Halaman

Khamis, Januari 19, 2012

Kedudukan PAS di Selangor tidak terjejas: Takiyuddin

2012/01/19

KOTA BHARU: Kedudukan PAS dalam kerajaan pakatan di Selangor tidak terjejas berikutan pemecatan bekas Pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali, baru-baru ini.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS masih mempunyai tiga ahli Exco dalam kerajaan negeri Selangor dan mereka mampu menguatkan kedudukan parti.
"Walaupun portfolio Hal Ehwal Islam disandang oleh Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), tetapi tugas itu boleh dibantu oleh ketiga-tiga EXCO berkenaan jika diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Koleksi Warisan Cina sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2012 di sini, hari ini.
Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Kelantan, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Mohd Satim Diman, bahawa keputusan tersebut menggambarkan kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang negeri itu hanya sekadar penumpang dan tidak diyakini oleh rakan yang lain.

Sebelum digugurkan Hasan memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Langat, Dr Ahmad Yunus Hairi, dilantik menggantikan Hasan dengan portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan negeri. - BERNAMA

Bekas Mufti Kelantan meninggal dunia




2012/01/19

KOTA BHARU: Bekas Mufti Kelantan, Datuk Hasbullah Mat Hassan, 76, yang diserang angin ahmar sejak empat tahun lalu, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Atas Banggol, di sini hari ini.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai mufti kerajaan negeri sejak 1990 hingga 2007, meninggalkan seorang isteri, Datin Wan Fatimah Wan Ahmad, dan tujuh anak iaitu empat lelaki dan tiga perempuan.
Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata sebelum memegang jawatan itu, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai guru agama di Sabah sebelum bertugas sebagai Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di kampung kelahirannya di tanah perkuburan Islam Kampung Paya Lada, Kadok, dekat sini.

Mohamad Shukri berkata, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V turut menziarah jenazah Allahyarham dan menunaikan solat jenazah. - BERNAMA

Jumaat, Januari 13, 2012

Malaysia bakal pengeluar kondom utama dunia

  
2012/01/13
NEW DELHI: Malaysia kini diambang menjadi pengeluar kondom utama di dunia pada tahun ini, dengan meninggalkan Thailand di belakang sebagai peneraju pasaran, demikian menurut Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

MREPC berkata Malaysia kini menguasai satu pertiga daripada pengeluaran dunia, yang dengan mudah melepasi paras satu bilion.
"Kita boleh menjadi pengeluar nombor satu dunia tahun ini berikutan banjir di Thailand. Angka pengeluaran tahun lepas boleh melepasi angka satu bilion kondom," kata Pengarah Pemasaran dan Pembanguan majlis itu, Low Yoke Kiew kepada Bernama.
Pada 2010, Malaysia, pengeluar getah asli keempat terbesar dunia, telah mengeksport sarung kontraseptif bernilai hampir RM300 juta, iaitu hampir tiga kali nilai eksport pada 2005.

CUEPACS mahu lebih 'suara' dalam semakan semula SBPA

2012/01/13

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu mempunyai 'suara' dalam perbincangan berhubung semakan semula terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) supaya tiada isu berbangkit selepas ia dilaksanakan kelak.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata sebelum ini, badan itu hanya dimaklumkan selepas skim berkenaan dirangka, menyebabkan kebanyakan penjawat awam tidak berpuas hati.
"Kami (Cuepacs) harus menjadi peranan utama dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA) supaya kami boleh memberi pandangan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Cuepacs di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan skim SBPA akan disemak semula dan ia bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaannya.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails