Halaman

Jumaat, November 12, 2010

Pengetua sekolah mengaku tidak bersalah palsukan sembilan invois bernilai RM7,640



RAUB - Seorang pengetua sekolah di Triang, Bera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap sembilan pertuduhan membuat pemalsuan invois pembekalan buku-buku latihan sekolah dan bahan pembelajaran lain yang melibatkan nilai keseluruhan RM7,640 pada 2005 dan 2006.

Cheong Chok Weng, 57, Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Triang, Bera didakwa melakukan kesalahan itu pada Oktober dan Disember 2005 serta Disember 2006, ketika menjadi Pengetua Sekolah Menengah Khai Mun, Bentong.

Mengikut kertas pertuduhan, lapan penipuan invois dilakukan oleh tertuduh pada Oktober dan Disember 2005 apabila membuat invois Chewai Enterprise, membabitkan pembekalan alatan pembelajaran yang keseluruhannya bernilai RM7,440 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh Chewai Enterprise.

Antara pembekalan berkenaan adalah soalan mirip peperiksaan Matematik Tambahan Tingkatan 5 (SPM) Kertas 1, pad kertas lukisan, soalan mirip peperiksaan Fizik SPM Kertas 1 dan Kertas 2, buku Latih Tubi SPM English Paper 1, kertas lejar dan jurnal.

Pada Disember 2006 pula, Cheong dituduh melakukan penipuan satu invois LZW Dagang mengenai pembekalan kertas latihan Bahasa Cina SPM Kertas 1 dan 2 yang bernilai RM200 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh LZW Dagang.

Tertuduh yang berasal dari Taman Hussein, Bentong didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta yang sama di mana jika sabit kesalahan, dia boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum lima kali nilai suapan serta penjara tidak lebih 20 tahun bagi setiap pertuduhan.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula untuk membolehkan tertuduh melantik peguam.

Cheong membayar wang jaminan berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya, Mohd Asnawi Abu Hanifah.-BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails