petang semalam.

Ibu mangsa, Fauziah Abdul Wahab, 45, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan Naim adalah ketika anaknya pulang ke rumah untuk cuti sekolah seminggu lalu.

"Naim tidak pernah mengadu apa-apa yang tidak baik dilakukan ke atasnya sebelum ini. Dia juga tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia tidak gembira di sekolahnya.

“Memang kami sekeluarga amat rapat, malah Naim juga amat rapat dengan opahnya.

“Sebagai ibu saya percaya Naim tidak pandai cari masalah dengan orang lain malah dia juga amat disenangi rakan di kampung,” katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails