Halaman

Selasa, Oktober 12, 2010

Konstabel rogol guru kena 20 tahun, enam sebatan


Oleh Kandau Sidi
kandau@bharian.com.my
2010/10/12

Tertuduh didapati bersalah ceroboh bilik anak anggota polis

MIRI: Seorang anggota polis dijatuhi hukuman maksimum penjara 20 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol anak anggota polis lain di kuarters Ibu Pejabat Polis Marudi di sini, Oktober tahun lalu.

Konstabel Haziq Jumat, 25 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Marudi, didapati bersalah melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 pagi, pada 30 Oktober 2009.
Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, perbuatan jijik anggota polis itu tidak seharusnya berlaku, apa lagi beliau seorang anggota pasukan keselamatan.

Justeru kata beliau, hukuman berat harus dikenakan terhadap tertuduh sebagai teladan kepada anggota pasukan keselamatan yang lain.

“Hukuman ini wajar dijadikan pengajaran kepada individu lain supaya tidak melakukan perbuatan terkutuk ini terutama di kalangan anggota pasukan keselamatan mahupun orang awam,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh menceroboh bilik mangsa yang ketika itu sedang tidur menerusi tingkap dan mengacukan pisau serta mengarahnya membuka seluar, sebelum merogolnya.

Tertuduh ditahan polis selepas mangsa berusia 20 tahun yang bekerja sebagai guru sandaran di sebuah sekolah di sini membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada keesokan hari.

Awang Krisnada berkata, selepas mendengar hujah dan fakta daripada pihak pendakwa, mahkamah mendapati pendakwa raya berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab tertuduh itu telah merosakkan masa depan mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails