Halaman

Sabtu, Ogos 07, 2010

Lelaki ditemui mati tergantung di dahan pokok



SETIU – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung pada dahan sebatang pokok di belakang rumahnya di Kampung Selamat, Sungai Tong, di sini, pagi semalam.

Mayat lelaki berusia 27 tahun itu ditemui anak saudaranya, Mohd Daniel Akhbar Abdul Karim, 7, kira-kira jam 7.30 pagi sebelum dia memaklumkan kepada anggota keluarganya.

Ibu mangsa, Esah Mamat, 68, berkata, kali terakhir dia menemui anaknya pada petang kelmarin dan ketika itu mangsa tidak menunjukkan sebarang tingkah laku pelik berbanding hari-hari sebelumnya walaupun mengalami masalah tekanan mental.

“Dia bukan seorang pesakit mental kronik, tetapi hanya mengalami tekanan dengan kehidupannya. Saya berkata demikian kerana dia (mangsa) selalu meluahkan perasaan simpati terhadap saya kerana masih bekerja pada usia ini.

“Dia bersimpati tidak dapat membantu keluarga kerana selama ini semua keperluannya ditanggung termasuk duit rokok, tetapi saya tidak menduga dia sanggup bertindak sedemikian,” katanya.

Mangsa, anak ke-11 daripada 12 beradik dikesan mengalami masalah mental sejak lahir dan dihantar ke sebuah pusat rawatan di Hulu Terengganu secara berjadual sejak dua tahun lalu untuk menjalani rawatan, termasuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan.:

Esah yang bekerja sebagai tukang urut berkata, sebelum kejadian, arwah anaknya ada meluahkan hasrat untuk bekerja di Johor dan meminta wang sebanyak RM200 sebagai tambang dan bagi menampung perbelanjaannya ketika berada di sana.

“Suaranya seolah-olah masih kedengaran di cuping telinga saya. Apa tidaknya dia (arwah) baru meluahkan hasratnya untuk ke Johor sehari sebelum kematiannya. Dia (arwah) hendak pergi (Johor) kerana kesiankan saya dan hendak bantu keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Esah memberitahu, dia tidak dapat memenuhi hasrat anaknya kerana tidak mempunyai wang selain enggan membenarkan dia pergi kerana faktor kesihatan tidak mengizinkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

Shaik Othman berkata, polis masih menjalankan siasatan tetapi percaya punca kematian mangsa bermotifkan bunuh diri dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails