Halaman

Rabu, November 24, 2010

Sukan Asia: Malaysia Menang Dua Emas, Satu Gangsa Dalam Acara Karate


GUANGZHOU, 24 Nov (Bernama) -- Pasukan karate Malaysia menyumbangkan dua emas dan satu gangsa Rabu, tetapi kehilangan dua pemenang pingat emasnya apabila mereka mengumumkan Sukan Asia di Guangzhou merupakan temasya terakhir mereka.

Dalam acara yang berlangsung di Gimnasium Guangdong di sini hari ini, atlet karate berpengalaman Ku Jin Keat dan R Puvaneswaran meraih emas manakala Lim Lee Lee memenangi gangsa.

Jin Keat mencatat sejarah apabila menjadi atlet karate Malaysia pertama memenangi acara Kata dalam temasya Sukan Asia, memecah dominasi kuasa besar Jepun dalam disiplin sukan itu.

Selepas memenangi gangsa dalam penyertaan pertama Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan, Jin Keat memperbaiki warna pingat apabila memperoleh perak pada temasya di Doha, empat tahun lepas.

Hari ini, atlet karate berusia 35 tahun itu menamatkan kerjaya gemilang dalam sukan itu dengan memenangi emas acara akhir Kata Individu Lelaki, menumpaskan Oki Itaru dari Jepun 3-2.

Kesemua lapan acara Kata Individu lelaki dan wanita pada Sukan Asia sebelum ini didominasi oleh Jepun.

Atlet Malaysia memulakan acara hari ini dengan menewaskan Cheng Tsz Man dari Hong Kong 5-0 dalam pusingan ketiga sebelum menumpaskan Dmitri Kazanor dari Kazakhstan 5-0 di peringkat suku akhir.

Pada separuh akhir, Jin Keat menewaskan Faizal Zainuddin dari Indonesia 4-1 sebelum bertungkus lumus menumpaskan atlet karate Jepun di peringkat akhir.

Namun edisi Sukan Asia Guangzhou mungkin yang terakhir baginya.

"Kemenangan pingat emas ini sangat bermakna kepada saya kerana ini mungkin Sukan Asia terakhir saya. Saya sudah berusia 35 tahun sekarang dan tidak sesuai untuk saya bertanding lagi empat tahun dari sekarang," katanya.

"Saya menang satu perak dan gangsa dalam dua Sukan Asia sebelum ini dan kini saya berasa bangga dan berpuas hati untuk bersara dengan satu emas," katanya kepada wartawan selepas pertandingan di sini hari ini.

Sementara itu, Puvaneswaran yang sebelum ini mengumumkan Sukan Asia kali ini merupakan temasya terakhirnya, memperbaiki pingat perak yang diperoleh di Doha kepada emas selepas menewaskan Emad Mohammed Al Malki dari Arab Saudi dalam acara 55kg Kumite Lelaki.

Kedua-dua atlet yang agresif berusaha mendapatkan mata menerusi tumbukan dan tendangan keras dengan sorak-sorai para penonton.

Pada akhir tiga minit pertandingan, dan keempat-empat juri tidak mengangkat bendera masing-masing kepada pemenang, pengadil Michael Huang dari Taiwan menggunakan kuasanya mengisytiharkan Puvaneswaran sebagai pemenang.

"Tamatlah kisah cinta saya terhadap sukan ini. Dan saya bernasib baik kerana mengakhirinya dengan satu pingat emas. Saya berharap menjadi jurulatih negara tetapi terserah kepada Majlis Sukan Negara," kata atlet karate Malaysia berusia 36 tahun itu.

Pada pusingan ketiga, Puvaneswaran menewaskan Nguyen Hoang Hiep dari Vietnam 1-0, memenangi peringkat suku akhir menewaskan Hsieh Cheng Kang (Taiwan) dengan penghakiman pengadil, dan menumpaskan Mohammad Ghasemi Laskoukalayeh 1-0 dari Iran pada separuh akhir sebelum mengalahkan atlet Arab Saudi di peringkat akhir.

Sementara itu, teman wanita Jin Keat sejak Sukan Asia Busan, Lee Lee berpuas hati memperoleh pingat gangsa selepas menewaskan Dewi Yulianti dari Indonesia 5-0 dalam penentuan pingat itu dalam acara Kata Individu Wanita.

Lee Lee sebelum itu menewaskan Yanisa Torratanawathana dari Thailand 5-0 pada pusingan ketiga sebelum tewas kepada atlet karate Jepun Rika Usami 0-5 pada suku akhir.

Dalam acara repechage, atlet Malaysia menewaskan Roji Nagarkotifron dari Nepal 5-0 untuk penentuan gangsa berhadapan Indonesia.

-- BERNAMA


Pingat emas ke lapan negara di Sukan Asia



E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ATLET karate negara, R Puvaneswaran meraih pingat emas kelapan buat Malaysia pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China dalam acara Kumite bawah 55 kilogram lelaki yang berlangsung di Gimnasium Guangdong, hari ini.

Selasa, November 23, 2010

Sukan Asia: Hoki lelaki Malaysia mara ke final




2010/11/23

GUANGZHOU: Pasukan hoki lelaki Malaysia melangkah ke final selepas menundukkan India 4-3 pada perlawanan separuh akhir, sebentar tadi.

Gol kemenangan itu diperolehi 'jaringan emas' ketika masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas masa penuh permainan.

Jumaat, November 12, 2010

Pelajar berkhalwat



TAMPIN – Kerana sayang dan cinta, seorang pelajar tingkatan dua, salah sebuah sekolah di Daerah Tampin ditangkap berkhalwat bersama pasangannya, yang juga pelajar tingkatan lima, dari Daerah Alor Gajah di sebuah hotel di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sinar Harian difahamkan, usaha menangkap pasangan sekolah itu mengambil masa lebih dua jam apabila sepasukan kakitangan bahagian penguatkuasaan Pejabat Agama Islam Daerah dengan bantuan polis gagal memasuki bilik sewa mereka, seawal jam 8.50 pagi.

Menurut sumber, berikutan kedegilan pasangan pelajar terbabit yang berlanjutan sehingga jam 10.50 pagi, pasukan serbuan terpaksa menendang pintu untuk memecah masuk ke bilik sewa berkenaan.

“Bagaimanapun, pelajar lelaki terbabit akhirnya membuka pintu bilik hotel selepas hampir dua jam 15 minit, pasukan serbuan berusaha untuk masuk.

“Pelajar itu juga didapati masih mengenakan seluar sekolah berwarna hijau dan baju T berwarna coklat, sementara pasangannya dilihat dalam keadaan sugul dan terkejut dalam tandas. Dia berpakaian lengkap baju T dan seluar sukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Masalah air di Kelantan selesai dalam tiga tahun jika BN perintah: Awang Adek

BACHOK - Jika kerajaan Pas Kelantan memerlukan 17 tahun lagi untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu, Barisan Nasional hari ini berjanji untuk mengatasinya hanya dalam tempoh tiga tahun atau selewat-lewatnya satu penggal pemerintahannya.

Ketika membuat janji itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, pengumuman kerajaan Kelantan yang rakyat negeri itu akan dapat menikmati bekalan air bersih sepenuhnya dalam tempoh 17
tahun lagi adalah bukti kegagalan Pas memerintah negeri itu.

"Saya sangat kesal dan terkejut apabila mengetahui rakyat Kelantan perlu menunggu 17 tahun lagi untuk mendapat bekalan air bersih ini. Masalah ini boleh diatasi kalau rakyat bagi kepercayaan kepada BN (untuk perintah Kelantan).

"Kita akan dapat selesai hanya dalam tempoh dua atau tiga tahun sahaja atau paling lewatnya satu penggal (pemerintahan). Terserah kepada rakyat Kelantan nak tunggu 17 tahun lagi atau hanya tiga tahun, dan ini satu jaminan (kepada rakyat Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaan pemain bola sepak Kelantan dan perarakan Piala Malaysia di Dataran Perahu di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dan ketua jurulatih pasukan Kelantan B. Sathianathan serta lebih 5,000 penyokong. Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Okt lepas.

Awang Adek berkata, jika rakyat Kelantan perlu menunggu sehingga 2027 untuk mendapat bekalan air bersih, itu menunjukkan pemimpin Pas Kelantan tidak mampu mentadbir, dan negeri itu akan terus ketinggalan pada masa depan.

"Yang sedih perkara seperti ini dikaitkan dengan Islam (sedangkan) yang sepatutnya kemajuanlah yang kita boleh kaitkan, kerana ia tuntutan agama dan bukannya perkara yang hanya boleh memburukkan imej Islam. Saya rasa rakyat Kelantan akan sedar mengenai perkara ini," katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang berakhir semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Mej (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, liputan air bersih yang sepenuhnya bakal dinikmati rakyat Kelantan selewat-lewatnya pada 2027.

Md Anizam dilaporkan berkata, sehingga tempoh itu kerajaan negeri melalui Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd akan menaik taraf secara berperingkat infrastruktur bekalan air bersih ke seluruh negeri.-BERNAMA

UPSR 2010: Presiden PAS ucap tahniah


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010.

“Jadikan kecemerlangan tersebut sebagai panduan untuk mencari keredhaan Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang dalam laman twitter.

Keputusan UPSR 2010 adalah terbaik dalam sejarah iaitu pertama kali melebihi 10 peratus apabila 48,327 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Semasa mengumumkan keputusan itu, semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, berkata calon memperoleh keputusan semua A meningkat kepada 10.02 peratus berbanding 9.51 peratus tahun lalu.

Pengetua sekolah mengaku tidak bersalah palsukan sembilan invois bernilai RM7,640



RAUB - Seorang pengetua sekolah di Triang, Bera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap sembilan pertuduhan membuat pemalsuan invois pembekalan buku-buku latihan sekolah dan bahan pembelajaran lain yang melibatkan nilai keseluruhan RM7,640 pada 2005 dan 2006.

Cheong Chok Weng, 57, Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Triang, Bera didakwa melakukan kesalahan itu pada Oktober dan Disember 2005 serta Disember 2006, ketika menjadi Pengetua Sekolah Menengah Khai Mun, Bentong.

Mengikut kertas pertuduhan, lapan penipuan invois dilakukan oleh tertuduh pada Oktober dan Disember 2005 apabila membuat invois Chewai Enterprise, membabitkan pembekalan alatan pembelajaran yang keseluruhannya bernilai RM7,440 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh Chewai Enterprise.

Antara pembekalan berkenaan adalah soalan mirip peperiksaan Matematik Tambahan Tingkatan 5 (SPM) Kertas 1, pad kertas lukisan, soalan mirip peperiksaan Fizik SPM Kertas 1 dan Kertas 2, buku Latih Tubi SPM English Paper 1, kertas lejar dan jurnal.

Pada Disember 2006 pula, Cheong dituduh melakukan penipuan satu invois LZW Dagang mengenai pembekalan kertas latihan Bahasa Cina SPM Kertas 1 dan 2 yang bernilai RM200 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh LZW Dagang.

Tertuduh yang berasal dari Taman Hussein, Bentong didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta yang sama di mana jika sabit kesalahan, dia boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum lima kali nilai suapan serta penjara tidak lebih 20 tahun bagi setiap pertuduhan.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula untuk membolehkan tertuduh melantik peguam.

Cheong membayar wang jaminan berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya, Mohd Asnawi Abu Hanifah.-BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails