Halaman

Jumaat, Oktober 29, 2010

Aminulrasyid Meninggal Dunia Disebabkan Luka Tembakan Di Kepala

SHAH ALAM: Perbicaraan kes seorang anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian remaja lelaki berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa mangsa meninggal dunia disebabkan oleh luka tembakan di kepalanya.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa, juga berkata Aminulrasyid berkemungkinan besar meninggal dunia beberapa minit atau saat selepas ditembak.

"Ini kerana luka tembakan itu hampir dengan batang otak yang berfungsi mengawal pernafasan dan terdapat pendarahan yang agak tebal pada batang otak. Kecederaan seperti itu boleh menyebabkan kematian mangsa," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Adilla Ahmad.

Dalam perbicaraan itu, Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Saksi ke-23 pendakwaan itu berkata semasa mayat mangsa dibawa ke bilik mayat pada pukul 5.55 pagi hari kejadian, keadaan kaku mayat telah berlaku berikutan mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum itu.

Beliau juga mendapati terdapat pendarahan pada hidung Aminulrasyid dan kesan darah yang banyak di belakang badan mangsa serta kemeja-t lengan pendek berwarna kuning, seluar pendek berwarna biru dan seluar dalam yang dipakainya.

Ketika Dr Khairul Azman membuka sampul surat mengandungi kemeja-t tersebut, perbicaraan terpaksa ditangguhkan seketika berikutan bau darah kering pada pakaian itu memenuhi seluruh ruang mahkamah.

Terdahulu, saksi itu berkata semasa menjalankan bedah siasat ke atas mayat Aminulrasyid, beliau mendapati terdapat lubang tembakan pada bahagian belakang kepala dan kesan lebam pada bahagian dahi sebelah kanan mangsa.

Beliau juga mendapati terdapat sebutir anak peluru melekat pada tisu lembut di bawah kulit di bahagian hadapan dahi kanan Aminulrasyid tetapi ia tidak menembusi kulit kepalanya.

"Pada bahagian belakang tengkorak terdapat satu lubang yang merupakan luka tembak masuk yang menghala ke depan.

Terdapat 'bullet track' yang masuk dari bahagian belakang kiri otak menghala ke depan sedikit condong ke kanan melalui atas batang otak dan keluar pada bahagian depan otak.

"Saya juga periksa pada bahagian dada dan didapati tulang dada tidak patah serta tiada pendarahan pada rongga dada tetapi ada sedikit kesan lebam pada tisu lembut pada kulit dada belah kanan berkemungkinan disebabkan oleh impak dengan benda tumpul," katanya.

Selain itu, saksi pendakwaan itu berkata beliau turut memeriksa bahagian perut mangsa dan menemui nasi yang belum dihadam.

Dr Khairul Azman berkata beliau turut menemui beberapa kesan calar dan luka pada tubuh Aminulrasyid yang konsisten dengan kecederaan yang disebabkan oleh geseran atau impak dengan benda yang tumpul.

Ditanya mengenai jarak tembakan dilepaskan berdasarkan kecederaan yang dialami mangsa, pakar forensik itu berpendapat bahawa tembakan dilepaskan dari jarak yang jauh berikutan corak luka akibat tembakan tersebut bukan berbentuk bintang.

"Jika luka tembakan berbentuk bintang tembakan dilepaskan dari jarak dekat dan luka tembakan juga didapati tidak menembusi kulit, sekiranya (tembakan) dekat ia akan tembus.

"Saya berpendapat tembakan tidak dilepaskan dari jarak dekat kerana tiada kesan terbakar pada kulit kepala mangsa," katanya. - BERNAMA

Zulkifli Dedah Perjanjian Sulit DAP-PKR


KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen Bebas pada Khamis mendakwa DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat perjanjian sulit di luar pengetahuan PAS untuk memberi kuasa kepada DAP memerintah di tiga negeri sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

Zulkifli Nordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) berkata hubungan rapat antara DAP dan PKR adalah didorong oleh perjanjian kuasa tersebut.

"Saya rasa perkara ini kawan-kawan saya dalam PAS juga tak tahu. Sebenarnya ada perjanjian sulit antara mereka iaitu jika PKR menang di peringkat Persekutuan, kuasa autonomi akan diberikan kepada Pulau Pinang.

"Calon Melayu akan diletakkan di Perak dan Negeri Sembilan, kalau menang, Menteri Besar akan dilantik dari kalangan DAP... saya mohon perkara ini dipandang berat," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di Dewan Rakyat.

Beliau yang merupakan anggota ke-100 mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang tersebut juga menyarankan lebih banyak bahan bacaan berhubung peristiwa 13 Mei diterbitkan untuk membolehkan rakyat mengetahui fakta sebenar di sebalik peristiwa hitam berkenaan.

"Saya cadangkan salah satu sejarah penting negara yang perlu didedahkan ialah peristiwa 13 Mei 1969," katanya merujuk kepada cadangan kerajaan mewajibkan mata pelajaran sejarah dalam sistem pendidikan negara.

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi membuat siasatan rapi dan mendalam ke atas peristiwa hitam itu dan menerbitkan satu kertas putih agar rakyat dapat mengambil pengajaran daripada tragedi itu.

Menyentuh tentang Gagasan 1Malaysia, Zulkifli mahu kerajaan terus memberi penerangan lanjut mengenai konsep tersebut supaya ia tidak disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata konsep tersebut juga harus meliputi prinsip mendahulukan negara agar tiada pihak yang sanggup mencemuh negara semasa berada di seberang laut.

Beliau juga membidas anggota-anggota Parlimen pembangkang kerana gemar melabel Bajet 2011 dengan nama-nama yang menghina.

"Kita perlu ingat, hendak kritik jangan terlalu melampau, biar berpada-pada, hendak puji juga jangan melampau. Itu yang Islam ajar pada kita," kata beliau.

Persidangan dewan disambung Isnin. - BERNAMA

Mayat Remaja Perempuan Ditemui Berlipat Dalam Beg Pakaian



KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh sebelum mayatnya disumbat ke dalam sebuah beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata mayat remaja tanpa identiti yang dipercayai berusia belasan tahun dan berpakaian lengkap itu ditemui oleh seorang pekerja bengkel berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.

"Pekerja tersebut yang menunggang motosikal melalui lorong bersemak itu terjumpa sebuah bagasi besar sebelum bertindak menendang-nendang beg tersebut. Curiga dengan berat beg, dia kemudiannya membuka beg berkenaan sebelum terlihat mayat mangsa.

"Mangsa ditemui dalam keadaan berlipat dan pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia belasan tahun berdasarkan saiz badan dan tidak mengalami kecederaan luaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata mangsa yang bertubuh sederhana, berpakaian gaun biru paras lutut, berkulit sawo matang dan berambut lurus mencecah bahu, tidak diikat dan dipercayai baru mati berdasarkan keadaan mayat yang masih 'segar' dan tidak berbau.

Abdul Jalil berkata mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut yang berdekatan dengan Rumah Anak Yatim Amal Belaian Kasih (RABEKA) Taman Ukay Perdana.

"Beberapa helai pakaian termasuk tuala mandi turut ditemui dalam bagasi berkenaan yang disyaki milik mangsa. Bagaimanapun punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga iaitu remaja perempuan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk proses pengecaman dan pengesahan. - BERNAMA

Khamis, Oktober 28, 2010

Bencana berkembar Indonesia ragut lebih 400 nyawa

2010/10/28

JAKARTA: Dua bencana berkembar - tsunami dan letusan gunung berapi di Indonesia kini menyaksikan angka korban mencecah 300 orang manakala lebih 400 lagi hilang dengan lebih 10,000 penduduk kini sudah dipindahkan.

Letusan Gunung Merapi di Yongyakarta yang meledak debu dan asap hitam setakat ini sudah mengorbankan 28 orang manakala 14 lagi cedera.



2010/10/28

JAKARTA: Dua bencana berkembar - tsunami dan letusan gunung berapi di Indonesia kini menyaksikan angka korban mencecah 300 orang manakala lebih 400 lagi hilang dengan lebih 10,000 penduduk kini sudah dipindahkan.

Letusan Gunung Merapi di Yongyakarta yang meledak debu dan asap hitam setakat ini sudah mengorbankan 28 orang manakala 14 lagi cedera.
Gunung Merapi kali pertama meletus Selasa lalu, sehari selepas tsunami melanda kepulauan terpencil di barat Sumatera.

Angka kematian akibat tsunami susulan gempa kuat 7.7 magnitud itu kini mencecah 282 orang, kata pegawai Agensi Bencana Wilayah, Ade Edward. - Reuters

Akhirnya Penjaga Gunung Merapi, Mbah Maridjan Tewas Dimamah Lahar

Rabu Oktober 27, 2010...

YOGYAKARTA: Penjaga 'kunci' Gunung Merapi Mbah Maridjan alias Mas Penewu Suraksohargo akhirnya tumpas kepada debu panas merapi yang memuntahkan laharnya lewat petang Selasa.

Kematiannya disahkan oleh Raja Kraton Yogyakarta, Sri Sultan HamengkuBuwono X yang menghantar adiknya untuk membuat pengecaman ke atas jenazah Mbah Maridjan.

Pelantikan Mbah Maridjan sebagai 'penjaga' Gunung Merapi merupakan sebahagian daripada adat turun temurun Kesultanan Jawa sejak dahulu kala lagi.

Allahyarham dilantik sebagai pemegang kunci gunung tersebut oleh ayahanda kepada Sultan HamengkuBuwono X iaitu Sri Sultan HamengkuBuwono IX.

Sejarah kuno Jawa percaya, penjaga gunung ini mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan tuannya iaitu gunung berapi tersebut.

Atas sebab itu jugalah nama Mbah Maridjan menjadi popular ketika Gunung Merapi meletus pada tahun 2006. Ia bersama sejumlah warga Kinahrejo Kecamatan Cangkringan Sleman yang tinggal di kawasan yang disifatkan sebagai kawasan bencana itu enggan berpindah kerana menurut firasatnya gunung tersebut tidak akan memuntahkan laharnya.

Padahal saat itu, Gunung Merapi sudah masuk ke peringkat bakal meletuskan lahar pada bila-bila masa sahaja.

Bahkan Sri Sultan Hamengku Buwono X sempat memerintahkan dia untuk turun dari pergunungan itu. Rumah Mbah Maridjan hanya terletak empat kilometer sahaja dari puncak Merapi.

Namun beliau enggan mendengar arahan itu yang dianggap sebagai ingkar perintah Sultan.

Benar sungguh, Merapi tidak segawat yang diperkatakan ahli-ahli geologi. Firasat Mbah Maridjan itu menjadikannya popular.

Namanya terus melambung dan kemudian menjadi bintang iklan sebuah minuman bertenaga. Duit pun mengalir deras ke kantongnya.

Namun selebriti tua ini tidak menikmati keuntungan dari hasil duit iklan itu sendirian. Sebaliknya, dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat. Di daerah Kinahrejo, beliau bukan sahaja membangunkan masjid malah gereja hasil daripada wang tersebut.

Beliau dipetik sebagai berkata, biar warga di sana beribadah sesuai mengikut keyakinan masing-masing. Mbah Maridjan sendiri adalah seorang penganut Islam yang warak.

Jasadnya ditemui para penyelamat dalam keadaan sedang sujud menyembah tuhan yang maha kuasa.

Selain itu, Mbah Maridjan acap kali menyalurkan beras kepada warga yang memerlukannya.

Selasa, Oktober 26, 2010

Penamaan calon dua pilihan raya kecil serentak hari ini


October 26, 2010
Penyokong-penyokong PKR berkumpul di kawasan sekitar Dewan Masyarakat Sandakan pagi tadi menjelang proses penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi. — Gambar oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 26 Okt — Pilihan raya kecil serentak buat kali kedua sejak 8 Mac 2008 berlangsung hari ini dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) turun untuk merampas kerusi tambahan untuk parti masing-masing — DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Kedua-dua BN dan PR meletakkan calon masing-masing meskipun menyedari ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri dan pusat.

Sebaliknya ia dilihat mahu membawa kemenangan moral masing-masing menjelang pilihan raya umum ke-13.

Negara menyaksikan tiga pilihan raya kecil serentak awal tahun lalu — masing-masing dua di Semenanjung dan satu di Sarawak.

Apa yang menarik sebuah parti komponen BN yang keluar perikatan itu akhir 2008 juga turun buat kali pertama sebagai pesaing.

Parti Maju Sabah (SAPP) akan bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi dan kerusi Dewan Undangan Negeri Galas akan bermula 8 pagi dan jika ada pertandingan, pengundian dijadualkan pada 4 November.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Dalam pada itu, Datuk Edmund Chong Ket Wah memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Tsen merupakan balu kepada Chong. — Gambar oleh Jack Ooi
Setakat kelmarin empat parti politik utama termasuk SAPP telah mengumumkan nama bakal calon masing-masing termasuk seorang wanita untuk bersaing pada pilihan raya kecil serentak di Galas dan Batu Sapi.

Selain kemuncul SAPP sebagai parti yang menyaingi BN, buat pertama kali, pilihan raya kecil sejak Mac 2008 menyaksikan seorang calon wanita diturunkan oleh parti politik utama.

BN meletakan sandaran pada Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Tsen, 54, merupakan balu kepada penyandang kerusi itu yang meninggal dunia awal bulan ini.

Chong meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas.

SAPP pula akan diwakili Presidennya Datuk Yong Teck Lee.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat untuk bersaing dengan Tsen.

Ansari, seorang peguam kanan profesional, juga merupakan ketua cabang PKR Tuaran.

Beliau mengakui pilihan raya kecil Batu Sapi kali ini adalah sengit, namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12.

Dalam pada itu, saingan pilihan raya kecil kerusi Galas akan menyaksikan pertarungan tradisi antara PAS yang mewakili PR dan Umno dari BN.

Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff akan membawa cabaran perikatan tersebut manakala PAS pula diwakili oleh Dr Zulkefli Mohamad.

Dr Zulkefli pernah bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang pada 2004 dan 2008.

Mengambil kira perkembangan tahun 2008 dan kenyataan-kenyataan sebelum ini, selain calon parti-parti utama, kedua-dua pilihan raya kecil ini dijangka akan menyaksikan cabaran calon Bebas.

Saya tak sandar pengaruh Ku Li untuk rampas Galas, kata Aziz

October 25, 2010
Abdul Aziz Yusof akan membawa cabaran Barisan Nasional (BN) di Galas, kerusi DUN yang dirampas PAS pada 8 Mac 2008. – Gambar oleh Choo Choy May
GUA MUSANG, 25 Okt – Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff menolak tanggapan bahawa beliau yang dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) di Galas bersandarkan pada faktor dan pengaruh ketuanya Tengku Razaleigh Hamzah untuk merampas kerusi tersebut daripada PAS.

Sebaliknya Aziz berkata, apa yang penting adalah sokongan dan kepercayaan para pengundi terhadap beliau.

Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas akan diadakan esok.

“Tengku Razaleigh ada kekuatan dan pengaruh tersendiri di sini, lagipun beliau sudah lama berada dalam politik.

“Jadi tidak semestinya saya perlu gunakan pengaruh beliau untuk memenangi pilihan raya kecil ini,” kata beliau.

“Bagi saya apa yang paling penting adalah sokongan dan kepercayaan pengundi dari setiap lapisan masyarakat kepada saya,” kata Aziz kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Gua Musang di Bukit Cekati di sini.

Aziz diumumkan sebagai calon BN di DUN Galas oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada sidang medianya selepas itu, Muhyiddin berharap pemilihan Aziz sebagai calon akan diterima oleh pengundi di kawasan DUN Galas untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin mereka.

Beliau berkata pemilihan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas berunding dengan Tengku Razaleigh dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Aziz memberitahu beliau yakin untuk memenangi pilihan raya kecil DUN Galas dan menolak kemungkinan fenomena pilihan raya umum 2008 akan berulang kembali.

Pada pilihan raya umum yang lalu PAS telah merampas kerusi DUN Galas daripada BN.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima daripada PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus 27 September lalu.

“Pilihan raya umum 2008 merupakan satu tsunami kepada seluruh negara dan tempiasnya turut terkena Galas tapi perkembangan politik sekarang sudah berubah.

“Saya melihat pengundi sudah kembali kepada BN, malah sokongan juga semakin meningkat.

“Perubahan ini menunjukkan pengundi tidak lagi menyebelahi parti satu lagi, saya sebagai calon BN di sini yakin akan memenangi pilihan raya kecil ini,” kata Aziz, yang juga bekas Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Anak kelahiran Kampung Bertam Baru ini juga berkata tidak akan sesekali melakukan serangan peribadi terhadap calon PAS Dr Zulkefli Mohamad yang dipilih mewakili Pakatan Rakyat untuk mempertahankan kerusi DUN Galas.

“Tidak perlu untuk membuat serangan peribadi, banyak isu lain yang boleh digunakan.

“Sebagai contoh isu masalah Orang Asli dan tanah, ini adalah masalah utama di penempatan Orang Asli. Kerana kerajaan negeri Kelantan mengambil tanah tersebut dan menjadikannya sebagai ladang rakyat.

“Yang terima kesan adalah Orang Asli, isu air juga masih tidak selesai juga di sana. Mungkin perkara ini saya akan bangkitkan ketika berkempen nanti,” kata Aziz.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Anak tinggal bawah jambatan bertemu semula dengan ibu


October 25, 2010

KUALA LUMPUR, 25 Okt — “Mak, saya minta maaf banyak-banyak, dari hujung rambut hingga hujung kaki,” kata Siti Faezah Abu Bakar, 27, ketika menerpa dan memeluk ibunya yang pertama kali ditatapnya setelah enam tahun mereka berpisah.

Suasana sedih bercampur gembira itu turut disaksikan oleh suami Siti Faezah, Hazmain Abdul Jalil, 28, dan anak mereka Siti Nur Rafidah yang berusia 1 tahun 5 bulan di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini hari ini.

Cerita Siti Faezah, suami dan anaknya yang tinggal di bawah jambatan Lebuh Raya Timur Barat (Metramac) sejak enam bulan lalu kerana kedaifan telah menjadi titik tolak kepada pertemuan Siti Faezah dengan ibunya Rohani Abdullah, 52.

Kisah tiga beranak ini yang disiarkan di dalam berita oleh sebuah stesen televisyen Jumaat malam lalu telah memeranjatkan ibunya yang seakan-akan mengenali wajah wanita yang disiarkan itu.

“Saya terkejut dan sama sekali tidak menyangka orang yang dimaksudkan dalam berita itu adalah anak saya yang sudah lama menghilangkan diri.

“Setelah mengamati wajah wanita dalam berita itu, saya menyedari dia adalah anak saya Siti Faezah. Saya lalu memaklumkan kepada anak lelaki saya (abang kepada Siti Faezah).

“Memang saya harap sangat Siti Faezah menelefon saya sebelum ini. Saya rindu sangat kerana dia sudah lama menghilang. Tiap hari mengharap, inilah yang akhirnya terjadi.

“Bila saya lihat dalam televisyen, tak sangka langsung dia jadi macam tu, “ kata Siti Rohani yang di bawa ke sini dari Segamat, Johor.

Beliau memberitahu anaknya melarikan diri kerana percintaannya dengan Hazmain tidak direstui.

Katanya mereka menghubungi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno setelah membaca berita mengenai Siti Faezah dan keluarganya di dalam akhbar pada pagi Sabtu.

“Semalam saya berhubung secara peribadi dengan Puan Siti Rohani dan memaklumkannya tentang usaha kami mahu mempertemukannya dengan anaknya.

“Beliau amat berterima kasih atas usaha kami kerana dapat membela nasib anaknya,” kata pengerusi biro aduan berkenaan, Datuk Muhd Khairun Aseh.

Beliau berkata pihaknya juga menghantar Siti Nur Rafidah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit paru-paru yang kronik kerana jangkitan kuman.

“Bayi ini sebenarnya tidak pernah menerima imunisasi dan apa juga ubat-ubat yang sepatutnya. Keadaan kesihatannya agak kronik dan memerlukannya pemeriksaan lanjut,” kata Muhd Khairun.

Siti Faezah, suami dan mereka kemudiannya mengikuti Siti Rohani untuk pulang ke Segamat. — Bernama

Ahad, Oktober 24, 2010

Mohd Aziz Yusof calon BN di Galas

ID PenggunaKatalaluan | Lupa katalaluan? | LanggananepayTestimonial



Salhan K Ahmad
Okt 24, 10
3:46pm

Setiausaha Umno bahagian Gua Musang, Mohd Aziz Yusof, 49, diumumkan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin petang ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Oktober ini.

Ketika membuat pengumuman itu, Muhyiddin berkata Abdul Aziz merupakan calon yang masih muda dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Katanya, Abdul Aziz merupakan orang tempatan, orang Gua Musang dan umurnya masih muda.

Muhyiddin mengumumkan nama calon BN itu di Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Chekati.

Hadir sama ialah pengarah pilihan raya kecil BN bagi DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah dan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad.

Tengku Razaleigh adalah ahli parlimen Gua Musang dan juga ketua Umno bahagian berkenaan.

PAS telah menamakan calonnya - Dr Zulkefli Mohamad - sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Dr Zulkefli adalah pemangku yang dipertua PAS Gua Musang.

Isnin, Oktober 18, 2010

2 pengawal ditahan kerana disyaki bunuh suspek kes curi

2010/10/18

KUALA LUMPUR: Dua pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Bukit Jalil, dekat sini ditahan polis kerana disyaki menyebabkan kematian seorang suspek kes curi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supt Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata dua pengawal keselamatan warga tempatan berumur 42 dan 51 tahun itu ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan kerana menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba mencuri batang besi di sebuah rumah di Mutiara Bukit Jalil.

"Apabila menyedari tindakan mereka (suspek) dilihat oleh pengawal keselamatan tersebut, seorang daripada suspek terus memukul kepala mangsa menggunakan sebilah parang sebelum melarikan diri," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, mangsa yang sedang dalam kesakitan itu sempat memanggil rakannya, seorang pengawal keselamatan berumur 51 tahun, untuk menangkap seorang lagi pencuri berumur 24 tahun, yang masih bersembunyi di dalam rumah berkenaan.

"Sebaik tiba di rumah tersebut, pengawal keselamatan berumur 51 tahun itu terus memukul suspek sehingga menyebabkan kecederaan serius di bahagian kepala, tangan dan kakinya," katanya.

Katanya, polis yang tiba di tempat kejadian mengepung rumah terbabit sebelum membawa suspek yang mengalami kecederaan serius itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

"Suspek kemudian dibawa ke lokap. Dalam perjalanan itu, suspek mengadu sesak nafas dan minta polis menghantarnya ke HKL semula untuk pemeriksaan.

"Namun apabila tiba di HKL, suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia. Kedua-dua pengawal keselamatan itu kemudiannya ditahan polis pada hari yang sama kerana menyebabkan kematian suspek," katanya.

"Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, seorang pengawal keselamatan berumur 42 tahun terdengar bunyi bising dari arah sebuah rumah yang sedang diubah suai sebelum terlihat dua lelaki sedang mencuri batang besi dan besi paip di dalam rumah terbabit

Beliau berkata, pengawal keselamatan berumur 42 tahun yang ditahan di Jalan Pudu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu berkaitan rusuhan dan dadah manakala seorang lagi berumur 51 tahun itu ditahan di tapak perumahan tersebut serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

"Setelah disiasat, suspek yang mati itu turut mempunyai tiga rekod lampau antaranya berkaitan dadah dan satu ugutan jenayah. Kedua-dua pengawal keselamatan itu kini disiasat di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - BERNAMA

Anwar gagal peroleh kenyataan Saiful kepada polis




2010/10/18

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak percubaan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kenyataan saksi Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dirakamkan oleh polis dalam kes tuduhan liwatnya.

Anwar mahu semua kenyataan tersebut kerana beliau mendakwa terdapat percanggahan dalam keterangan Mohd Saiful semasa dalam perbicaraan kes tuduhan liwat terhadapnya sehingga boleh mendorong kebolehpercayaan pengadu dicabar.

Ketua Pembangkang berusia 63 tahun itu mendakwa Mohd Saiful telah memberi keterangan bahawa dakwaan liwat itu berlaku tanpa kerelaannya tetapi dia (Anwar) didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu mengadakan hubungan seksual secara rela

Mohd Saiful, 25, telahpun memberi keterangan sebagai pengadu dan saksi utama dalam perbicaraan itu.

Dalam keputusan sebulat suara, Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, memutuskan bahawa perintah Mahkamah Tinggi tidak merangkumi definasi perkataan "keputusan" dan ia bukan perintah akhir di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Kami setuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa keputusan mahkamah perbicaraan dalam kes ini bukan merupakan satu keputusan dan ianya tidak boleh dirayu," kata Hakim Arifin yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong dan Datuk Seri Md Raus Sharif.

Mengenai isu dua mukasurat "alasan lebar" yang dibangkitkan oleh peguam Anwar, Karpal Singh semasa hujahan dalam rayuan itu, Hakim Arifin berkata alasan Mahkamah Rayuan menyifatkan sebagai "alasan lebar" adalah jelas dan menyeluruh kerana ia mengandungi semua bahan dalam hujahan penghakiman.
Pada 19 Ogos lalu, Karpal mendesak Mahkamah Persekutuan untuk mengarahkan Mahkamah Rayuan memberikan alasan lanjutan atas penolakan rayuan Anwar, dengan berkata penghakiman tersebut hanya alasan lebar sahaja.

Bagaimanapun, Hakim Arifin dalam penghakimannya berkata Mahkamah Rayuan telah memberi alasan ringkas dan padat dengan memetik beberapa pihak berkuasa dalam menyokong keputusan mereka.

"Dalam beberapa insiden, alasan penghakiman ringkas dan padat sudah memadai. Dalam kes ini, isu di hadapan Mahkamah Rayuan ialah sama ada terdapat hak untuk merayu terhadap keputusan," katanya.

Beliau menegaskan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi sedang memperjuangkan bahawa hakim perlu berusaha menulis penghakiman ringkas dan padat di mana ia diperlukan.

"Kami sangat bersetuju dengannya. Inilah apa yang dilakukan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes ini," kata Hakim Arifin dalam penghakiman 19 mukasurat semasa menolak rayuan Anwar itu.

Anwar sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat. - BERNAMA

Datuk Karim Ghani keluar Umno

Ahli politik veteran yang membawa Umno ke Sabah, Datuk Karim Ghani, hari ini mengumumkan keluar parti itu.Beliau adalah antara bekas pemimpin parti Usno, termasuk Tun Datu Mustapha Datu Harun (pengasas Usno), yang memainkan peranan penting membawa Umno ke negeri itu pada 1990-an.

Usno dibubarkan untuk memberi laluan kepada Umno bertapak di Sabah.Karim berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada ibupejabat Umno di Kuala Lumpur dan pejabat parti itu di Kota Kinabalu, awal hari ini.

Beliau berkata, keputusannya untuk meninggal Umno itu berkuatkuasa serta-merta.Katanya, beliau akan kekal tanpa parti sehinggalah menemui parti politik yang sesuai untuk disertainya.Karim berkata, beliau sudah bosan dengan kegagalan Umno untuk memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Sabah.

Anwar dakwa SPR terima peruntukan 2010 RM250 kendali PRU-13




October 18, 2010

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disediakan dengan peruntukan besar hampir RM250 juta untuk perbelanjaan tahun depan, didakwanya sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum tergempar.

Anwar membangkitkan perkara ini ketika wujud spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 kemungkinan diadakan tahun depan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga mendakwa Bajet 2011 yang diumumkan Jumaat lalu sebagai “bajet pilihan raya”.

Selain itu, SPR juga sedang membuat persiapan untuk mengadakan pilihan raya negeri Sarawak, yang mandat kerajaan negeri akan berakhir Julai 2011.

Ketua Pembangkang memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau dimaklumkan oleh “sumber-sumber dalaman” mengenai peruntukan tersebut dan menuntut penjelasan daripada kerajaan.

“Kami ada menerima maklumat. Dan, saya ingin mengetahui perkara sebenar... bahawa SPR telah dimaklumkan peruntukan sebanyak RM250 juta disediakan kepada agensi itu sebagai perbelanjaan tahun depan,” kata beliau ketika membahaskan ucapan Bajet 2011 hari ini.

Kata beliau, ia berbeza daripada angka peruntukan RM35 juta yang akan disalurkan kepada suruhanjaya itu oleh Kementerian Kewangan.

Anwar juga mempersoalkan mengapa peruntukan yang melambung kepada SPR itu tidak dimasukakn ke dalam perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri, yang diumumkan Jumaat lalu.

“Mengapa peruntukan ini disediakan sebelum bajet diumumkan, tetapi tidak dimasukakn ke bajet,” kata beliau.

“Adakah (peruntukan ini) bermakna persiapan ke arah pilihan raya tahun depan? Kemungkinan Menteri Pertahanan tahu sesuatu sebab beliau senyum, jadi saya merasakan beliau ada maklumat,” katanya.

Anwar juga mempersoalkan ketelusan perbelanjaan SPR dan menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar memantau kewangan suruhanjaya itu.

“Kami ada menerima maklumat dalaman bahawa ada sesetengah proses tidak telus dan kurang akauntabliti,” katanya lagi.

Justeru kata Anwar, SPRM harus menyiasat SPR agar ia menguruskan kewangannya dengan baik.

“Integriti SPR sudah pun terjejas ekoran campur tangan politik yang keterlaluan,” katanya lagi.

Seorang budak terkorban, 2 hilang, 17 selamat tragedi bot ekspres



18/10/2010 8:35pm

KUCHING 18 Okt. - Seorang budak perempuan disahkan terkorban, dua lagi hilang manakala 17 dilaporkan selamat dalam kejadian bot ekspres berlanggar dengan sebuah kapal tunda di hulu Sungai Anap dekat Bintulu kira-kira jam 2.30 petang ini.

Ketua Pasukan Gerakan Marin (PGM) Sarawak ACP Taib Sabot berkata, berdasarkan kepada maklumat daripada mangsa yang selamat, ketika kejadian terdapat 20 orang dalam bot ekspres komersial itu termasuk pemandu.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih lagi giat dilakukan oleh pasukan PGM dengan bantuan pasukan Polis Gerakan Am (PGA) dan penduduk tempatan.

Katanya, keadaan cuaca gelap memaksa operasi SAR kini lebih tertumpu ke lokasi kejadian. - Bernama

Ahad, Oktober 17, 2010

'Guru perlu bantu kerajaan'




2010/10/17

KUALA LUMPUR: Matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran yang akan menghasilkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, berketrampilan serta berupaya memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara.

Sehubungan itu, katanya, guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi.

“Tanpa sokongan guru, saya yakin hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang holistik tidak akan tercapai,” katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ia bertemakan ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru sebagai ejen pelaksana dan ejen perubahan perlu memainkan peranan pada semua peringkat demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia.

Katanya, kerajaan sedar setiap usaha yang hendak dilaksanakan menghadapi cabaran dan halangan, dengan cabaran utama dihadapi pendidik ialah untuk melahirkan warga negara berdaya tahan, dinamik, progresif, berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan berdaya saing pada peringkat global selain meningkatkan nilai akhlak mulia dan penyayang.

Oleh itu, kata beliau, sewajarnya ‘penilaian kritikal’ terhadap proses pendidikan yang sedang berjalan dilaksanakan supaya sebarang penyesuaian selaras dengan keutamaan serta keperluan masyarakat dan global yang sentiasa berubah.
“Justeru, guru perlu mempunyai nilai kepemimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta serta kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan kepada nilai dan etos ‘learning society’,” katanya

Khamis, Oktober 14, 2010

Sukan Komanwel: Beregu campuran badminton sumbang emas


October 14, 2010

NEW DELHI, 14 Okt — Pasangan beregu campuran Malaysia memenangi pingat emas badminton Sukan Komanwel yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Fort di sini hari ini.

Dalam perlawanan akhir itu, Koo Kien Kiat dan Chin Ee Hui mengalahkan gandingan dari England, Jenny Wallwork dan James Nathan 22-20, 21-12. — Bernama

Badminton beregu lelaki kutip emas, ke-12 buat Malaysia


October 14, 2010
NEW DELHI, 14 Okt – Beregu utama negara, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong menyumbang pingat emas untuk Malaysia dalam acara badminton beregu lelaki pada hari terakhir Sukan Komanwel Ke-19 di sini hari ini.
Mereka menewaskan pasangan England James Roberston dan Anthony Clark 21-19, 21-14 di Kompleks Sukan Sri Fort di sini, untuk menyumbang emas ke-12 bagi Malaysia pada temasya sukan itu kali ini. – Bernama

Rabu, Oktober 13, 2010

Lantai sekolah runtuh, 10 murid di Kedah cedera

October 13, 2010

ALOR SETAR, 13 Okt – Seramai 10 orang murid Darjah Empat Sekolah Kebangsaan Sri Gunong di Gunung Keriang dekat sini cedera dengan dua daripadanya serius selepas lantai bangunan sekolah yang menempatkan kelas mereka runtuh pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan 30 murid yang sedang mengikuti kelas Pendidikan Islam.

Lantai dikatakan runtuh secara tiba-tiba dan murid yang berada di dalam kelas itu terjatuh ke dalam lubang sedalam satu meter dan selebar dua meter persegi.

Lima murid lelaki dan lima murid perempuan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi mendapatkan rawatan, oleh pihak sekolah dan ibu bapa yang kebetulan berada di situ.

Salah seorang murid berkenaan, Mohd Aliff Hakim Abu Bakar berkata ketika kejadian, secara tiba-tiba lantai kelasnya reput (patah) menyebabkan dia terjatuh ke dalam lubang runtuhan itu.

“Saya merangkak keluar dan ustazah tarik saya keluar. Saya terkejut. Saya cedera kaki kanan,” katanya ketika ditemui di HSB.

Filza Nadhirah Idris yang juga cedera di kaki kanan berkata sewaktu kejadian dia merasakan kelas itu bergoyang-goyang sebelum dia terjatuh ke bawah.

“Saya jatuh tertiarap. Lutut kanan saya cedera. Saya kemudian menangis. Cikgu angkat saya,” katanya yang kelihatan trauma dengan kejadian itu.

Seorang saksi kejadian, Ali Mohammad, 49, berkata keseluruhan bangunan termasuk lantai yang dibina sekitar tahun 1970-an itu dipercayai pada asalnya diperbuat daripada kayu dan telah diubah suai oleh pihak sekolah lapan tahun lalu dan digantikan dengan lantai simen tanpa mempunyai konkrit yang kukuh.

“Mungkin kayu yang diletakkan simen di atasnya tanpa konkrit yang kuat tidak mampu menanggung pelbagai bebanan seperti meja, kerusi dan peralatan tambahan kelas menyebabkan berlaku runtuhan berkenaan,” katanya.

Pemangku Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Setar, Md Noor Daud berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak sekolah mengenai kejadian tersebut kira-kira 11.22 pagi dan mengejarkan 17 anggota dari balai Alor Setar dan Jalan Raja ke tempat kejadian.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah Zuraidi Rahim yang melawat murid-murid di HSB berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa lapan pelajar menerima rawatan pesakit luar manakala dua lagi agak serius kerana kaki mereka dihempap batu dan almari.

“Dua pelajar ini mungkin terpaksa ditahan di hospital untuk rawatan lanjut. Saya harap ada siasatan segera terhadap kejadian ini kerana ada yang tidak kena dengan lantai bangunan sekolah,” katanya. – Bernama

Sukan Komanwel: Beng Hee-Nicol sumbang gangsa ke-10


13/10/2010 5:59pm

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Malaysia memperolehi pingat gangsa ke-10 menerusi gandingan Ong Beng Hee-Datuk Nicol David setelah menumpaskan Donna Urquhart-David Palmer dari Australia pada acara penentuan gangsa beregu campuran skuasy di Sukan Komanwel XIX , New Delhi hari ini.

KP Imigresen ditukar ke KDN berkuat kuasa 15 Okt.

13/10/2010 6:49pm

PUTRAJAYA 13 Okt. - Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Osman ditukarkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen berkuat kuasa 15 Oktober ini.

Difahamkan surat pertukaran dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu diterimanya pukul 10 pagi ini.

Tugas beliau akan diambil alih oleh Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Datuk Alias Ahmad.

Galas: PKR, DAP komited menangkan calon PAS


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Okt: PKR dan DAP akan memberi sokongan penuh kepada PAS dalam usaha mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 November ini.

Komitmen itu dinyatakan secara rasmi pada sidang media selepas masyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Berikutan itu, mereka akan membantu calon PAS sepanjang kempen PRK tersebut itu nanti.

"Kita bersetuju PAS meletakkan calon dan DAP, keADILan akan berikan seliruh kekuatan dan sokongan bagi mengekalkan calon PAS atas nama Pakatan Rakyat di Galas," ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai sidang media petang tadi.

Turut serta pada sidang media tersebut, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan barisan kepimpinan utama ketiga-tiga parti yang lain.

Pada masa sama, Anwar dan Kit Siang juga turut mengesahkan kehadiran pada majlis pengumuman calon PAS di Galas yang dijadual 22 Oktober ini

Menyentuh persedian PRK Batu Sapi pula, sidang media tersebut turut memaklumkan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Sabah akan bermesyuarat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya bagi Parlimen berkenaan.

Laporan mesyuarat tersebut kata Anwar akan dihantar kepada Pakatan Rakyat Pusat selewat lewatnya Isnin depan.

Dalam pada itu, media turut dimaklumkan bahawa Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-2 akan diadakan di Pulau Pinang pada 19 Disember akan datang.

Ianya akan berlangsung di Dewan Millenium Kepala Batas.

Konvensyen tersebut antara lain akan menyentuh isu Felda dan Felcra, tanah Kampung Baru, isu pendidikan, pekerja wanita serta skandal BN dalam beberapa projek besar negara.

Sebelum konvensyen tersebut, satu Sidang Kemuncak Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29 November ini di Shah Alam.

Mahasiswa mahu Puspal batal konsert Lambert

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan meluluskan konsert artis luar negara, Adam Lambert yang dijadual malam esok.

Bantahan itu disuarakan dalam satu memorandum kepada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) siang tadi.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Puspal di bawah bahagian perlesenan dan penguatkuasaan, Ramlah Amir di pejabatnya di bangunan Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Malaysia, dekat sini.

Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, penganjuran konsert yang akan berlangsung di stadium Putra Bukit Jalil itu akan menambahkan barah gejala sosial terutamanya di kalangan anak muda di negara ini.

Ini kerana ujarnya, Adam Lambert memang sudah diketahui umum bahawa seorang remaja yang membawa ikon 'gay' di Amerika.

"Gamis menyatakan kekesalan kami di atas kelulusan konsert ini yang ternyata bakal membawa kesan negatif kepada anak muda.

"Dalam pada Datin Seri Rosmah (Mansor) dikatakan sibuk mencari formula untuk mengatasi gejala sosial, dalam masa yang sama satu konsert artis tidak bermoral diluluskan," kata Syazwan kepada pemberita sebelum penyerahan tersebut.

Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan memberi kelulusan kepada pihak penganjur mengundang artis itu.

"Apa sebab yang mendesak kerajaan untuk meluluskan kehadiran Adam Lambert sedangkan ramai lagi artis luar negara yang lain yang boleh dipanggil," katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ridhuan Othman berkata, SMM mendesak kerajaan khususnya kementerian terbabit mengkaji balik garis panduan konsert melibatkan artis luar negara serta membatalkan konsert tersebut.

"Kerajaan ada masa lebih kurang sehari lagi untuk membatalkan konsert Adam Lambert.

"Kalau konsert ini diteruskan, kami akan mengerahkan mahasiswa untuk turun beramai-ramai ke stadium esok untuk membuat bantahan dengan mengedarkan risalah dan sebagainya," katanya.

Kira-kira 20 aktivis mahasiswa berhimpun di hadapan bangunan kementerian itu sambil memegang kain rentang bantahan dan dikawal oleh pihak polis.

Sementara itu, dalam pertemuan kira-kira 20 minit dengan Ramlah di pejabatnya, mereka meminta Puspal menjelaskan sebab konsert berkenaan diluluskan di samping menyuarakan kembimbangan terhadap gejala hedonisme yang semakin membarah di kalangan anak muda.

Ramlah bagaimanapun berkata, Puspal tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan kerana ia melibatkan kementerian lain juga.

Namun beliau mengucapkan terima kasih kepada Gamis di atas inisiatif mereka mengadakan pertemuan dengan pihaknya.

7 Kakitangan Imigresen Antara 9 Ditahan ISA


KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh kakitangan Jabatan Imigresen di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan warga asing ke negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, turut ditahan ialah dua warga asing.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi pada Ahad lalu sehingga semalam.

"Polis akan berusaha segala yang mungkin bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara transit untuk warga asing melakukan aktivit jenayah.

"Penahanan dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci, bagi membanteras kegiatan sindiket terbabit yang boleh mengancam keselamatan negara," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, Selasa.

Kes Sosilawati: Empat suspek termasuk seorang peguam didakwa


TERKINI @ 02:33:05 PM 13-10-2010
October 13, 2010

BANTING, 13 Okt — Selepas genap sebulan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain disahkan mati dibunuh dengan kejam dan penuh tragis di Ladang Gadong di sini, empat suspek hari ini menghadapi tuduhan membunuh mereka.

Empat suspek itu termasuklah seorang peguam adik-beradik — N. Pathmanabhan, 41, yang ditahan untuk siasatan awal bulan lalu.

Keempat-empat mereka didakwa di Mahkamah Majistret Banting di sini sebentar tadi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiga tertuduh lain ialah T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.

Ketiga-tiga mereka ini dipercayai pekerja kepada peguam berkenaan.

Kesemua mereka mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pertuduhan terhadap Pathmanabhan, dibacakan dalam bahasa Melayu manakala pertuduhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam bahasa Tamil.

Kesemua mereka didakwa membunuh Datuk Sosilawati dan 3 yang lain di antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.

Ketiga-tiga pekerja itu adalah rakyat tempatan.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Tiga daripada mereka dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan dengan sebuah van manakala seorang lagi suspek yang juga peguam dibawa dengan kereta Waja yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8.30 pagi.

Beberapa minit kemudian pasukan pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohamad Yusof, Idham Abdul Ghani and Saiful Edris Zainuddin tiba di mahkamah.

Terdahulu, peguam kepada peguam adik-beradik itu Ravi Nekoo berkata, mereka didakwa 9 pagi ini di Mahkamah Majistret di sini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh dua peguam adik-beradik dan seorang suspek terhadap perintah lanjutan tahanan reman mereka yang diperoleh polis berhubung kes ini.

Sosilawati (gambar) bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting atas urusan pembelian tanah.

Pada 6 September, dua kereta iaitu BMW M5 dipercayai milik Sosilawati, ditemui di parkir kenderaan Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW 5 series milik Ahmad Kamil pula dijumpai berhadapan sebuah rumah teres yang terletak berhampiran sebuah hotel di sini.

Misteri kehilangan keempat-empat individu terbabit terungkai pada 12 September apabila pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dalam satu sidang akhbar, mengesahkan kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar, manakala abunya dicampakkan ke sebatang sungai berhampiran.

Mohd Bakri berkata ekoran perkembangan terbaru itu, seorang peguam bergelar “Datuk”, adik lelakinya, dua wanita bersama empat yang lain, termasuk pekerja ladang itu, ditahan

Beliau berkata kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati, dan mayat mereka dibakar.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 19 dan 41 tahun, kemudian ditahan reman selama tujuh hari di Balai Polis Bukit Jalil, dengan tangkapan pertama ke atas peguam dan adik lelakinya pada 9 September, lima individu lagi pada 10 Sept dan seorang lelaki pada 12 September lepas.

Penahanan reman kesemua suspek itu ternyata memberi ruang kepada pasukan forensik melakukan siasatan secara terperinci, termasuk mencari bukti yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi tersebut.

Antara bahan bukti yang ditemui di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut dan beberapa lokasi lain adalah tulang-temulang, gelang emas, jam tangan, zink dan rambut, dipercayai milik mangsa.

Pejabat guaman milik Datuk berkenaan turut digeledah bagi mencari bukti penglibatannya dengan kes penipuan yang membawa kepada pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata suspek utama siasatan kes pembunuhan itu turut dikaitkan dengan beberapa kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersial di daerah Kuala Langat.

Beliau berkata suspek utama itu yang turut disiasat berhubung kes kehilangan ahli perniagaan dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja yang tiba di negara ini pada 18 Januari lepas.

Khalid berkata peguam tersebut juga disyaki mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita di Banting tahun lepas.

Akhbar melaporkan bahawa wanita itu T.Selvi, 44, isteri seorang pemilik bengkel kenderaaan, dipercayai dibunuh ekoran perselisihan faham mengenai urus niaga pinjaman wang yang melibatkan peguam itu.

Beliau berkata polis menerima tujuh laporan jenayah komersial terhadap peguam itu, antaranya kes pecah amanah dan penipuan jual beli tanah sejak 2005, yang melibatkan kerugian sebanyak RM7.1 juta.

Kertas siasatan berhubung kes itu kemudian dihantar kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada 21 September lepas, namun dipulangkan kepada polis sehari selepas itu, untuk dilengkapkan termasuk menyertakan laporan DNA.

Penahanan reman ke atas semua suspek pula dilanjutkan beberapa kali bagi membantu siasatan berhubung laporan kes kehilangan beberapa individu lain di sekitar daerah itu, yang dikaitkan dengan peguam bergelar Datuk.

Suspek itu turut disiasat bagi kes kehilangan kontraktor dari Sungai Petani, Kedah iaitu Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya.

“Empat orang didakwa, dan seorang daripada mereka adalah peguam,” kata beliau ketika dihubungi pagi ini.

The Malaysian Insider difahamkan beberapa suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Banting sekitar 8 pagi tadi.

Malah, difahamkan kes itu jika disebut hari ini akan dibuat permohonan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Istana Kelantan lucut ‘Datuk’ Ibrahim, Wan Hashim



Rizal Tahir

KOTA BHARU, 13 Okt: Istana Kelantan menarik balik gelaran Datuk terhadap Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Wan Hashim Wan Daud.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dalam sidang media di pejabatnya, Kota Darulnaim, pagi ini.

Menurutnya, Sultan Muhammad Ke V, hari ini telah mengampuni perkenaan untuk menarik pingat yang membawa gelaran Datuk daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, bekas setiausaha kerajaan negeri, Wan Hashim Wan Daud, Tengku Mohamed Shafei Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.
Kesemua darjah kebesaran itu ditarik gelarannya berkuat kuasa serta merta bermula hari ini, 13 Oktober.
Aiseri berkata, antara darjah kebesaran yang telah ditarik balik daripada Wan Hashim, pelantikan Ahli Darjah Kebesaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.) (Al-Ibrahimi 1).
“Perlantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.P.M.K) (Al-Muhammadi 11),” ujarnya.
Katanya, selain itu turut ditarik Perlantikan Ahli Yang Ketiga (Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (P.S.K) (Al-Ibrahimi 111), Pelantikan Ahli Yang Keempat (Bentara) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (B.S.K) Al-Ibrahimi V).
Sementara itu, menurut Aiesri lagi, Sultan Kelantan telah menarik balik tauliah daripada Ibrahim, pelantikan Darjah Kebesaran Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) (Al-Ismaili ll).
Pada masa yang sama, katanya Sultan Kelantan turut menarik balik tauliah Penganugerahan Bintang Seri Mahkota Kelantan (S.M.K) yang telah dikurniakan kepada Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim.
“Selain itu juga Penganugerahan Pingat Bakti (PB) dan Pelantikan Jaksa Pendamai (JP) yang telah dikurniakan kepada Tengku Abu Bakar Tengku Mansor juga telah ditarik balik berkuat kuasa pada 30 September lalu,” ujarnya.
Aiseri seterusnya memberitahu, penarikan balik pingat dan darjah kebesaran itu menjadi hak Sultan Kelantan yang dijalankan mengikut hemah dan budi bicara baginda.

K'tan nafi rampas tanah bangun ladang rakyat


Okt 12, 10 8:25pm
Kongsi 5
Kerajaan Kelantan hari ini menafikan dakwaan ia merampas tanah rakyat bagi memajukan Program Pembangunan Ladang Rakyat, termasuk di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub berkata sebaliknya ada antara tanah yang dimajukan untuk program itu adalah tanah kerajaan yang diduduki peneroka secara haram dan tidak sah.

Beliau berkata tanah yang dibangunkan menerusi program itu terutama di Gua Musang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit di tanah milik kerajaan negeri.

"Mungkin ada antara rakyat yang terlibat dengan pembukaan tanah bagi melaksanakan program itu tinggal di situ secara haram dan tidak sah, yang
terpaksa akur berpindah dari situ lalu mendakwa kerajaan rampas tanah mereka," katanya.

Ahmad memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat berkata, peserta Ladang Rakyat diberi dividen RM200 sebulan hasil keuntungan melalui program itu sejak berpuluh tahun lalu.

Projek pangkalan udara Sg Besi dimeterai tanpa LOI


Okt 12, 10 7:09pm
Kongsi 36
Jawapan bertulis daripada Kementerian Pertahanan berhubung pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi di Kuala Lumpur di Dewan Rakyat hari ini menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan berhubung projek kontroversial itu.

NONEMenurut kementerian pertahanan, kerajaan pada dasarnya telah menerima cadangan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah menterti kewangan.

Bagaimanapun, tidak ada surat menyatakan hasrat atau letter of intent (LOI) dikeluarkan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulisnya kepada Tian Chua (PKR-Batu).

Chua berkata malah, 1MDB juga telah memeterai perjanjian dengan Mubadala Development yang beribu-pejabat di Abu Dhabi bagi membangunkan semula pangkalan udara seluas 458 ekar itu.

azlanPerjanjian yang dimeterai pada Jumaat lalu itu akan menyaksikan pembangunan semula pangkalan udara di Lembah Klang itu untuk dimasukkan ke Wilayah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIFD).

Projek yang dikenali sebagai 'Greater Kuala Lumpur ' itu dijangka menelan belanja RM26 bilion. Permeteraian kedua-dua syarikat itu disaksikan oleh Najib.

"Jika benar 1MDB memeterai perjanjian minggu lalu, jawapan Zahid adalah menggelirukan kerana sesebuah projek tidak boleh diberikan kepada sesebuah syarikat tanpa LOI," kata Chua.

NONETambahnya lagi, keselamatan negara juga menjadi satu isu kerana pemindahan pangkalan udara itu juga akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk mencari tapak atau lokasi yang strategik.

"Kita terpaksa kaji bagaimana tindakan itu akan menjejaskan keselamatan sesebuah bandaraya. Ada beberapa negara di dunia yang tidak mempunyai perlindungan ketenteraan udara bagi melindungi ibu negara mereka,” kata Chua sambil memberikan contoh, pangkalan udara Andrews di Maryland, Amerika Syarikat yang terletak 13 kilometer dari ibu negara pentadbiran negara itu di Washington DC.

Usah biar lebih ramai terkorban


Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my
2010/10/12

pix_gal0
Kerjasama semua pihak penting elak nahas

SUDAH terhantuk baru terngadah, pepatah yang sesuai untuk menggambarkan tahap kesedaran pengguna jalan raya di negara ini. Menurut kajian, 60 hingga 70 peratus kemalangan berpunca daripada sikap pemandu. Selebihnya, membabitkan masalah kenderaan dan persekitaran jalan raya.
Adakah perlu untuk kita melihat lebih ramai lagi terkorban dek kelewatan melaksanakan apa juga bentuk peraturan dan polisi. Kerajaan berusaha sedaya mungkin memperkenalkan peraturan mahupun jalan penyelesaian, tetapi adakah ia memadai? Sejauh manakah semua peraturan itu benar-benar difahami dan diamalkan. Adakah perlu kita gunakan alat perakam maklumat seperti kotak hitam atau menguatkuasakan penggunaan had kelajuan kenderaan untuk memantau sikap pemandu.
Tidakkah semua ini dilihat umpama memantau kanak-kanak yang belum mampu mengerti apa itu bahaya, mahupun kematian. Berapa banyak lagi akta atau peraturan yang perlu kita perkenalkan semata-mata memantau pelakuan pemandu atau pihak berwajib bersikap acuh tak acuh dalam menguatkuasakan undang-undang.

Baru kelmarin kita dikejutkan dengan kemalangan ngeri meragut 12 nyawa dan mencederakan 40 penumpang bas, kereta, van dan seorang penunggang motosikal.
Ops sikap ke-22 lalu mencatatkan 16,817 kemalangan berlaku dan angka ini sudah cukup membuktikan betapa pengguna jalan raya kurang mengambil iktibar daripada setiap kemalangan yang berlaku. Benar ia dilaporkan menurun 9.5 peratus, berbanding Ops Sikap ke-21 tetapi kemalangan ngeri tetap berlaku dan ia sebenarnya mampu dikurangkan jika semua pihak bekerjasama.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata tidak ada sesiapa yang mahukan kemalangan berlaku tetapi tragedi tetap berlaku atas sebab dan alasan tersendiri. Apa yang pasti, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedang menyiasat secara terperinci kemalangan itu.
“Di negara ini, apabila sudah berlaku kemalangan, baru orang sibuk memperkatakan siapa yang bersalah, ngerinya kemalangan dan punca kemalangan. Sebaliknya, kita gagal mengambil iktibar. Kita tidak pernah mengharapkan semua ini berlaku dan kita tidak mahu pun ia berlaku. Apa yang penting, sudah tiba masanya pengguna bekerjasama dengan kerajaan. Kerajaan tidak mampu bertepuk sebelah tangan dan jangan hanya memandang ia sebagai tragedi,” katanya.

Prof Dr Ahmad yakin sudah tiba masanya semua pengusaha bas mempraktikkan secara keseluruhan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE) bagi mengurangkan kemalangan terutama bas ekspres. Kod amalan itu, mencakupi komitmen pengurusan tertinggi syarikat terhadap keselamatan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan risiko dan perjalanan dan pengurusan dokumen pengurusan kenderaan.

SHE tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994). Kod ini diperkenalkan pada 2007 dan Kabinet memutuskan untuk mewajibkan semua pengusaha kenderaan melaksanakan Kod Amalan SHE.

Mengulas penggunaan Alat Sistem Kedudukan Global (GPS), Prof Dr Ahmad berkata, penggunaan ‘technology in a vacuum’ bukanlah sesuatu yang digalakkan kerana Kod Amalan SHE dilihat lebih sesuai berbanding kebergantungan terhadap alat elektronik.

Walaupun diperkenalkan tiga tahun lalu, masih ramai pengusaha bas tidak memahami kod amalan SHE, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai salah satu syarat wajib lesen. Perkara ini pernah didedahkan Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Apabila kita ambil keputusan jadikan SHE syarat lesen, rupanya hampir semua syarikat tak faham apa itu jawatankuasa dan polisi SHE, inikan pula nak tubuhkan audit dalaman... mereka tak faham apa patut dibuat. Oleh kerana mereka tidak faham, kita tak dapat kuatkuasakan SHE.

“Jadi, sekarang kita nak beri kefahaman kepada mereka dulu. Justeru, selepas kita selesai memberi penerangan kepada mereka mengenai SHE, kita akan beri mereka tempoh tiga bulan untuk bangunkan ketiga-tiga elemen ini dan kemudian baru boleh kenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Berikut ialah senarai nama mangsa yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin:

  • R Ramachandra, 52 – pemandu bas Ekspres Delima (Alamat: Batu 3 Kampung Tengah, Klebang Besar, Melaka)
  • Muhammad Farizuddin Talib, 19 – penumpang bas (Balai Panjang, Malim, Melaka)
  • Azizi Ajis, 20, – penumpang bas (Kampung Japis, Nyalas, Melaka)
  • Norazmi Abdul Karim, 24 – penumpang bas (Kampung Pondok Kempas, Selandar, Melaka)
  • Sharene Sofia Fadzry Tan, 18 – penumpang bas (Taman Semabok, Melaka)
  • Nur Shafika Baba, 19 – penumpang bas (Jalan Pokok Mangga, Melaka)
  • Ng Sok Kuan, 52 – penumpang bas (Sungai Udang, Melaka)
  • Pau Khaw Tual, 21 – penumpang bas (Warga Myanmar)
  • Kam Khaw Tual, 19 – penumpang bas (Warga Myanmar)
  • Cin Chwen Tuang, 30 – penumpang bas (Warga Myanmar)
  • Goo Chuan Heng, 34 – pemandu van Toyota(Taman Maju, Batu Pahat, Johor)
  • Pang Shi Moe, 57 – penumpang kereta Honda Accord (Taman Segar, Segamat, Johor)

    Mangsa dirawat (mengikut hospital)

  • Hospital Tuanku Jaafar, Seremban – 23 orang (4 parah, 19 cedera ringan)
  • Hospital Melaka – 11 orang (2 parah, 9 cedera ringan)
  • Hospital Kuala Lumpur – 1 orang (parah dan kritikal)
  • Hospital Pantai, Melaka – 3 orang (parah dan kritikal)
  • M sentuh syor MMC dalam Bajet

    P
    Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
    bhnews@bharian.com.my
    2010/10/12

    NAJIB bergambar dengan   peserta  sidang Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia  Pasifik Barat  ke-61 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
    NAJIB bergambar dengan peserta sidang Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia Pasifik Barat ke-61 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
    Cadangan ambil alih UEM bagi tingkat nilai pemegang saham kumpulan

    PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan menyentuh isu berkaitan cadangan MMC Corporation Bhd (MMC), syarikat yang dikuasai tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, untuk mengambilalih pegangan saham dalam UEM Group Bhd (UEM) yang dimiliki Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pada pembentangan Bajet 2011 pada Jumaat ini.
    “Saya akan sebut dalam (pembentangan) Bajet (2011) nanti,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai keputusan kerajaan berhubung cadangan MMC itu di sini, semalam.
    Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menerima lima cadangan berhubung pengambilalihan saham UEM itu tetapi tidak menyatakannya secara terperinci.

    “Ada lima cadangan untuk dinilai yang membabitkan syarikat dan beberapa kaedah inovatif yang saya akan umumkan dalam (pembentangan) bajet nanti...ada cadangan yang menarik,” katanya selepas merasmikan sidang Jawatankuasa Seran-tau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pasifik Barat (RCM) ke-61 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

    Pada 5 Oktober lalu, media melaporkan MMC belum menerima apa-apa jawapan daripada kerajaan berhubung cadangan itu.

    MMC juga berkata ia akan mengetuai konsortium bagi pengambilalihan itu dan belum berjumpa dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk menjadi rakan kongsi dalam konsortium berkenaan.
    “Pengambilalihan itu bertujuan meningkatkan nilai pemegang saham kumpulan dan kami akan meninjau peluang pelaburan baru yang dapat memenuhi matlamat itu,” kata MMC.

    Antara syarikat senaraian awam di bawah UEM ialah PLUS Expressways Bhd (PLUS), Faber Group Bhd, UEM Land Holdings Bhd dan Time Engineering Bhd.

    MMC dilaporkan menawarkan RM15.6 bilion untuk mengambilalih UEM.

    UEM memiliki 38.5 peratus saham dalam PLUS manakala Khazanah yang juga pemilik UEM mempunyai 16.7 peratus ekuiti dalam syarikat konsesi Lebuhraya Utara-Selatan itu.

    Laporan sebelum ini juga menyebut PLUS turut menarik minat Asas Serba Sdn Bhd, syarikat dikaitkan dengan bekas pengarah Renong Berhad, Datuk Syed Amin Aljeffri dan Ibrahim Bidin.

    Mazlan: PAS tidak buta, Anak akan dedah banyak lagi isu Felda


    October 13, 2010
    KUALA LUMPUR, 13 Okt — Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman mengingatkan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Yusof Nor supaya berhati-hati dalam menguruskan pentadbiran badan berkanun itu, sebaliknya tidak mempersalahkan pertubuhan itu dan PAS.

    Pemimpin PAS ini berkata parti yang diwakilinya bukan buta dalam soal perkembangan Felda, sebaliknya akan mendedahkan lebih banyak isu berkaitan dengan agensi persekutuan itu.

    “Saya nak ingatkan beliau (Yusof) yang galak bercakap soal Felda dengan kata kita ini penghasut, menabur fitnah, buta dan pelbagai tuduhan lain lagi.

    “Saya minta beliau supaya berhati-hati dengan setiap kenyataan dan komen yang dibuat. Jika tidak lebih banyak pendedahan akan dibuat selepas ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

    Beliau berkata Yusof perlu memperbetulkan keadaan yang “kucar-kacir ini dan jangan menjadi alat Umno lagi.”

    “Jika pentadbiran Felda masih angkuh dan tidak memperbetulkan keadaan ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan lebih banyak penyelewengan yang dibuat Felda.

    “Jadi saya minta supaya Yusof dan pemimpin Umno lain supaya bermuhasabah selain berfikir adalah Felda sudah mencapai hasratnya.

    “Sebelum buat tuduhan kepada kita, lebih baik mereka fikir dahulu,” kata beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

    Mazlan mengulas kenyataan Yusof Sabtu lalu, yang menyifatkan pemimpin parti Islam itu sebagai “orang buta” kononnya tidak memahami corak pentadbiran badan berkanun itu.

    Yusof berkata pemimpin PAS hanya melihat peristiwa yang berlaku itu dari satu sudut sahaja.

    “Bila berlaku masalah mereka hanya melihat dari satu sudut, mereka tidak lihat secara keseluruhan pentadbiran Felda.

    “Kalau orang buta jumpa orang buta, mereka akan kata diri mereka dizalimi kerana dilahirkan buta. Ini adalah percakapan antara orang buta,” katanya.

    Felda sebelum ini menjadi perhatian apabila Pakatan Rakyat (PR) telah membangkitkan pelbagai isu membabitkan badan berkanun itu termasuk isu bankrap.

    Malah terdapat peneroka yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Felda kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran.

    Felda sebelum ini terpaksa membayar RM11 juta kepada seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan berhubung kes tuntutan manipulasi gred buah kelapa sawit.

    Mereka menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.

    Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan peneroka berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.

    Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya berikutan saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka.

    Felda mempunyai 112,635 peneroka dengan 14,882 atau 13.2 peratus daripadanya merupakan peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka.

    iala Malaysia: Penyokong mati akibat sesak nafas

    P

    October 13, 2010

    KUALA LUMPUR, 13 Okt — Seorang penyokong pasukan Kelantan mati dipercayai akibat sesak nafas ketika bersesak keluar dari Stadium Shah Alam selepas tamat perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata mangsa yang dikenali sebagai Che Karma Sulaiman, 39, dari Bachok dan bekerja sebagai pegawai keselamatan, telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.

    Beliau berkata mangsa yang duduk di Aras 5 stadium berkenaan, ditemui pasukan paramedik ketika mula mengalami sesak nafas, bagaimanapun mengatakan dia okey ketika ditanya mengenai keadaannya.

    “Menurut rakannya, si mati pada mulanya mengalami sesak nafas ketika perlawanan berlangsung, namun, ketika ditanya sama ada okey atau tidak, dia kata okey.

    “Namun keadaan mangsa semakin teruk ketika mahu keluar dari stadium selepas tamat perlawanan dan dia rebah ketika menghampiri gerai menjual cenderamata sebelum meninggal dunia,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Ketika itu, berlaku sedikit kekecohan di luar stadium sejurus tamat perlawanan selepas penyokong kedua-dua pasukan melakukan provokasi terhadap lawan masing-masing, namun berjaya disuraikan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

    Noor Azam berkata setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan mengenai angkara vandalisme terhadap kereta.

    Sementara itu, beliau berkata seorang penyokong Selangor cedera di kepala dipercayai dibaling dengan objek.

    Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah.

    Pada perlawanan suku akhir pertama itu, tuan rumah terikat tanpa jaringan dengan Kelantan, dan perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke 1V di Kota Bharu, Sabtu ini. — Bernama

    Mahkamah tolak permohonan tiga suspek kes bunuh Sosilawati


    October 12, 2010

    KUALA LUMPUR, 12 Okt – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh dua peguam adik-beradik dan seorang suspek terhadap perintah lanjutan tahanan reman mereka yang diperoleh polis berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

    Peguam mereka Ravi Nekoo dalam satu kenyataan hari ini berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan itu pagi ini tanpa mendengar daripada pihak terbabit.

    Katanya beliau menerima surat menerusi faksimili daripada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Haslina Basaruddin pada 11.50 pagi tadi dan terkejut cara keputusan itu dibuat dan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    “Kami berpendapat mahkamah seharusnya mendengar permohonan ini kerana ia membabitkan hak orang yang ditahan seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 325(2) Kanun Prosedur Jenayah,” kata Ravi.

    Katanya walaupun mengikut Seksyen 326, hak untuk didengari bukan sesuatu yang automatik, dalam hal berkaitan orang yang ditahan berprasangka, seksyen itu tidak terpakai.

    Semalam, ketiga-tiga suspek memfailkan permohonan di pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi supaya disemak semula perintah yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 8 Oktober lepas membenarkan tahanan mereka dilanjutkan tujuh hari lagi, yang akan berakhir esok.

    Dalam permohonan untuk semakan, Ravi meminta Mahkamah Tinggi meneliti beberapa isu termasuk kegagalan majistret berkenaan menimbangkan permohonan bagi perintah tahanan reman secara individu berbanding “omnibus”.

    Ravi mendakwa majistret berkenaan telah terkhilaf dalam mengeluarkan perintah lanjutan tahanan reman tersebut, manakala alasan yang diberikan polis adalah tidak relevan.

    Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas mereka dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah, dan pada 13 Sept, polis mengesahkan keempat-empatnya dipukul sehingga mati, mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting, Selangor.

    Ravi apabila dihubungi berkata beliau sedang menunggu arahan daripada anak guam dan anggota keluarga mereka sebelum memfailkan rayuan. – Bernama

    Selasa, Oktober 12, 2010

    19 peluru ditemui di kawasan Aminulrasyid ditembak

    October 12, 2010

    SHAH ALAM, 12 Okt — Sebanyak 19 butir peluru ditemui di kawasan perumahan di Seksyen 11 di sini — tempat di mana remaja Aminulrasyid Amzah, 15, ditembak mati oleh anggota polis enam bulan lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam diberitahu hari ini.

    Empat saksi memberi keterangan di mahkamah hari ini, hari pertama perbicaraan. Perbicaraan akan berlangsung sehingga 11 November ini.

    Hakim Latifah Mohd Tahar kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga petang ini selepas jurugambar forensik polis Mokhtar Hussein memberikan keterangan.

    Pada 10 Mei lepas, Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu pagi tadi, perbicaraan kes bermula dengan seorang anggota polis dipanggil untuk menceritakan apa yang terjadi pada malam kejadian.

    Saksi pertama perbicaraan hari ini adalah Lans Koperal Mohd Sabri Salleh dari Balai Polis Shah Alam.

    Dia berkata dia menerima panggilan daripada kereta peronda yang dinaiki Jenain pada pukul 1.45 pagi memaklumkan bahawa sebuah kereta Proton Iswara putih sedang memecut dan enggan berhenti.

    Kereta peronda berkenaan memohon bantuan Mohd Sabri bagi menghentikan kereta tersebut dan memaklumkan sedang mengejar kereta itu dari Hotel Concorde ke Bulatan Kayangan.

    Dia kemudian menghubungi telefon bimbit Jenain dan dimaklumkan bahawa kereta Iswara itu hilang kawalan dan pemandunya cedera di Jalan Makyong 11/2.

    Mohd Sabri kemudian berkata, Jenain menyuruhnya menghubungi ambulans untuk membantu pemandu kereta Iswara itu.

    Detektif Lans Koperal Ahmad Zamzani Abdul Wahab yang dihantar ke tempat kejadian berkata, dia mengambil 41 gambar kereta Iswara itu dan Aminulrasyid termasuk peluru, pokok patah dan juga jalan.

    Jenain diwakili oleh peguam bela Salim Bashir manakala peguam veteran, Karpal Singh bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Aminulrasyid.

    Menurut Timbalan Pendakwa Raya Persekutuan Mohd Dusuki Mokhtar, lima saksi akan dipanggil dan dijangka perbicaraan itu akan mengambil masa selama 11 hari

    Pakaian atlet negara di sukan Komanwel tak perlu dijadikan isu: Shabery



    October 11, 2010

    KUALA TERENGGANU, 11 Okt – Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek membidas sesetengah pihak yang terlalu banyak mengkritik atlet negara secara tidak munasabah, termasuk menjadikan soal berpakaian mereka pada Sukan Komanwel 2010 sebagai isu.

    Beliau berkata kementeriannya menerima rungutan dan komen negatif daripada pihak tertentu berhubung pakaian atlet, termasuk semasa perbarisan pada pembukaan Sukan Komanwel ke-19 yang sedang berlangsung di New Delhi, India.

    Terbaru, pakaian pemenang pingat emas acara angkat berat kelas 62 kilogram, Arrico Jumitih turut dikritik kerana atlet dari Sabah itu dikatakan memakai pakaian dengan lambang negeri yang tidak bersesuaian dengan acara di peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel.

    Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kritikan seumpama itu adalah sesuatu yang negatif, selain tidak wajar untuk menghukum atlet semata-mata berdasarkan pakaian mereka.

    “Saya difahamkan sukan angkat berat terlalu sensitif terhadap banyak perkara, mungkin makanan, pakaian atau persekitaran. Kadang-kadang kalau pakaian tak selesa, mereka tak boleh lakukan yang terbaik.

    “Mungkin itu pakaian paling selesa untuk Arrico pada masa itu, dan ia terbukti menyumbang kepada kemenangan beliau. Pakaian atlet semasa perbarisan juga dikritik, sepatutnya ia tidak dijadikan isu kerana kita tak nak menang berbaris, tapi kalah semasa berjuang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan memperbaiki perkara itu pada masa depan, sekiranya ia didapati menimbulkan kecacatan.

    Mengulas mengenai pencapaian negara setakat ini, Ahmad Shabery berkata sasaran 10 pingat emas masih tidak mustahil dicapai, walaupun temasya sukan itu semakin hampir ke penghujung.

    Katanya, beliau berpuashati kerana kebanyakan acara yang diharap mampu menyumbangkan emas, berjaya mencapai sasaran, dan ada juga acara yang mencipta kejutan, seperti menembak dan basikal.

    “Kita yakin dapat capai sasaran, tetapi tak bolehlah cakap besar, apa yang penting, cuba yang terbaik dan pastikan pingat itu milik kita,” katanya selepas merasmikan penutupan Program Selangkah Ke Universiti (Universiti Malaysia Terengganu) yang disertai 200 pelajar Tingkatan Empat di sini hari ini.

    Program anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan, selain memastikan mereka mempunyai hala tuju selepas menamatkan pelajaran diperingkat sekolah menengah. – Bernama

    Pemuda bidas MCA dan BN, apa masalah PAS jadi kapten Pakatan



    October 11, 2010

    KUALA LUMPUR, 11 Okt – Dewan Pemuda PAS membidas pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden MCA yang cuba memberi gambaran salah khususnya kepada masyarakat Cina berkenaan kemungkinan yang bakal berlaku jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara.

    Sehubungan itu, Ketua Penerangannya Suhaizan Kaiat berkata, persoalan sekarang apa masalah Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan pemimpin BN yang lain jika PAS menjadi “kapten PR” satu hari nanti.

    “Semasa berucap dalam Perhimpunan Agung MCA kali ke-57 semalam beliau telah menyatakan bahawa jika PR memerintah, maka PAS akan menjadi kaptennya.

    “PAS akan membawa dasar-dasar autokratik dan kembali kepada perjuangan asalnya. Ucapan ini disampaikan di hadapan Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi BN serta para pewakilan MCA seluruh negara,” kata beliau sambil menekankan bahawa dasar PAS adalah Islam.

    “Semenjak ditubuhkan 59 tahun dahulu hingga ke hari ini dasar PAS tidak pernah berubah,” katanya mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin BN semalam secara terbuka menzahirkan isyarat bahaya di kalangan pengundi Cina dengan menegaskan sebarang sokongan kepada PR hanya akan membuka ruang kepada PAS mengepalai ikatan muda itu.

    Dr Chua memberi amaran, meskipun PAS memperlihatkan kesederhanaan parti Islam itu pasti tidak akan mengetepikan “pendirian autokratik Islam” jika PR menguasai Putrajaya.

    “Kami merasakan jika Pakatan berkuasa, PAS akan berada di tempat kapten.

    “PAS tidak akan melupakan dasar autokratik Islam dan jangan terkejut jika PAS memperoleh kuasa, ia akan kembali keterbelakang,” tegas Dr Chua.

    Pada perhimpunan MCA semalam, Datuk Seri Najib Razak menyertai Dr Chua dengan memberi amaran kepada pengundi Cina bahawa tidak mungkin PAS akan mengubah pendiriannya.

    “Dr Chua betul dalam memperingatkan anda bahawa mereka (PAS) tidak menyerah dalam pendirian negara Islam mereka. Dan, saya pasti jika ia dilaksanakan, ia akan mengubah cara hidup anda dan memberi kesan ke atas masyarakat Cina,” kata Najib.

    Justeru tegas Suhaizan, Islam adalah agama universal dengan kebaikan yang dibawa oleh Islam adalah untuk seluruh manusia tidak kira agama mahupun bangsa.

    “Buktinya sekitar kampung Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sendiri di Batu Pahat, masyarakat Cina boleh tinggal dengan selamat dan berniaga bersama orang Melayu yang beragama Islam.

    “Bilangan masyarakat Cina tidak sampai 10 peratus di perkampungan tersebut tetapi mereka boleh hidup selesa.

    “Islam menjamin keselamatan semua umat manusia. Jika terdapat kelemahan bukanlah disebabkan oleh Islam tetapi disebabkan oleh penganutnya yang tidak melaksanakan Islam yang sebenar.

    Beliau juga menyoal berapa ramai orang Cina di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang tertindas semasa pemerintahan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Altenatif dan PR dari 1990 hingga sekarang.

    “Jika Islam itu zalim, maka PAS sudah menindas masyarakat bukan Islam sejak 1990.

    “Jika Islam itu tidak bertamadun, maka sudah beribu orang bukan Islam yang dibunuh oleh PAS.

    “Islam melarang memaksa orang lain untuk menganut agama Islam. Hak memilih agama adalah hak masing-masing,” kata beliau sambil menambah agama bukan untuk ikut-ikutan tetapi diikat dengan keyakinan teguh dalam hati yang ikhlas.

    Katanya, Dr. Chua pernah menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri Johor, Ahli Parlimen Labis dan Pengerusi MCA Batu Pahat.

    “Sudah tentunya beliau mendapat gambaran Islam daripada daripada Tan Sri Muhyidin bin Mohammad Yassin (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Abd. Ghani Othman (Menteri Besar Johor).

    “Saya kira Datuk Seri Dr Chua belum mendapat gambaran Islam sebenar daripada PAS khususnya PAS Johor.

    “Saya mencadangkan kepada beliau agar mendapatkan maklumat Islam sebenar daripada anak-anak Johor seperti Datuk Mahfoz Muhammad (Pesuruhjaya PAS Johor), Sallehuddin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Mazlan Aliman (ahli jawatankuasa kerja PAS pusat) dan lain-lain lagi. Mungkin adalah lebih mudah berbicara tentang Islam yang sebenar sesama anak Johor sendiri,” katanya.

    Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, kata Suhaizan, PAS tidak mampu menggubal sebarang undang-undang Islam jika rakyat tidak menyetujuinya.

    Katanya, PAS mengambil pendekatan mendidik terlebih dahulu terhadap prinsip-prinsip keadilan yang terdapat dalam Islam kepada seluruh rakyat Malaysia.

    “PAS yakin suatu masa nanti rakyat Malaysia akan terbuka hatinya untuk menerima undang-undang Islam.

    “Hati manusia sama ada yang beragama Islam atau sebaliknya adalah milik Allah S.W.T. Dialah yang membuka hati atau menutup hati rakyat Malaysia. PAS berserah sahaja kepada Allah S.W.T setelah berusaha mendidik rakyat memahami keadilan dalam Islam,” katanya lagi.

    Katanya, Islam menentang perkauman sempit selain melarang umatnya berlaku zalim dan menafikan hak orang bukan Islam.

    “Umno adalah parti perkauman. Datuk Seri Dr. Chua, jangan mengambil contoh pegangan agama Islam daripada Umno,” katanya.

    Menurutnya, sebahagian besar pemimpin Umno gagal menunjukkan ciri-ciri Muslim yang sebenar.

    “Sebelah tangan memegang Islam sementara sebelah tangan lagi menerima rasuah. Dalam Islam tidak boleh bercampur antara yang baik dengan yang jahat.

    “Parti perkauman seperti Umno tiada panduan yang jelas tetapi PAS jadikan al-Quran dan kehidupan Nabi Muhammad sebagai panduan yang jelas.

    “Ini termaktub dalam perlembagaan PAS. Tidak ada satu ayat al-Quran yang menindas orang bukan Islam,” kata beliau sambil mencabar agar Dr. Chua terjumpa satu ayat al-Quran yang menindas orang bukan Islam sila kemukakan dengan segera.

    “Dalam Islam tiada halangan bagi orang bukan Islam melaksanakan ibadat dan amalan masing-masing seperti meminum arak, memakan daging kinzir dan lain-lain.

    “Pernahkah Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek melihat orang alim yang melarang penjualan daging khinzir kepada masyaraka Cina di kampung-kampung sekitar Batu Pahat.

    “Mereka bebas melakukan aktiviti perniagaan ini. Itulah ajaran Islam sebenar. Islam hanya melarang penjualan barang terlarang seperti arak dan daging khinzir kepada orang Islam sahaja,” katanya.

    Bas cuba potong kenderaan tapi gagal kata penumpang

    October 11, 2010

    SEREMBAN, 11 Okt – Seorang penumpang bas ekspres Delima yang terselamat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 12 nyawa petang semalam, mendakwa dia melihat pemandu bas cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan bas itu mula terhoyong-hayang menyebabkan ia melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

    Tew Chi Ling, 18, pelajar Kolej Bandar Utama itu berkata dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana dapat menyaksikan keseluruhan detik-detik cemas, ketika kemalangan itu berlaku.

    “Saya tengok, ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia. Ada yang mengeluh kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya,” katanya.

    Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti penumpang yang terbabit dalam kemalangan maut itu.

    “Saya bernasib baik kerana selamat bersama seorang rakan kolej. Saya masih dirawat, tetapi rakan telah dibenarkan balik. Saya cuma mengalami cedera ringan dan luka di beberapa bahagian badan,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini hari ini.

    Sebahagian besar penumpang bas ekspres Delima itu sedang tidur ketika kenderaan itu melambung, terhempas dan melanggar beberapa kenderaan lain di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, di Rembau.

    Menurut beberapa penumpang yang terselamat, mereka melihat penumpang lain yang ketika itu ramai yang tidur melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas di atas jalan raya.

    Seorang lagi penumpang, Liow Sin Ren, 23, berkata dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik.

    “Bila saya sedar seluruh badan terasa sakit. Saya buka mata perlahan-lahan dan terkejut apabila bumbung bas sudah tercabut,” katanya yang mengalami keretakan pada tulang hidung dan pipi.

    Katanya doktor terpaksa menyedut serpihan kaca yang masuk ke dalam telinganya.

    Seorang lagi mangsa yang selamat, Nur Najlaa Aquilah Mohd Ghazali, 19, yang kehilangan sebahagian kulit dan daging di pergelangan tangan kirinya berkata dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terhoyong-hayang.

    “Saya terhantuk dan kepala pening sebaik sahaja bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan. Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah,” katanya.

    Beliau berkata ramai penumpang yang mengerang kesakitan dan ada juga yang merangkak keluar dari bas yang sudah remuk.

    “Saya menangis apabila melihat darah banyak mengalir dari pergelangan tangan dan dimaklumkan ia terkoyak semasa kemalangan itu berlaku,” kata pelajar Universiti Malaya itu.

    Sementara itu, beberapa lagi mangsa yang cedera tidak dapat ditemubual kerana masih berada dalam keadaan lemah dan trauma berikutan kejadian itu.

    Turut kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa yang terselamat di bilik wad berkenaan dan perkarangan menunggu di luar wad terbabit.

    Sehingga kini, HTJ telah menerima 24 mangsa yang cedera di tiga wad iaitu wad pembedahan, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad ‘High Dispency’ (HDW) dan kesemua mangsa dilaporkan stabil serta diberi perhatian sebaik mungkin oleh doktor yang bertugas.

    Dalam kemalangan itu, 12 orang terbunuh, manakala lebih 40 dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, sebuah van dan dua kereta dalam kejadian yang berlaku pada pukul 6.40 petang.

    Kejadian itu berlaku, semasa bas ekspres Delima yang dipandu laju, gagal mengawal kenderaan apabila terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas sebelum menghempap dua kereta. – Bernama

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails