2011/11/22
SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menimbangkan kemungkinan untuk bertemu dengan pemimpin parti politik di negara ini bagi membincangkan rasional mengadakan Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri serentak.Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, berkata walaupun perkara itu diputuskan kerajaan negeri masing-masing, namun adalah wajar sekiranya dilakukan secara serentak bagi menjimatkan perbelanjaan dan mengelak pembaziran tenaga kerja.
Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan negeri pakatan pembangkang khususnya di Pulau Pinang dan Selangor yang berkemungkinan mahu pilihan raya berasingan dilakukan di negeri terbabit.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyatakan DUN Selangor tidak akan dibubarkan sekali pun Kerajaan Pusat bertindak membubarkan Parlimen pada Januari depan bagi memberi laluan kepada PRU13.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pula menyatakan pakatan pembangkang akan berbincang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya umum atau sebaliknya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, SPR akan mengeluarkan 42,000 nama pengundi dalam senarai pemilih yang berstatus "tidak pasti" sekiranya mereka tidak dapat dikesan sehingga 31 Disember ini.
Beliau berkata, pihaknya yang turut bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pelbagai parti politik terpaksa berdepan masalah dalam menentukan identiti pengundi berkenaan berikutan jumlah mereka yang tampil adalah kecil.
"Justeru, SPR juga sudah mempamerkan senarai pemilih yang 'tidak pasti' itu kepada orang awam selain mempamerkan di laman web SPR bagi melancarkan usaha mengenal pasti pengundi tersebut dan menentukan status sebenar mereka.
"Sehingga kini sebanyak 13,000 pengundi bersatus tidak pasti itu adalah di Sabah, manakala 3,000 dikesan di Kedah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan