Halaman

Khamis, Julai 15, 2010

Acu parang di leher


Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
2010/07/15

TEMERLOH: “Perompak itu mengarahkan saya bangun dan diam ketika mengejutkan dari tidur sebelum seorang daripadanya mengacukan parang di leher,” kata peniaga, Suhaizal Yusuf, 32, menceritakan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Bangau Tanjung di sini, dimasuki empat perompak bertopeng, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, keempat-empat perompak terbabit dipercayai warga Indonesia mati selepas ditembak polis berhampiran sebuah kilang papan di Kawasan Perindustrian Songsang di sini, kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa.

Menurut Suhaizal, dia tidur kira-kira jam 1 pagi sejurus pulang bertemu rakan di pusat bandar dan tidak sedar rumahnya diceroboh penjenayah terbabit yang masuk selepas memotong jeriji tingkap bilik stor.

Katanya, dia hanya sedar apabila kolar bajunya direntap dengan kasar sehingga terkoyak dan melihat dua lelaki memakai topeng berdiri di sisinya sambil mengacu parang di leher.

“Mereka kemudian mengarahkan saya segera bangun dan jangan bising sebelum mengikat tangan saya. Mereka juga bertanya di mana saya menyimpan duit dan barang kemas tapi saya menjawab tidak ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Suhaizal berkata, perompak terbabit kemudian mengurungnya dalam bilik dan seorang daripada mereka mengawasinya supaya tidak lari, manakala tiga lagi menggeledah kediamannya.
“Kira-kira setengah jam kemudian, perompak terbabit beredar selepas mendapat barangan berharga dan mereka sempat menutup semua lampu serta pintu depan. Bagaimanapun, saya tidak terus keluar dari bilik kerana bimbang mereka masih ada di luar.

“Beberapa ketika kemudian selepas suasana sunyi, barulah saya memberanikan diri keluar dari bilik dan memasang lampu,” katanya.

Menurutnya, perompak terbabit mengunci pintu depan rumahnya dengan mangga dan membawa sekali kunci rumahnya supaya dia tidak meminta bantuan.

“Ini menyebabkan saya terpaksa keluar mengikut pintu belakang dengan tangan masih terikat dengan dawai yang dipotong dari ampaian.

“Selepas berjaya keluar rumah, saya berlari ke arah jalan besar dan menunggu di situ jika ada penduduk lalu-lalang untuk meminta bantuan.

“Kira-kira 10 minit menunggu, saya menahan seorang penunggang motosikal yang kebetulan kenalan saya dan meminta bantuannya membuka ikatan serta menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, rakannya kemudian beredar dari situ untuk mendapatkan bantuan dan tidak lama selepas itu datang semula bersama anggota polis peronda yang terus memaklumkan kejadian kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

“Sepasukan polis yang tiba kemudian memeriksa tempat kejadian serta mengambil keterangan sebelum saya dimaklumkan semua perompak terbabit sudah ditembak mati tidak jauh dari rumah saya.

“Walaupun terkejut menempuh detik mencemaskan kali pertama dirompak, saya bersyukur kerana ketika kejadian isteri dan anak tunggal saya tiada di rumah,” katanya.

Suhaizal berkata, isterinya berusia 33 tahun dan anak lelaki berusia setahun lima bulan tiada di rumah kerana mengikut anak saudaranya pulang ke kampung di Bentong.

“Isteri saya mengikut anak saudaranya kira-kira jam 8 malam tadi (kelmarin). Saya tak dapat bayangkan jika kedua-dua orang kesayangan saya ada di rumah, tentu keadaannya lebih menyeksakan.

“Apapun, saya bersyukur kerana tidak dicederakan walaupun kehilangan lima telefon bimbit, komputer riba, beg duit, jam tangan berjenama dan seutas gelang magnet,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails