2010/11/08
KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini menfailkan saman fitnah terhadap The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) kerana menyiarkan artikel berunsur fitnah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di akhbar Berita Harian, pada 2 November lalu.Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, melalui Tetuan Karpal Singh & Co, di sini, petang ini.
Dalam pernyataan tuntutannya, Lim mendakwa NSTP telah secara salah dan berniat jahat menyebabkan artikel bertajuk "Tindakan Kit Siang tuduh UMNO kafir melampau" yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah dicetak dan disiarkan di akhbar Berita Harian.
Lim mendakwa penyiaran perkataan-perkataan fitnah itu, telah merendahkan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik serta penghinaan awam, dan sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos.
Lim mendakwa defendan (NSTP) langsung tidak memohon maaf kepadanya walaupun mereka sememangnya mengetahui keadaan sebenar, malah ralat yang disiarkan NSTP pada akhbarnya keesokan hari, adalah tidak ikhlas dan menjadikan kesan lebih teruk kepada plaintif. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan