Halaman

Ahad, Oktober 17, 2010

'Guru perlu bantu kerajaan'




2010/10/17

KUALA LUMPUR: Matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran yang akan menghasilkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, berketrampilan serta berupaya memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara.

Sehubungan itu, katanya, guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi.

“Tanpa sokongan guru, saya yakin hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang holistik tidak akan tercapai,” katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ia bertemakan ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru sebagai ejen pelaksana dan ejen perubahan perlu memainkan peranan pada semua peringkat demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia.

Katanya, kerajaan sedar setiap usaha yang hendak dilaksanakan menghadapi cabaran dan halangan, dengan cabaran utama dihadapi pendidik ialah untuk melahirkan warga negara berdaya tahan, dinamik, progresif, berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan berdaya saing pada peringkat global selain meningkatkan nilai akhlak mulia dan penyayang.

Oleh itu, kata beliau, sewajarnya ‘penilaian kritikal’ terhadap proses pendidikan yang sedang berjalan dilaksanakan supaya sebarang penyesuaian selaras dengan keutamaan serta keperluan masyarakat dan global yang sentiasa berubah.
“Justeru, guru perlu mempunyai nilai kepemimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta serta kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan kepada nilai dan etos ‘learning society’,” katanya

Khamis, Oktober 14, 2010

Sukan Komanwel: Beregu campuran badminton sumbang emas


October 14, 2010

NEW DELHI, 14 Okt — Pasangan beregu campuran Malaysia memenangi pingat emas badminton Sukan Komanwel yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Fort di sini hari ini.

Dalam perlawanan akhir itu, Koo Kien Kiat dan Chin Ee Hui mengalahkan gandingan dari England, Jenny Wallwork dan James Nathan 22-20, 21-12. — Bernama

Badminton beregu lelaki kutip emas, ke-12 buat Malaysia


October 14, 2010
NEW DELHI, 14 Okt – Beregu utama negara, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong menyumbang pingat emas untuk Malaysia dalam acara badminton beregu lelaki pada hari terakhir Sukan Komanwel Ke-19 di sini hari ini.
Mereka menewaskan pasangan England James Roberston dan Anthony Clark 21-19, 21-14 di Kompleks Sukan Sri Fort di sini, untuk menyumbang emas ke-12 bagi Malaysia pada temasya sukan itu kali ini. – Bernama

Rabu, Oktober 13, 2010

Lantai sekolah runtuh, 10 murid di Kedah cedera

October 13, 2010

ALOR SETAR, 13 Okt – Seramai 10 orang murid Darjah Empat Sekolah Kebangsaan Sri Gunong di Gunung Keriang dekat sini cedera dengan dua daripadanya serius selepas lantai bangunan sekolah yang menempatkan kelas mereka runtuh pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan 30 murid yang sedang mengikuti kelas Pendidikan Islam.

Lantai dikatakan runtuh secara tiba-tiba dan murid yang berada di dalam kelas itu terjatuh ke dalam lubang sedalam satu meter dan selebar dua meter persegi.

Lima murid lelaki dan lima murid perempuan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi mendapatkan rawatan, oleh pihak sekolah dan ibu bapa yang kebetulan berada di situ.

Salah seorang murid berkenaan, Mohd Aliff Hakim Abu Bakar berkata ketika kejadian, secara tiba-tiba lantai kelasnya reput (patah) menyebabkan dia terjatuh ke dalam lubang runtuhan itu.

“Saya merangkak keluar dan ustazah tarik saya keluar. Saya terkejut. Saya cedera kaki kanan,” katanya ketika ditemui di HSB.

Filza Nadhirah Idris yang juga cedera di kaki kanan berkata sewaktu kejadian dia merasakan kelas itu bergoyang-goyang sebelum dia terjatuh ke bawah.

“Saya jatuh tertiarap. Lutut kanan saya cedera. Saya kemudian menangis. Cikgu angkat saya,” katanya yang kelihatan trauma dengan kejadian itu.

Seorang saksi kejadian, Ali Mohammad, 49, berkata keseluruhan bangunan termasuk lantai yang dibina sekitar tahun 1970-an itu dipercayai pada asalnya diperbuat daripada kayu dan telah diubah suai oleh pihak sekolah lapan tahun lalu dan digantikan dengan lantai simen tanpa mempunyai konkrit yang kukuh.

“Mungkin kayu yang diletakkan simen di atasnya tanpa konkrit yang kuat tidak mampu menanggung pelbagai bebanan seperti meja, kerusi dan peralatan tambahan kelas menyebabkan berlaku runtuhan berkenaan,” katanya.

Pemangku Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Setar, Md Noor Daud berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak sekolah mengenai kejadian tersebut kira-kira 11.22 pagi dan mengejarkan 17 anggota dari balai Alor Setar dan Jalan Raja ke tempat kejadian.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah Zuraidi Rahim yang melawat murid-murid di HSB berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa lapan pelajar menerima rawatan pesakit luar manakala dua lagi agak serius kerana kaki mereka dihempap batu dan almari.

“Dua pelajar ini mungkin terpaksa ditahan di hospital untuk rawatan lanjut. Saya harap ada siasatan segera terhadap kejadian ini kerana ada yang tidak kena dengan lantai bangunan sekolah,” katanya. – Bernama

Sukan Komanwel: Beng Hee-Nicol sumbang gangsa ke-10


13/10/2010 5:59pm

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Malaysia memperolehi pingat gangsa ke-10 menerusi gandingan Ong Beng Hee-Datuk Nicol David setelah menumpaskan Donna Urquhart-David Palmer dari Australia pada acara penentuan gangsa beregu campuran skuasy di Sukan Komanwel XIX , New Delhi hari ini.

KP Imigresen ditukar ke KDN berkuat kuasa 15 Okt.

13/10/2010 6:49pm

PUTRAJAYA 13 Okt. - Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Osman ditukarkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen berkuat kuasa 15 Oktober ini.

Difahamkan surat pertukaran dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu diterimanya pukul 10 pagi ini.

Tugas beliau akan diambil alih oleh Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Datuk Alias Ahmad.

Galas: PKR, DAP komited menangkan calon PAS


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Okt: PKR dan DAP akan memberi sokongan penuh kepada PAS dalam usaha mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 November ini.

Komitmen itu dinyatakan secara rasmi pada sidang media selepas masyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Berikutan itu, mereka akan membantu calon PAS sepanjang kempen PRK tersebut itu nanti.

"Kita bersetuju PAS meletakkan calon dan DAP, keADILan akan berikan seliruh kekuatan dan sokongan bagi mengekalkan calon PAS atas nama Pakatan Rakyat di Galas," ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai sidang media petang tadi.

Turut serta pada sidang media tersebut, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan barisan kepimpinan utama ketiga-tiga parti yang lain.

Pada masa sama, Anwar dan Kit Siang juga turut mengesahkan kehadiran pada majlis pengumuman calon PAS di Galas yang dijadual 22 Oktober ini

Menyentuh persedian PRK Batu Sapi pula, sidang media tersebut turut memaklumkan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Sabah akan bermesyuarat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya bagi Parlimen berkenaan.

Laporan mesyuarat tersebut kata Anwar akan dihantar kepada Pakatan Rakyat Pusat selewat lewatnya Isnin depan.

Dalam pada itu, media turut dimaklumkan bahawa Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-2 akan diadakan di Pulau Pinang pada 19 Disember akan datang.

Ianya akan berlangsung di Dewan Millenium Kepala Batas.

Konvensyen tersebut antara lain akan menyentuh isu Felda dan Felcra, tanah Kampung Baru, isu pendidikan, pekerja wanita serta skandal BN dalam beberapa projek besar negara.

Sebelum konvensyen tersebut, satu Sidang Kemuncak Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29 November ini di Shah Alam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails