Halaman

Rabu, Oktober 26, 2011

Jumlah jemaah pakej AlMaas tidak ditambah untuk keselesaan

2011/10/26



MEKAH: Tabung Haji Travel and Services Sdn Bhd (THTS) yang menawarkan pakej haji AlMaas yang harganya bermula dari RM114,990, tidak bercadang untuk menambah jumlah jemaah haji pakej itu pada masa akan datang, dalam usaha menjamin keselesaannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mohd Yazid, berkata jumlah jemaah itu dilihat amat sesuai bagi memastikan mereka yang berkemampuan yang memilih pakej itu, benar-benar selesa dengan pilihan pakej mereka.
Beliau berkata, selain keselesaan dari segi ruang penginapan, lain-lain kelebihan pakej ini ialah ia menyediakan pengangkutan bas jemaah yang selesa dan jarak penginapan dengan Masjidil Haram yang dekat, hanya sekitar 30 meter.

Isnin, Oktober 24, 2011

Guan Eng disaman RM30 juta kaitkan UMNO dengan cubaan bakar pejabat DAP




2011/10/24

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman hari ini memfailkan saman malu berjumlah RM30 juta terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya mengaitkan UMNO dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di Pulau Pinang pada Julai lalu.

Beliau memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, hari ini melalui Tetuan Jahaberdeen & Co.
Selain Lim yang juga Setiausaha DAP, turut dinamakan sebagai defendan ialah Parti Keadilan Rakyat selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan; Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang juga syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan serta ketua penyuntingnya, Fazallah Pit.
Peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang mewakili Zainal Abidin, 51, memberitahu pemberita bahawa saman itu difailkan atas kapasiti peribadi pemimpin Umno Pulau Pinang itu.

MotoGP batal, pelumba Itali Simoncelli terbunuh



PERLUMBAAN MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terpaksa dibatalkan selepas kemalangan melibatkan penunggang pasukan San Carlo Honda Gresini, Marco Simoncelli.

Tragedi ini adalah yang pertama berlaku di SIC juga yang pertama melibatkan kematian pelumba motosikal di litar sama.

PELUMBA MotoGP, Marco Simoncelli terbunuh, setelah terlibat dalam kemalangan pada perlumbaan Grand Prix MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali gus membawa kepada pembatalan perlumbaan itu, semalam.

Perlumbaan tersebut dibatalkan penganjur perlumbaan, Sepang International Circuit (SIC) dan Dorna Sports iaitu pemegang hak perlumbaan MotoGP Dunia.

Simoncelli ,24, yang juga pelumba nombor satu Kejohanan Minimoto Itali sejak 1996 hingga 2000 itu, dikatakan gagal mengawal jenteranya lalu terjatuh sebelum dirempuh dua pelumba lain iaitu Colin Edwards dan Valentino Rossi di selekoh ke-11.

Pengarah Perubatan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Dr Michele Macchiagodena mengumumkan kematian Simoncelli pada sidang media di Litar SIC.

Menurut Macchiagodena, pelumba pasukan San Carlo Honda Gresini itu, yang mengalami kecederaan di bahagian toraks dan perut, meninggal dunia pada jam 4.56 petang di pusat perubatan SIC di litar berkenaan.

Sementara itu, Edwards turut terlibat dengan insiden berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Manakala Rossi yang menunggang jentera Ducati, berjaya kembali ke pit sejurus selepas pertembungan tragik itu.

Kali terakhir perlumbaan berlaku mengakibatkan kematian adalah pada tujuh tahun lalu, membabitkan penunggang Gresini Honda Daijiro Katoh sewaktu beraksi di Grand Prix Jepun di Litar Suzuka dan meninggal dunia dua minggu selepas itu.

Bagi rekod, ini adalah kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di SIC sejak ia mula digunakan pada Disember 1998, selepas siap dibina November tahun sama.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails