Halaman

Jumaat, Februari 26, 2010

Teladani sifat terpuji Rasulullah: Najib



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam mencontohi dan mengambil teladan empat sifat Nabi Muhammad iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia adalah ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan.

Perdana Menteri berkata, empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasikan bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif.


"Maka sudah tentu pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlu berusaha memiliki sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan," kata Najib dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah, hari ini.

Najib berkata, agenda Rasulullah yang memperkukuh institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah secara progresif sewajarnya disuntik ke dalam setiap denyut nadi umat Islam agar terus terpahat kukuh sepanjang zaman.

“Begitulah hebatnya kegigihan Rasulullah dalam mendidik umat yang pada peringkat awalnya adalah masyarakat jahil, bersengketa dan berpecah-belah akhirnya bersatu padu dan bersatu hati.

"Oleh itu, sempena kita memperingati Maulidur Rasul, bersamalah kita merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang utuh lagi kukuh," katanya.

Najib juga berkata, dalam sirah perjuangan Rasulullah, tiada kejayaan yang mudah diperoleh Baginda dan sahabat melainkan melalui perancangan, perundingan dan pelaksanaan yang penuh strategi dan konsisten.

Peristiwa Peperangan Khandak misalnya membuktikan Rasulullah dan sahabat Baginda menggunakan minda yang efektif melalui mesyuarat untuk merancang dan bertindak secara kolektif dan kreatif melalui kepelbagaian strategi.

Maka dalam peperangan itu, tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah berjaya mengalahkan musuh, katanya.

Najib berkata, sebaliknya dalam peperangan Uhud, oleh kerana pasukan Baginda tidak berdisiplin dan tiada perancangan sistematik, mereka menerima kekalahan.

“Sesungguhnya Allah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya perancangan yang strategik dalam menentukan kejayaan.

“Iktibarnya, kita juga memfokuskan beberapa perancangan dan misi besar untuk memaju dan memakmurkan negara,” katanya.

Katanya, bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Wawasan 2020.

"Gagasan 1Malaysia akan memacu bangsa Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020, manakala MEB dan RMK-10 adalah komitmen serta landasan terakhir kita untuk dinakhodai 10 tahun akan datang sebelum menjelangnya 2020,” katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails