Halaman

Khamis, Februari 25, 2010

Dua peragut dirempuh lori


GOMBAK: Umpama perbuatan dosa yang menerima balasan serta-merta, dua peragut yang cuba melarikan diri sejurus melakukan samun dirempuh sebuah lori sebelum terhumban bergelimpangan di atas jalan raya.

Difahamkan, kedua-dua suspek yang menunggang motosikal hanya mampu meloloskan diri sejauh dua kilometer sebelum dilanggar sebuah lori di Rawang, semalam.

Perbuatan yang baik atau jahat, lambat laun akan menerima pembalasan jua akhirnya. Jika ia tidak dibalas semasa di dunia, pembalasan akan berlaku di akhirat. Beruntunglah orang- orang yang banyak amalan-amalan soleh semasa hidupnya di dunia ini dan rugilah mereka yang melakukan maksiat sepanjang kehidupannya.

Untuk terus hidup, kita mestilah mencari rezeki yang halal dengan bekerja samada dengan orang atau sendiri. Dari rezeki itu kita membeli makanan, pakaian dan sebagainya. Rezeki yang halal walaupun sedikit mempunyai keberkatan. Hidup menjadi tenang, aman dan tenteram. Tambahan pula jika rezeki tersebut menjadi nafkah dan perbelanjaan buat anak dan isteri serta keluarga di rumah. Hasilnya keluarga bahagia akan terbentuk dalam sebuah rumahtangga.

Namun begitu jika rezeki yang diperolehi datangnya dari hasil haram seperti meragut dan sebagainya. Sudah tentu ianya tidak ada keberkatan. Bahkan jika digunakan untuk memberi nafkah kepada keluarga, kesannya suasana dalam berumahtangga menjadi tidak tenteram.
Apatah lagi duit yang digunakan untuk membeli barangan seperti makanan dan sebagainya juga menjadi haram.

Setiap daging yang tumbuh dari hasil yang haram, tempatnya di dalam neraka. Oleh itu jauhilah diri kita dari mendapat rezeki dari sumber yang haram. Dalam keadaan hari ini, ada manusia yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang tanpa mengira halal atau haram. Akhirnya berlakulah kejadian seperti meragut, mencuri, merompak, melacur dan sebagainya.

Antara sebab perkara ini berlaku ialah kurangnya pegangan dan amalan beragama di kalangan mereka ini. Agama dianggap penghalang kepada kehidupan. Desakan hidup yang memerlukan wang setiap hari menjadikan mereka mengabaikan ajaran dan perintah agama. Tidak takut kepada pembalasan Tuhan di akhirat kelak juga sebab-sebab kejadian meragut. Tambahan pula hukuman yang dikenakan tidak memadai dan tidak dapat memberi pengajaran kepada mereka.

Malangnya, apa yang menyedihkan ialah kesannya kepada mangsa-mangsa peragut . Ramai yang mengalami truma dan kecederaan yang serius akibat perbuatan mereka. Malah ada yang maut dan mengalami kecacatan yang tidak dapat dipulihkan sepanjang hayat.

Barangkali inilah hasil pendidikan yang diperolehi oleh pelajar masa kini . Mereka ini tidak mendapat pendidikan yang sebaik mungkin sehingga apabila tamat persekolahan berani dan sanggup melakukan perbuatan sedemikian. Apakah fenomena ini boleh kita tujukan kepada guru-guru di sekolah sahaja atau pihak-pihak tertentu sahaja? Sama-samalah kita fikirkan.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails