Halaman

Isnin, Oktober 24, 2011

MotoGP batal, pelumba Itali Simoncelli terbunuh



PERLUMBAAN MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terpaksa dibatalkan selepas kemalangan melibatkan penunggang pasukan San Carlo Honda Gresini, Marco Simoncelli.

Tragedi ini adalah yang pertama berlaku di SIC juga yang pertama melibatkan kematian pelumba motosikal di litar sama.

PELUMBA MotoGP, Marco Simoncelli terbunuh, setelah terlibat dalam kemalangan pada perlumbaan Grand Prix MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali gus membawa kepada pembatalan perlumbaan itu, semalam.

Perlumbaan tersebut dibatalkan penganjur perlumbaan, Sepang International Circuit (SIC) dan Dorna Sports iaitu pemegang hak perlumbaan MotoGP Dunia.

Simoncelli ,24, yang juga pelumba nombor satu Kejohanan Minimoto Itali sejak 1996 hingga 2000 itu, dikatakan gagal mengawal jenteranya lalu terjatuh sebelum dirempuh dua pelumba lain iaitu Colin Edwards dan Valentino Rossi di selekoh ke-11.

Pengarah Perubatan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Dr Michele Macchiagodena mengumumkan kematian Simoncelli pada sidang media di Litar SIC.

Menurut Macchiagodena, pelumba pasukan San Carlo Honda Gresini itu, yang mengalami kecederaan di bahagian toraks dan perut, meninggal dunia pada jam 4.56 petang di pusat perubatan SIC di litar berkenaan.

Sementara itu, Edwards turut terlibat dengan insiden berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Manakala Rossi yang menunggang jentera Ducati, berjaya kembali ke pit sejurus selepas pertembungan tragik itu.

Kali terakhir perlumbaan berlaku mengakibatkan kematian adalah pada tujuh tahun lalu, membabitkan penunggang Gresini Honda Daijiro Katoh sewaktu beraksi di Grand Prix Jepun di Litar Suzuka dan meninggal dunia dua minggu selepas itu.

Bagi rekod, ini adalah kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di SIC sejak ia mula digunakan pada Disember 1998, selepas siap dibina November tahun sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails