ATLET karate negara, R Puvaneswaran meraih pingat emas kelapan buat Malaysia pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China dalam acara Kumite bawah 55 kilogram lelaki yang berlangsung di Gimnasium Guangdong, hari ini.
Rabu, November 24, 2010
Khamis, Oktober 14, 2010
Sukan Komanwel: Beregu campuran badminton sumbang emas
NEW DELHI, 14 Okt — Pasangan beregu campuran Malaysia memenangi pingat emas badminton Sukan Komanwel yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Fort di sini hari ini.
Dalam perlawanan akhir itu, Koo Kien Kiat dan Chin Ee Hui mengalahkan gandingan dari England, Jenny Wallwork dan James Nathan 22-20, 21-12. — Bernama
Badminton beregu lelaki kutip emas, ke-12 buat Malaysia
Mereka menewaskan pasangan England James Roberston dan Anthony Clark 21-19, 21-14 di Kompleks Sukan Sri Fort di sini, untuk menyumbang emas ke-12 bagi Malaysia pada temasya sukan itu kali ini. – Bernama
Rabu, Oktober 13, 2010
Sukan Komanwel: Beng Hee-Nicol sumbang gangsa ke-10
KUALA LUMPUR 13 Okt. – Malaysia memperolehi pingat gangsa ke-10 menerusi gandingan Ong Beng Hee-Datuk Nicol David setelah menumpaskan Donna Urquhart-David Palmer dari Australia pada acara penentuan gangsa beregu campuran skuasy di Sukan Komanwel XIX , New Delhi hari ini.
Selasa, Oktober 12, 2010
Pakaian atlet negara di sukan Komanwel tak perlu dijadikan isu: Shabery

KUALA TERENGGANU, 11 Okt – Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek membidas sesetengah pihak yang terlalu banyak mengkritik atlet negara secara tidak munasabah, termasuk menjadikan soal berpakaian mereka pada Sukan Komanwel 2010 sebagai isu.
Beliau berkata kementeriannya menerima rungutan dan komen negatif daripada pihak tertentu berhubung pakaian atlet, termasuk semasa perbarisan pada pembukaan Sukan Komanwel ke-19 yang sedang berlangsung di New Delhi, India.
Terbaru, pakaian pemenang pingat emas acara angkat berat kelas 62 kilogram, Arrico Jumitih turut dikritik kerana atlet dari Sabah itu dikatakan memakai pakaian dengan lambang negeri yang tidak bersesuaian dengan acara di peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kritikan seumpama itu adalah sesuatu yang negatif, selain tidak wajar untuk menghukum atlet semata-mata berdasarkan pakaian mereka.
“Saya difahamkan sukan angkat berat terlalu sensitif terhadap banyak perkara, mungkin makanan, pakaian atau persekitaran. Kadang-kadang kalau pakaian tak selesa, mereka tak boleh lakukan yang terbaik.
“Mungkin itu pakaian paling selesa untuk Arrico pada masa itu, dan ia terbukti menyumbang kepada kemenangan beliau. Pakaian atlet semasa perbarisan juga dikritik, sepatutnya ia tidak dijadikan isu kerana kita tak nak menang berbaris, tapi kalah semasa berjuang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan memperbaiki perkara itu pada masa depan, sekiranya ia didapati menimbulkan kecacatan.
Mengulas mengenai pencapaian negara setakat ini, Ahmad Shabery berkata sasaran 10 pingat emas masih tidak mustahil dicapai, walaupun temasya sukan itu semakin hampir ke penghujung.
Katanya, beliau berpuashati kerana kebanyakan acara yang diharap mampu menyumbangkan emas, berjaya mencapai sasaran, dan ada juga acara yang mencipta kejutan, seperti menembak dan basikal.
“Kita yakin dapat capai sasaran, tetapi tak bolehlah cakap besar, apa yang penting, cuba yang terbaik dan pastikan pingat itu milik kita,” katanya selepas merasmikan penutupan Program Selangkah Ke Universiti (Universiti Malaysia Terengganu) yang disertai 200 pelajar Tingkatan Empat di sini hari ini.
Program anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan, selain memastikan mereka mempunyai hala tuju selepas menamatkan pelajaran diperingkat sekolah menengah. – Bernama
Terjunan ajaib Pandelela
Daripada V Ashok di New Delhi
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/12
KONTINJEN negara kembali ceria, malam tadi dengan pungutan pingat emas ketujuh dan berterima kasih kepada keringat penerjun muda, Pandelela Rinong yang gah mengungguli acara 10 meter platform wanita di Kompleks Sukan SPM dengan terjunan terakhir yang baik buat melakar sejarah bagi dirinya.
Dua lagi pingat menyusul daripada lawn bowl apabila pasangan negara, Nor Hashimah Ismail dan Zuraini Khalid meraih perak acara pairs wanita selepas tewas kepada England dalam final manakala gangsa daripada pasangan pairs lelaki menerusi Khairul Anuar Abdul Kadir dan Fairul Izwan Abd Muin buat mendekatkan sasaran 10 emas.
“Saya gembira hari ini. Pingat emas ini saya hadiahkan untuk ibu dan ayah tercinta. Satu ketika saya kecewa apabila membuat terjunan kurang baik pada pusingan kedua dan pada saat itu saya hanya terbayang peluang untuk berada dalam kelompok tiga terbaik saja,” kata Pandelela.
“Pada terjunan terakhir, jurulatih kata jangan buat salah. Dia kata jika buat salah, saya tidak akan dapat emas. Apabila saya naik tangga ke platform, saya ingat pesanan jurulatih dan melakukan yang terbaik. Memang cabaran hari ini kuat. Dua penerjun Australia memang hebat.”
Jelas kemenangan amat tipis apabila penerjun negara hanya menewaskan lawan terdekat dengan perbezaan perpuluhan 0.60 mata saja selepas Melissa memberi saingan sengit sehingga ke terjunan terakhir dalam acara membabitkan 12 peserta
Ahad, Oktober 10, 2010
Penembak Malaysia raih perak, gangsa dalam acara 10M raifal akhir

2010/10/10
NEW DELHI: Penembak Malaysia, Nur Ayuni Halim terlepas pingat emas keduanya apabila ketinggalan dua mata dalam acara akhir 10m raifal angin wanita perseorangan di Sukan Komanwel ke-19 di sini, Ahad.Beliau meraih pingat perak selepas mengumpul 396 mata, dalam persaingan sengit di belakang penembak Singapura, Jasmine Wei Xiang yang memperoleh emas dengan 398 mata.
"Saya gembira. Saya juga gembira untuk pasukan. Semalam, kami menang pingat emas bagi pasukan dan hari ini saya menang perak. Benar-benar menyeronokkan.
Mata yang dikumpul oleh penembak Singapura itu juga menyamai rekod yang dibuat oleh penembak India, Anjali Bhagwat pada Sukan Komanwel di Manchester pada 2002.
Sementara itu, Nur Suryani Muhamad Talib, yang kini berada pada kedudukan ke-13 di dunia dan dikatakan akan memenangi pingat emas dalam acara ini hanya memperoleh pingat gangsa selepas mengumpul 395 mata.
Semalam, kedua-dua penembak itu memperoleh pingat emas dalam acara 10m raifal berpasangan dan membawa jumlah pungutan emas kepada enam. - BERNAMA
Rabu, Julai 07, 2010
Malaysia sertai Piala Dunia lawan pedang IWAS 2010
KUALA LUMPUR - Selepas beberapa tahun tidak menyertai mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa, Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) akan menghantar tiga atlet ke Piala Dunia Lawan Pedang Persekutuan Sukan Berkerusi Roda dan Kudung Antarabangsa (IWAS) di Warsaw, Poland.
Abdul Rahman Razali, Mohd Zamrin Kassim dan Mohd Fauzizaldi Jusoh diberi tanggungjawab menggalas cabaran negara pada kejohanan tahunan itu yang bermula Jumaat ini hingga 11 Julai depan.
Pengarah Cawangan Paralimpik MSN Mohd Safrushahar Yusoff berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan usaha mereka untuk menempatkan atlet-atlet elit paralimpik dalam senarai ranking dunia.
"Selepas sahaja Sukan Para Asean di Korat, Thailand pada 2008, atlet-atlet elit khususnya dalam acara lawan pedang ini tidak berpeluang menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Para Asean yang diadakan di sini tahun lepas.
"Pada temasya di Kuala Lumpur tahun lepas, atlet kita tidak dapat beraksi dan mengukur kemampuan mereka memandangkan acara berkenaan tidak dipertandingkan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohd Safrushahar berkata, pendedahan ini secara tidak langsung bertujuan untuk membolehkan kesemua atlet berkenaan menggumpul mata ranking dunia untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik London pada 2012.
Ketiga-tiga atlet berkenaan menjalani latihan sepenuh masa di MSN sejak Februari lepas di bawah bimbingan jurulatih Muhammad Fairuz Ibrahim.
Mereka akan mengambil bahagian dalam acara Epee individu dan berpasukan kategori B serta Sabre individu dan berpasukan kategori A, katanya.
Beliau berkata, sandaran utama terletak di bahu pemenang pingat emas Epee individu kategori B di Sukan Para Asean Korat iaitu Abdul Rahman Razali.
"Kita tidak letakkan sasaran yang tinggi kepada mereka semasa beraksi di Poland. Bagaimanapun, saya mengharapkan mereka mampu memberi saingan yang sewajarnya.
"Penyertaan pada Piala Dunia Lawan Pedang IWAS ini juga akan dijadikan pendedahan kepada atlet dalam menghadapi temasya Sukan Para Asia pertama di Guangzhou, China pada Disember depan," kata Mohd Safrushahar.
Ketiga-tiga atlet itu, yang diiringi tiga pegawai, akan berangkat ke Warsaw, Poland tengah malam ini.