Halaman

Ahad, Februari 28, 2010

Tendang macam bola


KUALA KUBU BHARU: “Dia tendang budak itu macam bola dan langsung tak pedulikan jeritan orang ramai yang melarangnya,” kata Ahmad Fikri Khalis, 19, yang menyaksikan Syafia Humairah Sahari, 3, dibelasah sehingga mati di padang bola sepak di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini, petang kelmarin.(Harian Metro).

Dimanakah perasaan kasih-sayang, belas kasihan, budi pekerti terutama kepada kanak-kanak yang tidak berdosa dan tidak mengerti apa-apa melainkan hanyalah keseronokan bermain-main sahaja. Usia yang sebegini hanya tahu makan, minum dan bermain sahaja. Apabila mereka lapar, mereka akan meminta makanan atau susu dari ibunya. Setelah penat bermain mereka akan terus tidur walau dimana sekali pun tempatnya. Bangun dari tidur mereka ini akan terus bermain-main. Tiada tahu erti masalah hidup dalam fikiran mereka. Inilah yang dikatakan kanak-kanak.

Setiap hari kehidupan mereka penuh dengan riang ria, gelak ketawa, menangis jika tidak mendapat apa yang dihajati dan bermain-main apa saja yang disukai. Namun begitu semua gelagat kanak-kanak ini memberi satu yang sangat mengembirakan hati ibu-bapa dengan telatah mereka. Kebahagiaan wujud dalam rumahtangga yang mempunyai anak-anak yang comel. Keriuhan dalam sesebuah rumah dengan telatah anak-anak yang sebegini sangat dirindui oleh ibu-bapa yang telah mempunyai anak yang dewasa. Perasaan sayang dan kasih kepada mereka merupakan suatu yang tidak boleh dipisahkan.

Malangnya ada orang yang mempunyai sifat-sifat yang melebihi sifat kebinatangan kerana sanggup memukul dan mencederakan kanak-kanak yang tidak berdosa ini. Apakah perasaan belas kasihan sudah terkubur dalam diri dan hanya wujud sifat-sifat kesyaitanan sahaja? Apakah dengan melakukan demikian , dirinya merasa sungguh puas? Apakah dia tidak takut kepada hukuman dan undang-undang yang ada? Paling penting, apakah dia tidak tidak takut dengan pembalasan Allah di hari akhirat kelak dengan perlakuan yang sedemikian?

Peristiwa sedih ini berlaku hanya selepas sehari kita menyambut hari kelahiran junjungan besar kita Rasulullah. Kita tidak mengambil iktibar dari ajaran yang dibawa oleh baginda. Baginda menjadi contoh ikutan sepanjang zaman dalam kehidupan. Inilah akibatnya apabila manusia itu jahil dan tidak mahu menuntut ilmu sehinggakan tidak dapat mengawal nafsu dan perasaan mereka. Oleh itu marilah sama-sama kita menginsafi diri kita samada kita sudah mencari ilmu, sudah mengamalkan dan menghayati ilmu yang telah dipelajari. Jika belum jadikanlah hari kelahiran nabi Muhammad ini sebagai titik tolak kita untuk berubah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails