Halaman

Jumaat, Februari 26, 2010

Pelajar perempuan dalang pecah rumah keluarga


JERTEH: Seorang pelajar perempuan yang ketagih menonton rakaman klip video lucah yang dibeli daripada dua rakannya sehingga berhutang lebih RM1,000 bertindak nekad membenarkan rumahnya di Jalan Haji Wan Latiff, di sini, dirompak rakannya itu bagi melunaskan hutang. (Berita harian)

Apabila hawa nafsu menguasai akal, maka mudahlah berlakunya perbuatan-perbuatan yang tidak baik dan mungkar. Perbuatan maksiat dan mungkar ini terjadi kerana kurangnya pendidikan agama pada seseorang itu. Dalam Islam, pegangan agama dapat menghindarkan diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik seperti menonton video lucah dan sebagainya.

Didikan agama ini bermula daripada seseorang itu berada dalam kandungan ibu lagi. Walaupun ia masih berada di alam rahim ibu, seseorang itu telah mula belajar dan memahami persekitarannya. Ibulah yang perlu melakukan perkara-perkara yang baik semasa mengandungkan anaknya. Jika seorang ibu itu apabila mengetahui dia hamil, Islam mengajar supaya dia banyak membaca al-Quran, berzikir dan bermunajat agar Allah memudahkanya semasa mengandung dan melahirkan anak nanti. Disamping tidak meninggalkan sembahyang dan mengerjakannya seawal masuk waktu.

Inilah amalan-amalan yang disarankan kepada ibu-ibu yang hamil. Dengan membuat amalan seperti banyak membaca al-Quran, anak dalam kandungan juga mendapat manafaat dan setelah dilahirkan nanti akan menjadi anak yang soleh. Sebaliknya jika semasa mengandung, ibu hamil banyak melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton televisen sahaja, nescaya anak yang dilahirkan kelak juga akan mengikut jejak langkah ibunya.

Apabila dilahirkan anak itu sebenarnya mula menggunakan semua pancainderanya dalam memahami dan belajar suasana persekitaran. Oleh itu ibu-ibu hendaklah mendidik bayi ini dengan banyakkan berzikir atau mengucapkan kalimah Allah. Janganlah mendodi bayi di dalam buaian dengan lagu-lagu yang tidak berfaedah. Sebaliknya hendaklah didendangkan bayi ini dengan nasyid Asma ulhusna, zikir-zikir dan tahlil supaya tertanam kekuatan aqidah semasa bayi lagi. Semua yang didengar oleh bayi itu sebenarnya difahami dan akan diingati apabila mereka besar kelak.

Setelah berumur 3 hingga 6 tahun, hendaklah diajar membaca al-Quran dan memahami ibadat-ibadat yang diperintah oleh Allah seperti sembahyang. Hendaklah disuruh mengerjakan sembahyang dan ibadat lain setelah mula berusia 7 tahun. Disamping itu juga diajar perkara-perkara yang diperintah oleh Allah dan diterangkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dalam kehidupan.

Sembahyang adalah ibadat yang wajib dilakukan. Oleh itu anak yang berumur 10 tahun jika tidak mengerjakan sembahyang boleh dirotan dan jika ingkar juga ketika berumur 15 tahun, dia boleh dihalau keluar dari rumah. Ini yang diajar oleh Islam yang menunjukkan sembayang itu sangat penting dalam kehidupan.

Melentur buluh biarlah dari rebung. Maka didikan agama hendaklah bermula dari peringkat dalam kandungan ibu lagi sehinggalah seseorang itu baligh. Ilmu fardhu Ain hendaklah lengkap sebelum seseorang itu mencapai usia baligh. Andainya ia dapat kita selesaikan maka tugas dan tanggungjawab sebagai ibu-bapa sudah terlepas daripada bahu kita. Akhirnya jika semua anak-anak mendapat didikan agama yang secukupnya maka perkara-perkara seperti di atas boleh di atasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails