2011/11/09
JAKARTA: Skuad bola sepak Sukan SEA Malaysia memenangi perlawanan kedua
peringkat kumpulan A selepas menewaskan Thailand, 2-1 di Stadium Utama
Gelora Bung Karno di sini, sebentar tadi.
Pasukan bola sepak Sukan SEA negara mendahului Thailand 1-0 hasil
jaringan ketua pasukan, Baddrol Bahtiar pada minit ke-24, separuh masa
pertama.
Pada penghujung separuh masa kedua, pasukan Thailand menyamakan
kedudukan menerusi Natarid Thammarossopon pada minit ke-78 selepas
merembat kencang melepasi penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.
Bagaimanapun, penyerang negara, Izzat Faris Ramlan membuat lencongan
cantik di sebelah kiri gawang seterusnya menjaringkan gol kemenangan
pada minit ke-85 bagi memastikan kemenangan negara dalam perlawanan
kedua kumpulan A Sukan Sea 2011 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Perlawanan peringkat kumpulan hari ini adalah yang kedua selepas
pasukan negara seri tanpa jaringan menentang Singapura, baru-baru ini.