Halaman

Sabtu, Oktober 09, 2010

Malaysia raih emas acara 10 meter Raifal Angin


TERKINI @ 06:53:46 PM 09-10-2010
October 09, 2010

NEW DELHI, 9 Okt – Skuad menembak negara akhirnya memecah kebuntuan pingat emas dalam temasya Sukan Komanwel apabila gandingan Nur Ayuni Halim dan Nur Suryani Mohd Taibi menjuarai acara 10m Raifal Angin Wanita di sini hari ini.

Gandingan negara itu menghadiahkan emas keenam negara dengan mengumpul 793 mata, hampir melepasi rekod 795 mata yang dicipta oleh India pada edisi 2002 di Manchester, England.

Penembak wanita itu menamatkan kemarau emas dan menebus kekecewaan pada dua temasya itu sebelum ini apabila kali terakhir negara membidik emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada 1998.

Edisi 2002 di Manchester, England dan disusuli di Melbourne, Austrlia empat tahun kemudian, Malaysia gagal membutirkan kilauan emas baik dalam kategori lelaki mahupun wanita.

Dalam saingan di Lapang Sasar Dr Karni Singh di sini, Singapura meraih pingat perak dengan mengumpul 790 mata manakala penembak tuan rumah India memperoleh pingat gangsa dengan 785 mata.

“Kami menyudahkan cabaran dengan baik dengan rakan sepasukan (Nur Suryani) memang menunjukan kehandalannya. Saya amat bangga kerana mahu melakukan apa yang terbaik untuk pasukan dan negara,” kata Nur Ayuni selepas kemenangan itu.

Jurulatih negara Saidov Isroil berkata beliau bangga dengan pencapaian anak buahnya itu.

“Saya bangga bukan sahaja kerana menang emas tetapi keputusannya yang cemerlang. Lagipun ini adalah kali kedua dalam sejarah Sukan Komanwel, Malaysia menang emas dalam acara menembak selepas kali terakhir pada 1998,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails