Halaman

Rabu, November 24, 2010

Sukan Asia: Malaysia Menang Dua Emas, Satu Gangsa Dalam Acara Karate


GUANGZHOU, 24 Nov (Bernama) -- Pasukan karate Malaysia menyumbangkan dua emas dan satu gangsa Rabu, tetapi kehilangan dua pemenang pingat emasnya apabila mereka mengumumkan Sukan Asia di Guangzhou merupakan temasya terakhir mereka.

Dalam acara yang berlangsung di Gimnasium Guangdong di sini hari ini, atlet karate berpengalaman Ku Jin Keat dan R Puvaneswaran meraih emas manakala Lim Lee Lee memenangi gangsa.

Jin Keat mencatat sejarah apabila menjadi atlet karate Malaysia pertama memenangi acara Kata dalam temasya Sukan Asia, memecah dominasi kuasa besar Jepun dalam disiplin sukan itu.

Selepas memenangi gangsa dalam penyertaan pertama Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan, Jin Keat memperbaiki warna pingat apabila memperoleh perak pada temasya di Doha, empat tahun lepas.

Hari ini, atlet karate berusia 35 tahun itu menamatkan kerjaya gemilang dalam sukan itu dengan memenangi emas acara akhir Kata Individu Lelaki, menumpaskan Oki Itaru dari Jepun 3-2.

Kesemua lapan acara Kata Individu lelaki dan wanita pada Sukan Asia sebelum ini didominasi oleh Jepun.

Atlet Malaysia memulakan acara hari ini dengan menewaskan Cheng Tsz Man dari Hong Kong 5-0 dalam pusingan ketiga sebelum menumpaskan Dmitri Kazanor dari Kazakhstan 5-0 di peringkat suku akhir.

Pada separuh akhir, Jin Keat menewaskan Faizal Zainuddin dari Indonesia 4-1 sebelum bertungkus lumus menumpaskan atlet karate Jepun di peringkat akhir.

Namun edisi Sukan Asia Guangzhou mungkin yang terakhir baginya.

"Kemenangan pingat emas ini sangat bermakna kepada saya kerana ini mungkin Sukan Asia terakhir saya. Saya sudah berusia 35 tahun sekarang dan tidak sesuai untuk saya bertanding lagi empat tahun dari sekarang," katanya.

"Saya menang satu perak dan gangsa dalam dua Sukan Asia sebelum ini dan kini saya berasa bangga dan berpuas hati untuk bersara dengan satu emas," katanya kepada wartawan selepas pertandingan di sini hari ini.

Sementara itu, Puvaneswaran yang sebelum ini mengumumkan Sukan Asia kali ini merupakan temasya terakhirnya, memperbaiki pingat perak yang diperoleh di Doha kepada emas selepas menewaskan Emad Mohammed Al Malki dari Arab Saudi dalam acara 55kg Kumite Lelaki.

Kedua-dua atlet yang agresif berusaha mendapatkan mata menerusi tumbukan dan tendangan keras dengan sorak-sorai para penonton.

Pada akhir tiga minit pertandingan, dan keempat-empat juri tidak mengangkat bendera masing-masing kepada pemenang, pengadil Michael Huang dari Taiwan menggunakan kuasanya mengisytiharkan Puvaneswaran sebagai pemenang.

"Tamatlah kisah cinta saya terhadap sukan ini. Dan saya bernasib baik kerana mengakhirinya dengan satu pingat emas. Saya berharap menjadi jurulatih negara tetapi terserah kepada Majlis Sukan Negara," kata atlet karate Malaysia berusia 36 tahun itu.

Pada pusingan ketiga, Puvaneswaran menewaskan Nguyen Hoang Hiep dari Vietnam 1-0, memenangi peringkat suku akhir menewaskan Hsieh Cheng Kang (Taiwan) dengan penghakiman pengadil, dan menumpaskan Mohammad Ghasemi Laskoukalayeh 1-0 dari Iran pada separuh akhir sebelum mengalahkan atlet Arab Saudi di peringkat akhir.

Sementara itu, teman wanita Jin Keat sejak Sukan Asia Busan, Lee Lee berpuas hati memperoleh pingat gangsa selepas menewaskan Dewi Yulianti dari Indonesia 5-0 dalam penentuan pingat itu dalam acara Kata Individu Wanita.

Lee Lee sebelum itu menewaskan Yanisa Torratanawathana dari Thailand 5-0 pada pusingan ketiga sebelum tewas kepada atlet karate Jepun Rika Usami 0-5 pada suku akhir.

Dalam acara repechage, atlet Malaysia menewaskan Roji Nagarkotifron dari Nepal 5-0 untuk penentuan gangsa berhadapan Indonesia.

-- BERNAMA


Pingat emas ke lapan negara di Sukan Asia



E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ATLET karate negara, R Puvaneswaran meraih pingat emas kelapan buat Malaysia pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China dalam acara Kumite bawah 55 kilogram lelaki yang berlangsung di Gimnasium Guangdong, hari ini.

Selasa, November 23, 2010

Sukan Asia: Hoki lelaki Malaysia mara ke final




2010/11/23

GUANGZHOU: Pasukan hoki lelaki Malaysia melangkah ke final selepas menundukkan India 4-3 pada perlawanan separuh akhir, sebentar tadi.

Gol kemenangan itu diperolehi 'jaringan emas' ketika masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas masa penuh permainan.

Jumaat, November 12, 2010

Pelajar berkhalwat



TAMPIN – Kerana sayang dan cinta, seorang pelajar tingkatan dua, salah sebuah sekolah di Daerah Tampin ditangkap berkhalwat bersama pasangannya, yang juga pelajar tingkatan lima, dari Daerah Alor Gajah di sebuah hotel di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sinar Harian difahamkan, usaha menangkap pasangan sekolah itu mengambil masa lebih dua jam apabila sepasukan kakitangan bahagian penguatkuasaan Pejabat Agama Islam Daerah dengan bantuan polis gagal memasuki bilik sewa mereka, seawal jam 8.50 pagi.

Menurut sumber, berikutan kedegilan pasangan pelajar terbabit yang berlanjutan sehingga jam 10.50 pagi, pasukan serbuan terpaksa menendang pintu untuk memecah masuk ke bilik sewa berkenaan.

“Bagaimanapun, pelajar lelaki terbabit akhirnya membuka pintu bilik hotel selepas hampir dua jam 15 minit, pasukan serbuan berusaha untuk masuk.

“Pelajar itu juga didapati masih mengenakan seluar sekolah berwarna hijau dan baju T berwarna coklat, sementara pasangannya dilihat dalam keadaan sugul dan terkejut dalam tandas. Dia berpakaian lengkap baju T dan seluar sukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Masalah air di Kelantan selesai dalam tiga tahun jika BN perintah: Awang Adek

BACHOK - Jika kerajaan Pas Kelantan memerlukan 17 tahun lagi untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu, Barisan Nasional hari ini berjanji untuk mengatasinya hanya dalam tempoh tiga tahun atau selewat-lewatnya satu penggal pemerintahannya.

Ketika membuat janji itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, pengumuman kerajaan Kelantan yang rakyat negeri itu akan dapat menikmati bekalan air bersih sepenuhnya dalam tempoh 17
tahun lagi adalah bukti kegagalan Pas memerintah negeri itu.

"Saya sangat kesal dan terkejut apabila mengetahui rakyat Kelantan perlu menunggu 17 tahun lagi untuk mendapat bekalan air bersih ini. Masalah ini boleh diatasi kalau rakyat bagi kepercayaan kepada BN (untuk perintah Kelantan).

"Kita akan dapat selesai hanya dalam tempoh dua atau tiga tahun sahaja atau paling lewatnya satu penggal (pemerintahan). Terserah kepada rakyat Kelantan nak tunggu 17 tahun lagi atau hanya tiga tahun, dan ini satu jaminan (kepada rakyat Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaan pemain bola sepak Kelantan dan perarakan Piala Malaysia di Dataran Perahu di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dan ketua jurulatih pasukan Kelantan B. Sathianathan serta lebih 5,000 penyokong. Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Okt lepas.

Awang Adek berkata, jika rakyat Kelantan perlu menunggu sehingga 2027 untuk mendapat bekalan air bersih, itu menunjukkan pemimpin Pas Kelantan tidak mampu mentadbir, dan negeri itu akan terus ketinggalan pada masa depan.

"Yang sedih perkara seperti ini dikaitkan dengan Islam (sedangkan) yang sepatutnya kemajuanlah yang kita boleh kaitkan, kerana ia tuntutan agama dan bukannya perkara yang hanya boleh memburukkan imej Islam. Saya rasa rakyat Kelantan akan sedar mengenai perkara ini," katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang berakhir semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Mej (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, liputan air bersih yang sepenuhnya bakal dinikmati rakyat Kelantan selewat-lewatnya pada 2027.

Md Anizam dilaporkan berkata, sehingga tempoh itu kerajaan negeri melalui Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd akan menaik taraf secara berperingkat infrastruktur bekalan air bersih ke seluruh negeri.-BERNAMA

UPSR 2010: Presiden PAS ucap tahniah


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010.

“Jadikan kecemerlangan tersebut sebagai panduan untuk mencari keredhaan Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang dalam laman twitter.

Keputusan UPSR 2010 adalah terbaik dalam sejarah iaitu pertama kali melebihi 10 peratus apabila 48,327 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Semasa mengumumkan keputusan itu, semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, berkata calon memperoleh keputusan semua A meningkat kepada 10.02 peratus berbanding 9.51 peratus tahun lalu.

Pengetua sekolah mengaku tidak bersalah palsukan sembilan invois bernilai RM7,640



RAUB - Seorang pengetua sekolah di Triang, Bera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap sembilan pertuduhan membuat pemalsuan invois pembekalan buku-buku latihan sekolah dan bahan pembelajaran lain yang melibatkan nilai keseluruhan RM7,640 pada 2005 dan 2006.

Cheong Chok Weng, 57, Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Triang, Bera didakwa melakukan kesalahan itu pada Oktober dan Disember 2005 serta Disember 2006, ketika menjadi Pengetua Sekolah Menengah Khai Mun, Bentong.

Mengikut kertas pertuduhan, lapan penipuan invois dilakukan oleh tertuduh pada Oktober dan Disember 2005 apabila membuat invois Chewai Enterprise, membabitkan pembekalan alatan pembelajaran yang keseluruhannya bernilai RM7,440 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh Chewai Enterprise.

Antara pembekalan berkenaan adalah soalan mirip peperiksaan Matematik Tambahan Tingkatan 5 (SPM) Kertas 1, pad kertas lukisan, soalan mirip peperiksaan Fizik SPM Kertas 1 dan Kertas 2, buku Latih Tubi SPM English Paper 1, kertas lejar dan jurnal.

Pada Disember 2006 pula, Cheong dituduh melakukan penipuan satu invois LZW Dagang mengenai pembekalan kertas latihan Bahasa Cina SPM Kertas 1 dan 2 yang bernilai RM200 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh LZW Dagang.

Tertuduh yang berasal dari Taman Hussein, Bentong didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta yang sama di mana jika sabit kesalahan, dia boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum lima kali nilai suapan serta penjara tidak lebih 20 tahun bagi setiap pertuduhan.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula untuk membolehkan tertuduh melantik peguam.

Cheong membayar wang jaminan berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya, Mohd Asnawi Abu Hanifah.-BERNAMA

Shamrin vokalis kumpulan Fotograf meninggal dunia

November 11, 2010

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Vokalis kumpulan Fotograf, Mohd Shamrin Abd Samad, 45, meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 6 petang tadi di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, di sini.

Pelakon Drama Gerak Khas, Shamsudin Maidin berkata Allahyarham rebah ketika bermain bola sepak pada perlawanan persahabatan antara artis dan sebuah syarikat insurans di Padang Kelab Sultan Sulaiman (KSS) di Kampung Baru pada kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

“Pada 10 minit permainan bermula arwah angkat tangan dan secara tiba-tiba dia rebah ... kami berlari ke arahnya serta buka bajunya dan pada masa itu muka dia kelihatan merah sebelum di hantarnya ke hospital,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu malam ini.

Katanya, Allahyarham mengadu keletihan kerana sebelum perlawanan berlangsung kerana beliau telah membuat persembahan pada majlis pelancaran “Siri Warisan, P.Ramlee Pada Syiling” di Balai Seni Lukis Negara.

Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan akan dibawa ke rumahnya di USJ 22, Subang Jaya esok sebelum kebumikan di Tanah Perkuburan Islam di kawasan itu.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak menerusi dua perkahwinan iaitu Akmal Danish, 5 dan Akmal Shahmin, 1 dengan isterinya sekarang Jazrizatul Akma Abu Saman, 29 manakala dua lagi bersama bekas isterinya.

Menurut seorang rakannya dari kumpulan Kool, Shaiful Azri Mohd Ariffin atau dikenali sebagai Riot, Allahyarham sempat tidur di rumahnya sebelum mereka sama-sama ke padang itu.

“Kira-kira pukul 3 petang dia sampai ke rumah saya ... dia cakap nak tidur sekejap sebab letih kerana sebelum itu dia ada buat persembahan pada satu majlis pelancaran.

“Saya tak sangka pemergiannya sebab selama saya kenal arwah memang dia tak pernah mengadu sakit malah dia sihat, ceria ... bagaimanapun saya redha dengan pemergiannya,” katanya.

Allahyarham Shamrin yang popular dengan lagu “Di Alam Fana Cinta” pada era 90an dan pernah merakamkan lagu duet bersama biduanita Datuk Sharifah Aini yang bertajuk “Kamu Aku Satu”.

Shamrin telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul “Iramanya Bergetar” pada 1989 dan seterusnya melahirkan lima buah album yang terakhir bertajuk “Juara Mimpi” pada 1997. – Bernama

Pegawai forensik sebak ceritakan kedudukan mayat Aminulrasyid

November 11, 2010

SHAH ALAM, 11 Nov — Perbicaraan kes kematian Aminulrasyid Amzah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini hening seketika apabila seorang pegawai polis dari unit forensik sebak ketika memberitahu mahkamah mengenai kedudukan mayat mangsa apabila beliau tiba di tempat kejadian pada 26 April lepas.

Terdahulu, Cif Ins. Mazli Jusoh @ Che Kob dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang merupakan penyiasat tempat kejadian memberitahu mahkamah bahawa beliau melihat mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dengan mukanya tersembam pada tempat duduk pemandu manakala badannya berada di luar kereta Proton Iswara Aeroback berwarna putih.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Mazli berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat asal ASP Ahmad Fauzi Mohamed Zin bahawa mayat mangsa telah dialihkan oleh anggota MPV polis dan kemudian telah diperiksa oleh pihak ambulans.

“Pada pendapat saya kedudukan mayat telah dialih daripada kedudukan asalnya dan mayat pada masa itu dalam keadaan kedudukan yang begitu menyedihkan. Bagi saya cara itu...,” kata Mazli sebelum beliau tiba-tiba terdiam dan menundukkan wajahnya.

Saksi ke-25 pendakwaan itu kemudian dengan sebak memohon kepada Hakim Latifah Mohd Tahar agar memberikan beliau masa selama lima minit untuk menenangkan dirinya sebelum terus berdiri dan berjalan keluar dari kamar mahkamah dengan matanya yang kelihatan agak kemerahan dan berair.

Latifah seterusnya menangguhkan seketika prosiding perbicaraan berikutan permohonan Mazli itu.

Mazli memberi keterangan pada perbicaraan anggota polis Koperal Jenain, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya.

Menyambung keterangannya, Mazli berkata beliau memutuskan untuk meletakkan mayat mangsa dalam keadaan lebih baik iaitu dengan membaringkannya di atas tanah yang berumput kerana siasatan beliau di tempat kejadian mungkin akan mengambil masa agak lama.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau ada mengambil gambar mayat mangsa, saksi itu berkata beliau terlupa untuk berbuat demikian.

Mazli berkata beliau kemudian membuat pemeriksaan dan penandaan pada kesan-kesan tembakan dan barangan yang dijumpai pada kereta bernombor pendaftaran BET 5023 itu termasuk sebilah parang serta mengambil kesan tumpahan cecair disyaki petrol.

Saksi itu berkata berdasarkan kesan petrol yang ditemui di tempat kejadian, beliau mendapati kereta itu dipandu laju dan bergerak dengan lurus sebelum melanggar sebatang pokok menyebabkan kereta itu berubah sedikit arahnya menghala ke tembok dinding rumah No: 2 di Jalan Makyong 11/2G.

Kereta itu kemudian melanggar tong sampah plastik depan tembok tersebut sehingga kereta itu berhenti.

Seterusnya Mazli berkata pada 28 April lepas (dua hari selepas kejadian) beliau telah diminta oleh pegawai penyiasat ASP Abd Halim Ismail (pegawai penyiasat yang menggantikan Ahmad Fauzi) untuk merakam gambar keseluruhan kereta tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Beliau juga merakam gambar tempat kejadian bagi melihat kesan-kesan tanah yang dikatakan kereta itu kemungkinan cuba untuk mengundur semasa kejadian.

“Saya dapati tidak ada kesan tanah yang terhasil akibat daripada tayar berpusing. Di tepi longkang berhampiran tayar kiri yang tergantung (semasa kejadian) juga tidak ada kesan tayar bergesel dengan permukaan kasar.

“Pada pendapat saya kesan-kesan tanah berlaku lebih kepada apabila kereta terbabas dan kemudian ditarik keluar dari tempat kejadian,” katanya.

Ditanya Mohd Dusuki mengapa beliau tidak menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh pada hari kejadian, Mazli berkata pada permulaan beliau menerima taklimat daripada Ahmad Fauzi bahawa mangsa ditembak semasa cuba mengundur setelah terbabas ketika dikejar oleh polis, maka siasatan pihaknya adalah lebih terarah kepada kawasan tempat kejadian kereta terbabas.

Ditanya mengapa beliau mengambil masa lewat dua hari untuk menjalankan pemeriksaan semula di tempat kejadian, saksi itu berkata pihaknya menjalankan siasatan lanjut pada 28 April apabila diminta pegawai penyiasat.

Mengenai keadaan kereta tersebut ketika beliau menjalankan pemeriksaan keseluruhan, Mazli berkata kereta itu diletak di tempat letak kereta awam di IPD Shah Alam tanpa sebarang garisan polis.

“Kebiasaannya barang kes untuk buat pemeriksaan tidak diganggu oleh eksibit lain. Pegawai penyiasat akan memasang garisan polis jadi anggota polis lain yang tiada kaitan dengan kes akan faham bahawa kereta itu tidak boleh dihampiri atau diganggu.

“Kalau tiada garisan polis kemungkinan ada anggota polis lain atau orang awam boleh menghampirinya,” katanya.

Mazli seterusnya berkata pada tarikh yang sama (28 April) pihaknya turut diminta oleh pegawai penyiasat untuk mencari kelongsong peluru dan serpihan anak peluru bermula dari Bulatan Kayangan, Seksyen 11 sehingga ke tempat kejadian bagi mengetahui dari mana tembakan dilepaskan berikutan terdapat dua anggota polis yang telah melepaskan tembakan dalam kes itu.

Saksi itu berkata daripada pemeriksaan di kawasan tersebut pihaknya menemui sejumlah 15 kelongsong peluru dan dua sepihan anak peluru.

Perbicaraan bersambung pada 22 Nov ini. — Bernama

Akibat rasuah RM83



JOHOR BAHRU – Seorang peniaga warga Singapura diperintah membayar denda RM10,000 dan penjara satu hari oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana cuba memberi suapan bernilai RM83 kepada seorang anggota polis.

Tertuduh, Ng Chai Hock, 45, pada 30 Mei lalu kira-kira jam 6.08 petang telah melakukan kesalahan memandu melebih had laju 164km/j di Kilometer 21 di Lebuhraya Link Kedua berhampiran Tol Lima Kedai.

Mengikut fakta kes, Chai Hock telah diminta oleh anggota bertugas, Lans Koperal Samsol Faizal Ibrahim menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu untuk diperiksa.

Bagaimanapun, Chai Hock gagal berbuat demikian kerana tidak membawa kad pengenalan bersama dan memiliki lesen memandu tamat tempoh bukan kepunyaannya.

Anggota itu kemudiannya telah menerangkan kepada tertuduh bahawa dia boleh dikenakan kompaun RM300 kerana memandu laju dan menasihatkan supaya bayar di mana-mana cawangan trafik berdekatan.

Perak capai 4,201 dapat 5A/7A



IPOH – Seramai 4,201 daripada 42,057 calon yang mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 21 hingga 23 September lalu di 842 sekolah seluruh negeri mencapai prestasi cemerlang 5A/7A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, keputusan itu meningkat sebanyak 1.21 peratus berbanding pencapaian tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 26,610 calon berjaya mencapai tahap penguasaan minimum dengan peningkatan 1.5 peratus berbanding 2009 sebanyak 61.77 peratus.

“Antara sekolah yang menunjukkan pencapaian cemerlang di Perak bagi kategori bandar ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, SK Raja Perempuan, dan SK Marian Convent.

“Bagi kategori sekolah luar bandar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Getah, Taiping; SK Balun Bidai, Kampung Gajah dan SK Haji Ramli, Tanjung Piandang,” katanya pada sidang media di Bilik Seri Budi, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak di sini, semalam.

Beliau berkata, antara mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan ialah Sains iaitu 88.83 peratus menguasai dan 27.26 peratus cemerlang.

“Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman (Sekolah Jenis Kebangsaan) menunjukkan penurunan sebanyak 3.66 peratus,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan 701 sekolah mencapai peratus menguasai melebihi 40 peratus.

Mohd Idris berkata, kejayaan yang dicapai itu adalah melalui usaha dan perancangan rapi setiap ibu bapa, murid, guru, pentadbir sekolah, komuniti dan Kementerian Pelajaran.

“Pelbagai program khas dilaksanakan JPN dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk meningkatkan prestasi murid supaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Antara program ialah memperkasakan kepimpinan instruksional dan membina kepimpinan transformasional seperti modul Cooperative Organisation (CO) kepada semua guru besar dan membudayakan ‘headcount’ di JPN, PPD dan sekolah,” katanya.

Di samping itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membiayai program Smart Partnership bersama K Perak bagi sekolah terpilih dan Yayasan Perak yang sudi membiayai program Tuisyen Gemilang di semua daerah

Isnin, November 08, 2010

Banjir: Jawatankuasa Khas akan bekerjasama dengan kerajaan negeri salur bantuan




KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, berkata jawatankuasa khas bagi membantu semua mangsa banjir meneruskan kehidupan mereka selepas bencana itu, yang dipengerusikannya akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri yang terbabit tanpa mengira parti politik kerajaan memerintah.

Beliau berkata, kerajaan pusat dan kerajaan negeri, termasuk Perlis, Kedah dan Kelantan, harus bersatu padu dan bekerjasama membantu mangsa banjir untuk memulihkan kehidupan rakyat di negeri terbabit selepas bencana alam itu.

"Kerosakan yang dialami oleh semua mangsa sangat besar, dan ini akan membebankan mereka. Jadi sebagai pemimpin sesebuah negeri kita perlu tampil membantu tanpa mengira parti politik," katanya selepas melancarkan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia di sini, hari ini.
Chor, yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, berkata semua mangsa banjir tanpa mengira kawasan, pedalaman atau bandar, wajar menerima bantuan mengikut jumlah kerosakan yang dihadapi mereka.

"Kita tidak mahu nanti sesetengah pihak mendakwa mereka tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan pusat, mahupun kerajaan negeri," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menyalur sebarang bentuk bantuan yang boleh diberikan kerajaan dengan cepat untuk memudahkan mangsa banjir meneruskan kehidupan mereka selepas bencana itu.

Chor berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat pertama jawatankuasa itu tidak lama lagi dan akan menggunakan semua sumber maklumat mengenai mangsa banjir di negeri terbabit bagi mengenal pasti mangsa yang benar-benar terbabit dengan bencana alam itu.
"Segala maklumat dan sumber yang membabitkan semua mangsa amat diperlukan bagi proses seterusnya, iaitu mengenal pasti kerosakan yang dihadapi mereka," katanya.

Chor berkata, antara senarai yang boleh digunakan adalah melalui laporan polis, senarai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah negeri dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK).

"Mungkin selepas mesyuarat jawatankuasa diadakan kelak, kita akan kenal pasti lagi sumber lain yang mengait kepada mangsa banjir," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan bencana alam itu, kerana mengikut laporan yang diterima bencana itu mungkin akan berlarutan. - BERNAMA

Teresa Kok tak dapat jawab soalan wakil BN



2010/11/08

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Industri Selangor Teresa Kok, hari ini tidak dapat menjawab soalan yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengenai sumbangan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk menaik taraf kawasan perindustrian di negeri itu.

Ketika diajukan soalan itu oleh Ismail Sani (BN-Dusun Tua) mengenai perkara berkanaan, Kok berkata : "Saya tidak ada statistik."

Sebelum itu, beliau berkata Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) pada tahun 2009 telah memperuntukkan RM28 juta bagi menaik taraf 24 kawasan perindustrian di Selangor.
Bagaimanapun, Kok berkata kawasan perindustrian di Selangor terutama di luar bandar berada dalam keadaan "sangat teruk".

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan, yang mengutip cukai daripada pelabur, sepatutnya menyalurkan peruntukan yang lebih bagi meningkatkan prasarana perindustrian di Selangor memandangkan Selangor menyumbangkan lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Semasa menjawab soalan Lee Ying Ha (DAP-Teratai), Kok berkata kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa pengurusan kawasan perindustrian bagi memudahkan pelabur menyuarakan sebarang masalah mengenai penyelenggaraan kawasan perindustrian di Selangor. - BERNAMA

Pencen dibayar esok sempena Hari Raya Haji



2010/11/08

KUALA LUMPUR: Bayaran pencen akan dikeluarkan mulai esok sempena sambutan Hari Raya Haji.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam, waran pencen yang bertarikh antara 10 hingga 30 November boleh ditunaikan mulai esok. - BERNAMA

Kit Siang saman NSTP kerana siar artikel fitnah



2010/11/08

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini menfailkan saman fitnah terhadap The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) kerana menyiarkan artikel berunsur fitnah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di akhbar Berita Harian, pada 2 November lalu.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, melalui Tetuan Karpal Singh & Co, di sini, petang ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim mendakwa NSTP telah secara salah dan berniat jahat menyebabkan artikel bertajuk "Tindakan Kit Siang tuduh UMNO kafir melampau" yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah dicetak dan disiarkan di akhbar Berita Harian.
Lim berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau telah berucap di satu ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di Kelantan, di mana beliau telah menuduh orang Melayu Umno kafir dan beliau adalah seorang ahli politik yang berniat jahat untuk mewujudkan perasaan saling benci-membenci di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Lim mendakwa penyiaran perkataan-perkataan fitnah itu, telah merendahkan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik serta penghinaan awam, dan sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos.

Lim mendakwa defendan (NSTP) langsung tidak memohon maaf kepadanya walaupun mereka sememangnya mengetahui keadaan sebenar, malah ralat yang disiarkan NSTP pada akhbarnya keesokan hari, adalah tidak ikhlas dan menjadikan kesan lebih teruk kepada plaintif. - BERNAMA

ADUN DAP cadang jadikan Bahasa Inggeris bahasa rasmi kedua P Pinang


2010/11/08

GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini diminta mempertimbangkan cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua Pulau Pinang selaras dengan hasrat menjadikan negeri ini sebagai bandar antarabangsa pada masa hadapan.

Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) berkata, Bahasa Inggeris penting kerana ia linguafranca (bahasa antarabangsa) yang digunakan oleh kebanyakan negara di dunia.

"Saya tidak menolak Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, tetapi Bahasa Inggeris juga penting dan mohon kerajaan negeri pertimbangkan cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Pulau Pinang," katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Selain itu, Jagdeep juga mencadangkan agar kerajaan negeri menamakan beberapa jalan di negeri ini dengan nama pemimpin veteran dari Pakatan Rakyat (PR) sebagai mengenang jasa mereka dalam politik.

"Inisiatif ini telah dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu iaitu menamakan beberapa jalan dengan tokoh-tokoh politik seperti Jalan Yap Chor Ee. Sebagai contoh mungkin kita boleh namakan satu jalan di Butterworth dengan nama tokoh veteran dari PR," katanya.

Sementara itu, Tsim Tze Tzin (PKR-Pantai Jerejak) mencadangkan kerajaan negeri menggubal satu dasar bagi menggalakkan pembinaan rumah mampu milik bagi memastikan rakyat Pulau Pinang mempunyai kediaman sendiri yang selesa.

"Masalah yang berlaku ialah jurang antara rumah mewah dan rumah kos rendah adalah terlalu ketara iaitu harga rumah mewah terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah.
"Sedangkan rumah kos rendah keadaannya terlalu menyedihkan tetapi rakyat negeri ini tidak mepunyai pilihan, kita seharusnya lebih fokus untuk pembinaan rumah yang diperlukan oleh rakyat Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata setiap rumah mampu milik yang hendak dibina perlu mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM200,000.

Tsim turut mencadangkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) supaya lebih fokus kepada usaha membina rumah mampu milik dengan persekitaran yang selesa.

"Saya juga berharap Suruhanjaya Perumahan yang akan ditubuhkan memantau spekulasi harga jualan rumah dan menetapkan supaya satu rumah hanya boleh dijual sekali sahaja kepada setiap keluarga, ini bagi mengelakkan spekulasi harga," katanya. - BERNAMA

Laluan ke selatan tergendala akibat treler terbakar







2010/11/08
SEREMBAN: Laluan ke selatan di KM 253.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang mengalami kesesakan sepanjang tiga kilometer hampir dua jam tengah hari tadi, apabila sebuah treler terbabas, terbakar dan melintang di lorong ke selatan lebuh raya itu.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian tengah hari itu, treler membawa muatan kayu bergergaji sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Muar.

"Pemandu lori itu Mohd Khatib Ahmad, 26, tidak mengalami kecederaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya. Kejadian itu juga menyebabkan rombongan kereta rasmi yang membawa Presiden Austria, Dr Heinz Fischer untuk melakukan lawatan ke Melaka hari ini tergendala seketika.

Rombongan itu terpaksa menunggu hampir 20 minit untuk pasukan bomba memadamkan api sebelum mereka dibenarkan melepasi laluan itu.

Jurucakap PLUS berkata, keadaan pulih pada 2 petang apabila laluan itu dibuka semula. - BERNAMA

Khamis, November 04, 2010

Empat jam pertama: 50 peratus undi di Galas, 36 peratus di Batu Sapi

TERKINI @ 12:49:08 PM 04-11-2010
November 04, 2010
Penduduk Orang Asli di Pos Brooke dan Lojing berbaris untuk mengundi di pusat pengundian SK Pos Brooke. – Gambar oleh Choo Choy May
GUA MUSANG, 4 Nov — Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas merekodkan hampir 50 peratus pemilih telah keluar mengundi sepanjang empat jam pertama proses pengundian hari ini.

Maklumat diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan seramai 49.61 peratus atau 5,732 orang telah keluar mengundi di Galas sehingga 12 tengah hari.

Pengundian akan ditutup pada 5 petang.

Bagaimanapun peratusan itu tidak mengambil kira status pusat pengundian Pos Brooke, Hendrop, Belatim, Balar, Bihai dan Ladoi — yang melibatkan masyarakat Orang Asli ekoran masalah komunikasi.

SPR sedang mengendalikan pilihan raya kecil serentak di Galas dan Batu Sapi.

Pun begitu, di Batu Sapi, hanya 36.2 peratus atau 9,261 orang telah selesai menunaikan tanggungjawab mereka.

Terdahulu, SPR berkata, seramai 24.02 peratus ataupun 2,775 orang keluar mengundi sehingga pukul 10 pagi di Galas.

Bagaimanapun peratusan itu tidak mengambil kira status pusat pengundian Pos Brooke, Hendrop, Belatim, Balar, Bihai dan Ladoi - yang melibatkan masyarakat Orang Asli ekoran masalah komunikasi.

Dalam pada itu, di Batu Sapi seramai 23.05 peratus atau 5,897 orang keluar mengundi sehingga 10 pagi.

Hampir 10 peratus keluar mengundi di DUN Galas antara 8 dan 9 pagi tadi.

Mengikut maklumat SPR, seramai 9.93 peratus keluar mengundi di Gala sehingga 9 pagi.

Menurut SPR, seramai 14.68 peratus ataupun 3,756 orang telah keluar mengundi antara 8 dan 9 pagi di Batu Sapi.

Proses pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Galas di Gua Musang, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah bermula sebaik sahaja pusat pengundian dibuka pada 8 pagi.

Pertandingan di DUN Galas membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed manakala di Batu Sapi pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, Datuk Yong Teck Lee daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan Ansari Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Proses pengundian akan berakhir pada pukul 5 petang.

Di DUN Galas, pengundi sudah mula berbaris di pusat-pusat pengundian, dan antara mereka ialah pengundi Orang Asli yang tinggal sejauh sempadan Pahang-Kelantan di Lojing bersebelahan Cameron Highlands.

DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Penjumlahan undi akan dilakukan Pusat Sivik Gua Musang, di sini dan keputusan dijangka diumumkan pada 8 malam.

Sebanyak 13 pusat pengundian dibuka bagi pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, 10 pusat pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang, manakala dua lagi pusat pengundian masing-masing ditutup pada pukul 3 petang dan 4 petang.

Dua pusat pengundian itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Timbang yang mempunyai 984 pemilih dan ditutup pada 3 petang serta SK Segaliud dengan 785 pemilih dan ditutup pada 4 petang.

Seramai 24,047 pemilih biasa dijangka mengundi hari ini setelah pengundian pos diadakan pada Selasa dan semalam.

Sepuluh lagi pusat mengundi adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sandakan, SK Gas, SMK Batu Sapi, SK Kampung Bahagia, SJK (C) Pei Ying, SK Bandar Sandakan, SJK (C) Cheng Min, SK Karamunting, SK Bandar Dua dan Perpustakaan Sandakan.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi, di mana 15,099 atau 59.02 peratus adalah Bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus adalah Bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus ialah pengundi Cina dan 57 atau 0.22 pengundi kaum lain.

MENYUSUL LAGI



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails