Halaman

Khamis, Mei 06, 2010

Mayat bayi ditemui terapung dalam Sungai Klang

2010/05/06

KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui terapung dalam Sungai Klang berhampiran Kampung Sungai Lancung, Subang, dekat sini hari ini.

Mayat bayi malang itu ditemui oleh seorang pemancing warga Indonesia kira-kira 12 tengah hari tadi. Terdapat kesan lebam di kepala dan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar, berkata pemancing itu, Omar Hussein, 32, menemui mayat bayi berkenaan yang dalam keadaan bogel ketika sedang memancing berdekatan sungai itu.
"Apabila menyedari benda terapung dalam sungai itu adalah bayi, lelaki itu bertindak mengangkat dan meletakkan mayat bayi terbabit di tepi sungai sebelum menghubungi polis," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesan lebam di kepala bayi itu dipercayai berpunca akibat dibawa arus deras.

Zainal Rashid berkata, identiti bayi itu belum dapat dikenal pasti kerana pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk dalam sungai terbabit yang boleh mengaitkannya dengan individu tertentu.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti ibu bapa atau mereka yang bertanggungjawab membuang bayi malang itu dan kita tidak menolak kemungkinan ibu bapa bayi itu adalah penduduk di kawasan sekitar," katanya.
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-89484822. -Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails