Halaman

Sabtu, Ogos 07, 2010

Bapa Ditahan Disyaki Dera Anak Sehingga Mati


KUALA LUMPUR: Seorang bapa berumur 35 tahun ditahan kerana disyaki mendera anak lelakinya berusia 11 tahun sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Puchong Utama dekat sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan di Hopital Serdang kira-kira pukul 2 petang Jumaat.

"Lelaki itu telah menghantar anak lelakinya ke Hospital Ampang petang semalam apabila anaknya tidak sedarkan diri. Dia mengadu kepada pihak hospital bahawa punca anaknya tidak sedarkan diri disebabkan terjatuh," katanya.

Bagaimanapun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam semalam, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 18 anggota polis yang terlibat dalam kemalangan di Taman Putra Ampang di sini malam ini.

Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk disebabkan dipukul di kepala dan bahagian belakang badan.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berlainan seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui berbalut dengan kain putih di tepi stesen minyak Petronas Ulu Kelang di sini petang tadi.

Khalid berkata, bayi itu ditemui kira-kira 3.20 petang oleh sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di kawasan itu setelah mendengar tangisan bayi itu.

"Bayi itu dipercayai baru dilahirkan dan ia masih bertali pusat dan cukup sifat," kata Khalid.

Menurutnya, bayi perempuan itu berada dalam keadaan baik dan kini masih dirawat di Hospital Ampang.

"Kita belum dapat mengenal pasti keturunan bayi terbabit. Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini sila tampil dimana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," kata beliau.- BERNAMA

Bantah sambung kontrak Musa



SHAH ALAM – Tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, yang akan berakhir pada 12 September ini tidak wajar disambung.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayob berkata, pelapis baru perlu diberi peluang menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai menggantikan jawatan KPN sekarang.

Menurutnya, ini bagi memberi peluang kepada orang kanan PDRM membawa perubahan dan motivasi yang lebih segar dalam pentadbiran PDRM agar lebih kukuh dan ke hadapan.

“Tanpa sebarang sentimen, saya berpendapat adalah wajar tidak ada sambungan kontrak bagi membuka peluang kepada pemimpin baru yang akan membawa kreativiti untuk memajukan bahagian itu (PDRM),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau tidak menafikan KPN mempunyai sumbangan kepada negara ini dan berpendapat apabila seseorang sudah menghampiri umur persaraan adalah wajar tidak ada penyambungan kontrak.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pula berkata, beliau dan beberapa ahli parlimen lain dalam Pakatan Rakyat (PR) sedang membuat perbincangan untuk mengemukakan bantahan awal pembaharuan kontrak KPN sebelum perkara itu diputuskan.

Menurutnya, bantahan itu sama ada dalam bentuk petisyen atau pun memorandum kepada pihak-pihak yang berkenaan.

“Banyak faktor yang tidak melayakkan beliau (Musa) daripada menyambung kontraknya. Kita akan membuat bantahan ini atas beberapa sebab, khususnya yang berkaitan tahap keselamatan negara ini sepanjang berada di bawah kepimpinan beliau (Musa).

“Hakikatnya, kes jenayah di Malaysia menunjukkan peningkatan tinggi, walaupun kerajaan mengumumkan kejatuhan kadar jenayah,” katanya.

Lip Eng berkata, kenyataan yang dikeluarkan PDRM berkenaan kadar jenayah di negara ini semakin menurun adalah tidak benar.

Menurutnya, statistik PDRM hanya berdasarkan laporan yang dibuat orang ramai kepada polis tanpa mengambil kira kes yang tidak dilaporkan.

“Saya berani cabar kerajaan atas kenyataan ini. Kerajaan boleh mendapatkan maklum balas daripada rakyat sehingga ke peringkat akar umbi untuk membuktikan statistik penurunan jenayah mereka itu betul atau tidak. Dengan cara ini kita boleh tahu statistik mereka (PDRM) atau statistik rakyat yang lebih betul.

“Saya yakin statistik dikeluarkan PDRM tidak tepat kerana ia berdasarkan laporan semata-mata. Orang awam sudah kecewa dan tidak mahu membuat laporan polis,” katanya

Lelaki ditemui mati tergantung di dahan pokok



SETIU – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung pada dahan sebatang pokok di belakang rumahnya di Kampung Selamat, Sungai Tong, di sini, pagi semalam.

Mayat lelaki berusia 27 tahun itu ditemui anak saudaranya, Mohd Daniel Akhbar Abdul Karim, 7, kira-kira jam 7.30 pagi sebelum dia memaklumkan kepada anggota keluarganya.

Ibu mangsa, Esah Mamat, 68, berkata, kali terakhir dia menemui anaknya pada petang kelmarin dan ketika itu mangsa tidak menunjukkan sebarang tingkah laku pelik berbanding hari-hari sebelumnya walaupun mengalami masalah tekanan mental.

“Dia bukan seorang pesakit mental kronik, tetapi hanya mengalami tekanan dengan kehidupannya. Saya berkata demikian kerana dia (mangsa) selalu meluahkan perasaan simpati terhadap saya kerana masih bekerja pada usia ini.

“Dia bersimpati tidak dapat membantu keluarga kerana selama ini semua keperluannya ditanggung termasuk duit rokok, tetapi saya tidak menduga dia sanggup bertindak sedemikian,” katanya.

Mangsa, anak ke-11 daripada 12 beradik dikesan mengalami masalah mental sejak lahir dan dihantar ke sebuah pusat rawatan di Hulu Terengganu secara berjadual sejak dua tahun lalu untuk menjalani rawatan, termasuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan.:

Esah yang bekerja sebagai tukang urut berkata, sebelum kejadian, arwah anaknya ada meluahkan hasrat untuk bekerja di Johor dan meminta wang sebanyak RM200 sebagai tambang dan bagi menampung perbelanjaannya ketika berada di sana.

“Suaranya seolah-olah masih kedengaran di cuping telinga saya. Apa tidaknya dia (arwah) baru meluahkan hasratnya untuk ke Johor sehari sebelum kematiannya. Dia (arwah) hendak pergi (Johor) kerana kesiankan saya dan hendak bantu keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Esah memberitahu, dia tidak dapat memenuhi hasrat anaknya kerana tidak mempunyai wang selain enggan membenarkan dia pergi kerana faktor kesihatan tidak mengizinkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

Shaik Othman berkata, polis masih menjalankan siasatan tetapi percaya punca kematian mangsa bermotifkan bunuh diri dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa.

Cuepacs minta JPA semak kaedah peperiksaan PTK



KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang mengemukakan memorandum kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyemak semula peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi memastikan ia relevan dengan hasrat kerajaan.

Presidennya, Omar Osman berkata, berdasarkan maklum balas yang diterimanya, matlamat PTK tidak tercapai sepenuhnya selain boleh mengekang aspirasi kerajaan di bawah Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Daripada apa yang kita dapat, ramai penjawat awam tidak berpuas hati dengan PTK kerana ada yang cemerlang melaksanakan tugas hakiki tetapi tidak diiktiraf prestasi mereka kerana gagal melepasi syarat PTK.

"Dalam pada itu, ada pula yang tidak seberapa (prestasi) tapi disebabkan lulus PTK, dinaikkan pangkat. Ini menyebabkan yang lain patah semangat khususnya mereka yang tidak lulus," katanya kepada Bernama.

Diperkenalkan pada November 2002, peperiksaan PTK bertujuan menghapuskan budaya mengampu ketua jabatan dan memastikan hanya yang layak menerima pengiktirafan.

Selain itu, katanya, pelaksanaan PTK juga tidak selaras kerana bukan semua jabatan kerajaan menjalankan peperiksaan sebaliknya menghantar penjawat berkursus dan melakukan pembentangan yang disifatkan lebih sesuai dengan taraf profesionalisme yang diinginkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kalau difikirkan, bila masa mereka mahu mengulang kaji sedangkan pada masa yang sama mereka juga perlu melaksanakan tugas hakiki selain menguruskan hal peribadi. Malah saya difahamkan ada yang mengabaikan tugas untuk mengulang kaji semasa waktu kerja semata-mata untuk lulus PTK," katanya.

Omar berkata budaya mengampu ketua jabatan boleh diatasi jika urusan anjakan gaji dan kenaikan pangkat dikendalikan oleh satu jawatankuasa yang tidak berkepentingan.

"Jabatan boleh melantik dua atau tiga orang yang tidak berkepentingan untuk menilai prestasi warganya, iaitu ketua jabatan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk kenaikan pangkat," katanya.

Omar juga tidak menolak pandangan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan PTK turut melibatkan pembaziran masa dan kos kerana mereka yang berkenaan harus mengikuti kursus sebelum menduduki peperiksaan, selain kos untuk mengendalikan PTK itu sendiri.

Lelaki ditahan miliki 10 kotak mercun di Mentakab



TEMERLOH - Polis menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM10,000 dalam pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Besar, Taman Tualang Indah, Mentakab.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, dalam pemeriksaaan 1.30 tengah hari semalam, polis menemui 10 kotak pelbagai saiz dan jenis mercun serta bunga api yang disorok di bahagian belakang kenderaan itu.

"Polis percaya mercun berkenaan akan dijual untuk pasaran sekitar Temerloh dan Mentakab sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Beliau berkata, pemandu dan pemilik kenderaan berusia 32 tahun yang berasal dari Johor Baharu itu turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Wujudkan zon sensitif ekologi



JOHOR BAHARU - Kerajaan perlu mewujudkan zon sensitif ekologi bagi semua sungai di negara ini untuk memulihara hidupan liar yang terancam dan alam semula jadi.

Profesor Sains Kaji Hayat Universiti Sains Malaysia, Dr Mashhor Mansor berkata, zon terbabit mestilah bebas daripada sebarang pencemaran alam sekitar, kemerosotan habitat, perubahan dan pemusnahan bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap spesies yang terancam.

“Kami bukan hanya bercakap mengenai pokok tetapi pokok yang menghasilkan buah atau benih yang boleh dimakan oleh mamalia, burung dan ikan.

"Begitu juga, kami bukan hanya bermaksud air apabila kami bercakap tentang sungai tetapi riak-riak di permukaan air, kejernihan, batu-batu dan mikro-organisme,” katanya. - Bernama

Rumahtangga Raja Azura bergolak



SHAH ALAM - Desas-desus pergolakan rumahtangga Raja Azura dan suaminya yang menjadi perhatian ramai sejak akhir-akhir ini ternyata benar apabila penyampai radio Sinar FM ini sendiri mengakui berusaha menyelamatkan rumahtangga yang telah sembilan tahun terbina.

Bagaimanapun, Raja Azura atau nama penuhnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, menafikan kunjungannya ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam Selasa lalu adalah untuk memfailkan penceraian.

:Sebaliknya kedatangannya bersama suami, Adzmin :Tan Sri Osman, 37, hanyalah untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Raja Azura berkata, selepas sembilan tahun mendirikan rumahtangga, dia tidak menafikan ada sedikit salah faham yang berlaku, tetapi perkara itu adalah lumrah kepada sesiapa sahaja yang bergelar suami isteri.

“Saya ibaratkan rumahtangga kami seperti sebatang jalan raya yang sudah banyak lubang-lubang. Suami saya pula sebagai kontraktor yang memainkan peranan untuk memikirkan bagaimana untuk menutup lubang-lubang tersebut,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Astro, Bukit Jalil, semalam.

:Tambahnya, jalan terbaik untuk menangani masalah rumahtangga adalah dengan menemui mereka yang arif dalam bidang agama bagi mendapatkan nasihat.

“Saya mengaku pergi ke Mahkamah Syariah, tetapi hanya untuk mendapatkan khidmat kaunseling mengenai rumahtangga kami.

“Selepas sesi kaunseling kali pertama itu, akan ada lagi sesi kedua. Selepas itu kita tengoklah hasil yang akan diperoleh berdasarkan kaunseling tersebut,” katanya yang menjalani sesi kaunseling itu secara tertutup.

Tambah Raja Azura lagi, dia bukannya sengaja mahu menyembunyikan perkara itu, jauh sekali mahu melarikan diri daripada media. Sebaliknya mahu berbincang dengan suami terlebih dahulu agar kenyataan yang diberikan tidak melukakan hati mana-mana pihak.

“Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan secara melulu. Saya sedaya upaya mahu menjaga hati semua pihak, terutamanya hati suami dan ayah mertua saya.

“Saya takut bila banyak cakap, keadaan yang mula jernih akan menjadi keruh semula. Harapan saya rumahtangga yang telah sembilan tahun dibina ini dapat diperbetulkan seperti sedia kala,” katanya.

Malah Raja Azura berkata beliau masih tinggal sebumbung dengan suaminya dan mereka menjalankan peranan sebagai suami isteri seperti biasa.

“Sebelum saya adakan sidang media ini pun suami ada hantar mesej kepada saya. Dia kata “good luck”. Semalam pun (Khamis) saya memasak untuknya macam biasa,” katanya.

Tambahnya lagi, seboleh-bolehnya dia dan Adzmin tidak mahu mempamerkan kekeruhan di hadapan anak-anak dengan harapan agar keharmonian rumahtangga akan terus terpelihara.

“Baru-baru ini kami ada bercuti dan meluangkan masa bersama di Port Dickson. Selain meluangkan masa dengan anak-anak, kami juga berbincang bagaimana untuk menyelamatkan rumahtangga kami.

“Bagi saya jika kita dapat membuang ego jauh, saya tidak nampak apakah sebab utama untuk bercerai. Saya yakin rumahtangga kami akan dapat diselamatkan. Insya-Allah,” katanya.

:Pengacara program Ewah-Ewah itu berkahwin dengan Adzmin, iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof, pada bulan Mac 2001. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak, iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7 dan Puteri Mia Maizurah, 4.

Tertuduh kes dadah meninggal dunia dalam mahkamah

KUANTAN - Mahkamah Majistret Kuantan hari ini, kecoh apabila seorang tertuduh yang sedang menunggu kesnya disebut, tiba-tiba rebah dan meninggal dunia.

Kejadian berlaku pada 8.15 pagi apabila Wan Khairul Azizi Wan Ali, 34, rebah di pangkuan abangnya yang bernama Wan Khairul, 35.

Bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Ali, 67, berkata bahawa selepas rebah, abang kepada Wan Khairul Azizi memangkunya di atas riba sambil mengurut-urut dadanya itu.

"Beberapa minit kemudian dia meninggal dunia," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

Wan Khairul Azizi direman di Penjara Penor di sini sejak 12 Mei lepas kerana kesalahan memiliki dadah.

Wan Ali berkata, beliau dimaklumkan bahawa pada hari ini keputusan ujian air kencing anaknya telah siap dan anaknya itu dibawa ke mahkamah untuk dibacakan pertuduhan.

"Saya terkejut apabila melihatnya dalam keadaan lemah sebaik keluar dari lokap mahkamah. Bentuk badan dia berbeza semasa mula-mula ditangkap. Dulu dia berisi sedikit tetapi sekarang terlalu kurus," katanya.

Beliau berkata, pihak penjara tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai keadaan kesihatan anaknya itu.

Wan Khairul pula berkata, beliau nampak adiknya terlalu nazak dan cuba memangkunya sambil mengurut dada.

"Arwah pula sejak dibawa masuk ke dalam mahkamah tidak bercakap sepatah pun," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails