Halaman

Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan

Isnin, Julai 12, 2010

Bung Moktar fail hujahan bertulis



SHAH ALAM - Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin hari ini, memfailkan hujahan bertulis berhubung rayuannya terhadap hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.

Hujahan bertulis itu difailkan melalui peguamnya Amli Embong di kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, pada pukul 2 petang.

"Hujahan telah difailkan di mahkamah dan satu salinan hujahan itu telah diserahkan kepada pihak pendakwa syarie selaku responden," kata Amli ketika dihubungi.

Pada 1 Julai lepas, Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, memerintahkan Bung Moktar memfailkan hujahan bertulis pada hari ini dan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan balas pada 19 Julai ini.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Zainor Rashid Hassin turut menetapkan 4 Ogos depan untuk mendengar rayuan Anggota Parlimen Kinabatangan itu.

Pada 19 Mei lepas, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Bung Moktar, 51, kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan pelakon Zizie Izette A. Samad, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada pukul 8.50 malam, 16 Dis tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lepas dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

Pada 19 Mei juga, Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette kerana berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Beliau membayar denda itu.-Bernama

Jumaat, Julai 09, 2010

Jakim akan teliti semula program ESQ: Mashitah

2010/07/09

JERLUN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti semula program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) yang diharamkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana dikatakan mendukung fahaman liberalisme.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata Jakim akan meneliti dan mendalami modul ESQ terlebih dulu untuk melihat dengan lebih jelas apa yang disifatkan sebagai menyeleweng itu

Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Katanya, Jakim juga mempunyai rekod berhubung program yang dikendalikan ESQ.

"Program itu masih diteruskan dan hari ini, kita tidak boleh mengatakan sama ada ia sah atau halal kerana selepas ini, kita tidak tahu apa yang mereka buat, jadi kita akan memantau dari semasa ke semasa," katanya.

Mashitah berkata, beliau percaya keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul ESQ bagi membimbing atau mengelakkan pemesongan akidah.
"Masyarakat kita memang mudah sangat terikut dengan sesuatu perkara, tambahan pula perkara yang membabitkan kesedaran akidah. Tetapi kita perlu menjaga supaya ia tidak terseleweng daripada akidah.

"Kita akan ambil langkah awal untuk mengelakkan perkara itu berlaku kerana ia boleh membabitkan penyelewengan akidah yang lebih dahsyat jika dibiarkan," katanya. - Bernama

Program motivasi dipantau



KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa memantau program-program motivasi yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam bagi mengelak berlakunya kerosakan akidah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jabatan-jabatan berkaitan termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyiasat perkara itu meskipun penguatkuasaannya tidak melibatkan negeri-negeri lain.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mempunyai pandangan tersendiri terhadap program yang dijalankan oleh syarikat ini walaupun negeri-negeri lain belum membuat tindakan serupa,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek surau Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau, Pantai Dalam di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang mengeluarkan fatwa pada 10 Jun lepas bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh syarikat berkenaan dan apa-apa ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.

Syarikat berkenaan mengendalikan latihan modal insan dengan menggunakan kaedah yang melibatkan intelektual, emosional dan spiritual. - Bernama

Ahad, Jun 27, 2010

Wahabi tidak boleh dikaitkan dengan pengganas: Jamil Khir


2010/06/27

KUALA LUMPUR: Fahaman Wahabi tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan pengganas atau golongan pelampau kerana perbuatan keganasan bukannya berpunca daripada fahaman agama sesuatu kelompok tetapi penyelewengan fahaman serta pelbagai punca lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata apabila kefahaman terseleweng, mereka mengambil pendekatan yang berbeza daripada orang lain sehingga ada yang sanggup membunuh orang awam dengan bom dan sebagainya.

Akibat terpesong daripada landasan Islam sebenar, maka berlakulah kejadian orang ramai yang tidak bersalah dibunuh dan dibom," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dewan Huffaz Kebangsaan di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sentiasa memantau keadaan supaya tidak berlaku penyelewengan ajaran Islam kerana ia boleh merugikan negara dan masyarakat.

Oleh itu, katanya, orang ramai jangan menuduh mana-mana pihak sebagai pengganas atau golongan pelampau melainkan telah dinyatakan oleh JabatanKemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai 40 ulama muda menganggotai UMNO, beliau berkata ia dapat membantu kerajaan menterjemahkan dan melaksanakan pengertian 1Malaysia kepada masyarakat.

Katanya, ia juga dapat mengikis pandangan pihak tertentu yang selama ini menganggap ulama tidak mempunyai peranan dalam pembangunan negara.
Kelmarin, 40 ulama muda dari seluruh negara menyerahkan borang keanggotaan UMNO kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT). - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails