Halaman

Selasa, Oktober 26, 2010

Saya tak sandar pengaruh Ku Li untuk rampas Galas, kata Aziz

October 25, 2010
Abdul Aziz Yusof akan membawa cabaran Barisan Nasional (BN) di Galas, kerusi DUN yang dirampas PAS pada 8 Mac 2008. – Gambar oleh Choo Choy May
GUA MUSANG, 25 Okt – Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff menolak tanggapan bahawa beliau yang dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) di Galas bersandarkan pada faktor dan pengaruh ketuanya Tengku Razaleigh Hamzah untuk merampas kerusi tersebut daripada PAS.

Sebaliknya Aziz berkata, apa yang penting adalah sokongan dan kepercayaan para pengundi terhadap beliau.

Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas akan diadakan esok.

“Tengku Razaleigh ada kekuatan dan pengaruh tersendiri di sini, lagipun beliau sudah lama berada dalam politik.

“Jadi tidak semestinya saya perlu gunakan pengaruh beliau untuk memenangi pilihan raya kecil ini,” kata beliau.

“Bagi saya apa yang paling penting adalah sokongan dan kepercayaan pengundi dari setiap lapisan masyarakat kepada saya,” kata Aziz kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Gua Musang di Bukit Cekati di sini.

Aziz diumumkan sebagai calon BN di DUN Galas oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada sidang medianya selepas itu, Muhyiddin berharap pemilihan Aziz sebagai calon akan diterima oleh pengundi di kawasan DUN Galas untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin mereka.

Beliau berkata pemilihan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas berunding dengan Tengku Razaleigh dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Aziz memberitahu beliau yakin untuk memenangi pilihan raya kecil DUN Galas dan menolak kemungkinan fenomena pilihan raya umum 2008 akan berulang kembali.

Pada pilihan raya umum yang lalu PAS telah merampas kerusi DUN Galas daripada BN.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima daripada PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus 27 September lalu.

“Pilihan raya umum 2008 merupakan satu tsunami kepada seluruh negara dan tempiasnya turut terkena Galas tapi perkembangan politik sekarang sudah berubah.

“Saya melihat pengundi sudah kembali kepada BN, malah sokongan juga semakin meningkat.

“Perubahan ini menunjukkan pengundi tidak lagi menyebelahi parti satu lagi, saya sebagai calon BN di sini yakin akan memenangi pilihan raya kecil ini,” kata Aziz, yang juga bekas Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Anak kelahiran Kampung Bertam Baru ini juga berkata tidak akan sesekali melakukan serangan peribadi terhadap calon PAS Dr Zulkefli Mohamad yang dipilih mewakili Pakatan Rakyat untuk mempertahankan kerusi DUN Galas.

“Tidak perlu untuk membuat serangan peribadi, banyak isu lain yang boleh digunakan.

“Sebagai contoh isu masalah Orang Asli dan tanah, ini adalah masalah utama di penempatan Orang Asli. Kerana kerajaan negeri Kelantan mengambil tanah tersebut dan menjadikannya sebagai ladang rakyat.

“Yang terima kesan adalah Orang Asli, isu air juga masih tidak selesai juga di sana. Mungkin perkara ini saya akan bangkitkan ketika berkempen nanti,” kata Aziz.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails