Halaman

Jumaat, November 25, 2011

Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,892


2011/11/25

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,892 orang pagi ini, berbanding 1,420 malam tadi ekoran hujan berterusan yang mengakibatkan kawasan rendah terus dinaiki air.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata Pasir Mas kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 16 pusat pemindahan dibuka di daerah itu setakat ini.
"Jumlah pusat pemindahan yang dibuka (di seluruh negeri) semakin bertambah daripada 28 buah malam tadi kepada 32 buah pagi ini," katanya.
Beliau berkata paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, berada pada paras bahaya manakala laluan di Machang, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat masih ditutup kepada lalu lintas.

Rabu, November 23, 2011

Sultan Selangor dukacita sikap rakyat yang kritik polis

2011/11/23

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melahirkan rasa dukacita baginda dengan sikap segelintir rakyat di negeri ini yang mengkritik dan mencaci pihak polis yang menjalankan tanggungjawab mereka.

Baginda bertitah perbuatan itu patut dielakkan kerana suasana harmoni dan selesa yang dirasai masyarakat berbilang kaum di Selangor selama ini adalah hasil usaha pasukan keselamatan yang berjaya menjaga keamanan dan kesejahteraan.
"Ada juga rakyat yang sengaja tidak mahu mendengar dan degil dengan arahan-arahan pihak polis bagi mengelak kekacauan dan huru-hara.
"Anggaplah polis sebagai rakan kita yang sanggup berkorban untuk membantu membanteras jenayah dan bukannya pihak yang menyusahkan rakyat," titah baginda ketika merasmikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang baru di sini, hari ini.

Selasa, November 22, 2011

SPR sedia bincang rasional pilihan raya serentak

2011/11/22

SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menimbangkan kemungkinan untuk bertemu dengan pemimpin parti politik di negara ini bagi membincangkan rasional mengadakan Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri serentak.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, berkata walaupun perkara itu diputuskan kerajaan negeri masing-masing, namun adalah wajar sekiranya dilakukan secara serentak bagi menjimatkan perbelanjaan dan mengelak pembaziran tenaga kerja.
"Sekiranya ada keperluan dan kesesuaian untuk SPR berjumpa dengan pemimpin politik bagi membincangkan mengenai isu terbabit maka ia akan dipertimbangkan demi kebaikan semua.
"Memang dalam undang-undang membenarkan mana-mana parti membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang mereka suka...tetapi bagi SPR adalah lebih wajar ia dilakukan serentak," katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada pengurus dan penolong pegawai pengurus SPR di sini, hari ini.

Sabtu, November 19, 2011

Muhyiddin umum pemansuhan projek rintis pengajaran 9 jam




2011/11/19

LABUAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan projek rintis pengajaran sembilan jam yang sepatutnya bermula di empat negeri, tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketetapan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan guru, selain tidak mahu menambah beban sedia ada.
Katanya, ketetapan itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (Datuk Seri Abu Bakar Abdullah).
Beliau berkata demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Labuan di sini, sebentar tadi.

Sukan SEA: Malaysia layak ke final




2011/11/19

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun negara mara ke perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA selepas menundukkan Myanmar 1-0, di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Indonesia, sebentar tadi

Ahmad Fakri Saarani muncul wira negara selepas menolak masuk gol kemenangan ke gawang Myanmar pada minit ke-85.

Mirzan Mahathir Dinamakan Dalam Siasatan Pelabuhan Di India


Oleh P. Vijian

NEW DELHI, 19 Nov (Bernama) -- Ahli perniagaan Malaysia Mirzan Mahathir dinamakan dalam afidavit di mahkamah India berkaitan siasatan dalam pembangunan Pelabuhan Kakinada di Andhra Pradesh.

Mirzan, 51, telah memperoleh projek itu semasa bekas ketua menteri negeri Chandrababu Naidu memegang jawatan.

Dokumen setebal 2,424 muka itu menyatakan bahawa sebuah konsortium yang diterajui Mirzan memperoleh pembesaran pelaburan laut air dalam pada 1999.

Afidavit itu difailkan oleh isteri mendiang ketua menteri Andhra Pradesh Y. S. Rajasekhar Reddy's (YSR), Y. S. Vijayalakshmi di Mahkamah Tinggi negeri itu bulan lepas.

Muhyiddin Optimistik Merampas Semula Negeri Yang Diperintah Pembangkang


LABUAN, 19 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) akan merampas semula negeri-negeri yang kini diperintah pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Selain mengekalkan Sabah dan Sarawak serta Labuan sebagai simpanan tetap untuk BN, parti campuran hendaklah mampu memenangi semula negeri-negeri lain yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Rabu, November 09, 2011

Gerakan Sangkal Dakwaan Lim Mengenai Projek Rumah Mampu Milik


GEORGE TOWN, 9 Nov (Bernama) -- Gerakan menyangkal dakwaan Ketua Menteri Lim Guan Eng kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyediakan 3,421 buah rumah mampu milik sejak mentadbir negeri ini, sebaliknya mendakwa ia adalah projek di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Pengerusi Biro Perumahan Gerakan negeri, Quah Kooi Heong berkata Lim tidak sepatutnya mengaku projek rumah-rumah itu dibina oleh kerajaan negeri pimpinannya.

"Dia (Lim) sepatutunya beritahu rakyat Pulau Pinang rumah-rumah berkenaan adalah projek kerajaan BN," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Katanya Lim hanya menumpang kerja yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri pimpinan BN dahulu dan kerajaan negeri sekarang tidak mempunyai projek rumah kos rendah.

Quah berkata Laporan Ketua Audit Negara 2010 juga menyatakan kerajaan negeri sekarang tidak membina rumah kos sederhana rendah sejak tahun 2008.

-- BERNAMA

Bola sepak Sukan SEA: Malaysia 2, Thailand 1




2011/11/09

JAKARTA: Skuad bola sepak Sukan SEA Malaysia memenangi perlawanan kedua peringkat kumpulan A selepas menewaskan Thailand, 2-1 di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini, sebentar tadi.

Pasukan bola sepak Sukan SEA negara mendahului Thailand 1-0 hasil jaringan ketua pasukan, Baddrol Bahtiar pada minit ke-24, separuh masa pertama.
Pada penghujung separuh masa kedua, pasukan Thailand menyamakan kedudukan menerusi Natarid Thammarossopon pada minit ke-78 selepas merembat kencang melepasi penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.
Bagaimanapun, penyerang negara, Izzat Faris Ramlan membuat lencongan cantik di sebelah kiri gawang seterusnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 bagi memastikan kemenangan negara dalam perlawanan kedua kumpulan A Sukan Sea 2011 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Perlawanan peringkat kumpulan hari ini adalah yang kedua selepas pasukan negara seri tanpa jaringan menentang Singapura, baru-baru ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails