KUALA LUMPUR, 8 Feb — Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali
(gambar),
hari ini menggesa media tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu
Naib Presiden parti Islam berkenaan, Salahudin Ayub, yang dikatakan
bakal menjadi calon Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat (PR)
berjaya menguasai Johor dalam pilihan raya akan datang.
Menurutnya
lagi, PAS masih belum membuat keputusan muktamad berkenaan perkara itu
dan nama Salahudin hanyalah disebut sebagai salah satu calon yang akan
menjadi pemangkin PAS di Johor.
“PAS belum membuat keputusan muktamad tentang calon-calon yang akan
bertanding dalam pilihanraya umum nanti. Oleh itu, sehingga kini belum
putus lagi samaada Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, akan bertanding
di Johor.
“Begitu juga soal siapa yang akan menjadi Menteri Besar Johor belum
lagi dibincangkan di kalangan Pakatan Rakyat atau di peringkat pimpinan
PAS Pusat,” jelas Mustafa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beliau.
Menurutnya lagi, PAS hanya berbincang soal strategi bagi memperkukuhkan parti komponen PR itu di Johor.
“Sehingga kini, kita hanya berbincang soal bagaimana mahu
memperkuatkan PAS di Johor dalam pilihan raya umum akan datang dan nama
Salahudin hanya disebut sebagai salah seorang calon untuk menjadi
pemangkin PAS di Johor,” katanya.
Jelasnya lagi, soal siapa yang akan menjadi MB Johor hanya akan
diputuskan setelah pilihan raya selesai dan PAS menguasai negeri
berkenaan.