Halaman

Isnin, November 08, 2010

Banjir: Jawatankuasa Khas akan bekerjasama dengan kerajaan negeri salur bantuan




KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, berkata jawatankuasa khas bagi membantu semua mangsa banjir meneruskan kehidupan mereka selepas bencana itu, yang dipengerusikannya akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri yang terbabit tanpa mengira parti politik kerajaan memerintah.

Beliau berkata, kerajaan pusat dan kerajaan negeri, termasuk Perlis, Kedah dan Kelantan, harus bersatu padu dan bekerjasama membantu mangsa banjir untuk memulihkan kehidupan rakyat di negeri terbabit selepas bencana alam itu.

"Kerosakan yang dialami oleh semua mangsa sangat besar, dan ini akan membebankan mereka. Jadi sebagai pemimpin sesebuah negeri kita perlu tampil membantu tanpa mengira parti politik," katanya selepas melancarkan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia di sini, hari ini.
Chor, yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, berkata semua mangsa banjir tanpa mengira kawasan, pedalaman atau bandar, wajar menerima bantuan mengikut jumlah kerosakan yang dihadapi mereka.

"Kita tidak mahu nanti sesetengah pihak mendakwa mereka tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan pusat, mahupun kerajaan negeri," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menyalur sebarang bentuk bantuan yang boleh diberikan kerajaan dengan cepat untuk memudahkan mangsa banjir meneruskan kehidupan mereka selepas bencana itu.

Chor berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat pertama jawatankuasa itu tidak lama lagi dan akan menggunakan semua sumber maklumat mengenai mangsa banjir di negeri terbabit bagi mengenal pasti mangsa yang benar-benar terbabit dengan bencana alam itu.
"Segala maklumat dan sumber yang membabitkan semua mangsa amat diperlukan bagi proses seterusnya, iaitu mengenal pasti kerosakan yang dihadapi mereka," katanya.

Chor berkata, antara senarai yang boleh digunakan adalah melalui laporan polis, senarai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah negeri dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK).

"Mungkin selepas mesyuarat jawatankuasa diadakan kelak, kita akan kenal pasti lagi sumber lain yang mengait kepada mangsa banjir," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan bencana alam itu, kerana mengikut laporan yang diterima bencana itu mungkin akan berlarutan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails