Halaman

Ahad, Februari 28, 2010

Tendang macam bola


KUALA KUBU BHARU: “Dia tendang budak itu macam bola dan langsung tak pedulikan jeritan orang ramai yang melarangnya,” kata Ahmad Fikri Khalis, 19, yang menyaksikan Syafia Humairah Sahari, 3, dibelasah sehingga mati di padang bola sepak di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini, petang kelmarin.(Harian Metro).

Dimanakah perasaan kasih-sayang, belas kasihan, budi pekerti terutama kepada kanak-kanak yang tidak berdosa dan tidak mengerti apa-apa melainkan hanyalah keseronokan bermain-main sahaja. Usia yang sebegini hanya tahu makan, minum dan bermain sahaja. Apabila mereka lapar, mereka akan meminta makanan atau susu dari ibunya. Setelah penat bermain mereka akan terus tidur walau dimana sekali pun tempatnya. Bangun dari tidur mereka ini akan terus bermain-main. Tiada tahu erti masalah hidup dalam fikiran mereka. Inilah yang dikatakan kanak-kanak.

Setiap hari kehidupan mereka penuh dengan riang ria, gelak ketawa, menangis jika tidak mendapat apa yang dihajati dan bermain-main apa saja yang disukai. Namun begitu semua gelagat kanak-kanak ini memberi satu yang sangat mengembirakan hati ibu-bapa dengan telatah mereka. Kebahagiaan wujud dalam rumahtangga yang mempunyai anak-anak yang comel. Keriuhan dalam sesebuah rumah dengan telatah anak-anak yang sebegini sangat dirindui oleh ibu-bapa yang telah mempunyai anak yang dewasa. Perasaan sayang dan kasih kepada mereka merupakan suatu yang tidak boleh dipisahkan.

Malangnya ada orang yang mempunyai sifat-sifat yang melebihi sifat kebinatangan kerana sanggup memukul dan mencederakan kanak-kanak yang tidak berdosa ini. Apakah perasaan belas kasihan sudah terkubur dalam diri dan hanya wujud sifat-sifat kesyaitanan sahaja? Apakah dengan melakukan demikian , dirinya merasa sungguh puas? Apakah dia tidak takut kepada hukuman dan undang-undang yang ada? Paling penting, apakah dia tidak tidak takut dengan pembalasan Allah di hari akhirat kelak dengan perlakuan yang sedemikian?

Peristiwa sedih ini berlaku hanya selepas sehari kita menyambut hari kelahiran junjungan besar kita Rasulullah. Kita tidak mengambil iktibar dari ajaran yang dibawa oleh baginda. Baginda menjadi contoh ikutan sepanjang zaman dalam kehidupan. Inilah akibatnya apabila manusia itu jahil dan tidak mahu menuntut ilmu sehinggakan tidak dapat mengawal nafsu dan perasaan mereka. Oleh itu marilah sama-sama kita menginsafi diri kita samada kita sudah mencari ilmu, sudah mengamalkan dan menghayati ilmu yang telah dipelajari. Jika belum jadikanlah hari kelahiran nabi Muhammad ini sebagai titik tolak kita untuk berubah.

Jumaat, Februari 26, 2010

Gempa bumi kecil di Lahad Datu


Satu gempa bumi lemah berskala 3.1 pada skala Richter berlaku di Lahad Datu, Sabah awal pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Berikutan gempa bumi yang berpusat di latitud 5.3 Utara dan longitud 118.2 Timur, gegaran kecil berkemungkinan dirasai di sekitar Lahad Datu, menurut kenyataan jabatan itu.

Jabatan itu berkata pihaknya akan terus memantau keadaan tersebut.- BERNAMA


Fenomena kejadian alam seperti gempa bumi ini adalah peringatan daripada Allah kepada manusia supaya kembali kepada fitrahnya. Amaran dan peringatan ini perlulah diberi perhatian oleh semua agar tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi ini samada secara langsung atau tidak langsung. Allah menjadikan bumi untuk manusia adalah sebagai khalifahnya untuk mengurus dan memakmurkannya mengikut perintah Allah. Amanah sebagai khalifah ini adalah suatu yang sangat berat untuk dilaksanakan. Oleh itu apabila Allah meminta mahluk yang lain seperti gunung-ganang untuk memikulnya maka tidak disanggupi olehnya tetapi hanya manusia sahaja yang sanggup menerima amanah ini.


Namun apabila manusia diberi tanggungjawab, didapati ramai manusia yang menyeleweng dan tidak jujur dalam melaksanakan amanah tersebut. Berbagai kerosakan samada secara fizikal atau lainnya dilakukan oleh manusia semasa menguruskan bumi ini. Sifat tamak haloba, rakus mengejar pembangunan dan kebendaan mengakibatkan berlakunya kerosakan. Akhirnya muka bumi yang bergunung-ganang menjadi satu dataran yang botak. Pasak-pasak bumi telah diruntuhkan sehingga keseimbangan bumi menjadi tidak stabil. Semuanya atas nama pembangunan dan kemajuan dunia.


Allah telah memberi peringatan kepada manusia supaya tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Sekiranya dilakukan juga, tunggulah kehancuran dunia pasti berlaku. Kejadian gempa bumi, tsunami, ribut taufan, bencana banjir, kebakaran dan sebagainya adalah suatu peringatan Allah kepada kita. Apakah kita tidak mahu mengambil iktibar dan berfikir tentang perkara tersebut? Adakah kita masih mengatakan semua kejadian itu adalah bencana alam semulajadi? Oleh itu marilah kita sama-sama insaf dan kembali semula kepada perintah Allah dalam melaksanakan tugas sebagai khalifahnya di atas muka bumi ini.



Teladani sifat terpuji Rasulullah: Najib



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam mencontohi dan mengambil teladan empat sifat Nabi Muhammad iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia adalah ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan.

Perdana Menteri berkata, empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasikan bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif.


"Maka sudah tentu pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlu berusaha memiliki sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan," kata Najib dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah, hari ini.

Najib berkata, agenda Rasulullah yang memperkukuh institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah secara progresif sewajarnya disuntik ke dalam setiap denyut nadi umat Islam agar terus terpahat kukuh sepanjang zaman.

“Begitulah hebatnya kegigihan Rasulullah dalam mendidik umat yang pada peringkat awalnya adalah masyarakat jahil, bersengketa dan berpecah-belah akhirnya bersatu padu dan bersatu hati.

"Oleh itu, sempena kita memperingati Maulidur Rasul, bersamalah kita merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang utuh lagi kukuh," katanya.

Najib juga berkata, dalam sirah perjuangan Rasulullah, tiada kejayaan yang mudah diperoleh Baginda dan sahabat melainkan melalui perancangan, perundingan dan pelaksanaan yang penuh strategi dan konsisten.

Peristiwa Peperangan Khandak misalnya membuktikan Rasulullah dan sahabat Baginda menggunakan minda yang efektif melalui mesyuarat untuk merancang dan bertindak secara kolektif dan kreatif melalui kepelbagaian strategi.

Maka dalam peperangan itu, tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah berjaya mengalahkan musuh, katanya.

Najib berkata, sebaliknya dalam peperangan Uhud, oleh kerana pasukan Baginda tidak berdisiplin dan tiada perancangan sistematik, mereka menerima kekalahan.

“Sesungguhnya Allah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya perancangan yang strategik dalam menentukan kejayaan.

“Iktibarnya, kita juga memfokuskan beberapa perancangan dan misi besar untuk memaju dan memakmurkan negara,” katanya.

Katanya, bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Wawasan 2020.

"Gagasan 1Malaysia akan memacu bangsa Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020, manakala MEB dan RMK-10 adalah komitmen serta landasan terakhir kita untuk dinakhodai 10 tahun akan datang sebelum menjelangnya 2020,” katanya. - Bernama

Pelajar perempuan dalang pecah rumah keluarga


JERTEH: Seorang pelajar perempuan yang ketagih menonton rakaman klip video lucah yang dibeli daripada dua rakannya sehingga berhutang lebih RM1,000 bertindak nekad membenarkan rumahnya di Jalan Haji Wan Latiff, di sini, dirompak rakannya itu bagi melunaskan hutang. (Berita harian)

Apabila hawa nafsu menguasai akal, maka mudahlah berlakunya perbuatan-perbuatan yang tidak baik dan mungkar. Perbuatan maksiat dan mungkar ini terjadi kerana kurangnya pendidikan agama pada seseorang itu. Dalam Islam, pegangan agama dapat menghindarkan diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik seperti menonton video lucah dan sebagainya.

Didikan agama ini bermula daripada seseorang itu berada dalam kandungan ibu lagi. Walaupun ia masih berada di alam rahim ibu, seseorang itu telah mula belajar dan memahami persekitarannya. Ibulah yang perlu melakukan perkara-perkara yang baik semasa mengandungkan anaknya. Jika seorang ibu itu apabila mengetahui dia hamil, Islam mengajar supaya dia banyak membaca al-Quran, berzikir dan bermunajat agar Allah memudahkanya semasa mengandung dan melahirkan anak nanti. Disamping tidak meninggalkan sembahyang dan mengerjakannya seawal masuk waktu.

Inilah amalan-amalan yang disarankan kepada ibu-ibu yang hamil. Dengan membuat amalan seperti banyak membaca al-Quran, anak dalam kandungan juga mendapat manafaat dan setelah dilahirkan nanti akan menjadi anak yang soleh. Sebaliknya jika semasa mengandung, ibu hamil banyak melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton televisen sahaja, nescaya anak yang dilahirkan kelak juga akan mengikut jejak langkah ibunya.

Apabila dilahirkan anak itu sebenarnya mula menggunakan semua pancainderanya dalam memahami dan belajar suasana persekitaran. Oleh itu ibu-ibu hendaklah mendidik bayi ini dengan banyakkan berzikir atau mengucapkan kalimah Allah. Janganlah mendodi bayi di dalam buaian dengan lagu-lagu yang tidak berfaedah. Sebaliknya hendaklah didendangkan bayi ini dengan nasyid Asma ulhusna, zikir-zikir dan tahlil supaya tertanam kekuatan aqidah semasa bayi lagi. Semua yang didengar oleh bayi itu sebenarnya difahami dan akan diingati apabila mereka besar kelak.

Setelah berumur 3 hingga 6 tahun, hendaklah diajar membaca al-Quran dan memahami ibadat-ibadat yang diperintah oleh Allah seperti sembahyang. Hendaklah disuruh mengerjakan sembahyang dan ibadat lain setelah mula berusia 7 tahun. Disamping itu juga diajar perkara-perkara yang diperintah oleh Allah dan diterangkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dalam kehidupan.

Sembahyang adalah ibadat yang wajib dilakukan. Oleh itu anak yang berumur 10 tahun jika tidak mengerjakan sembahyang boleh dirotan dan jika ingkar juga ketika berumur 15 tahun, dia boleh dihalau keluar dari rumah. Ini yang diajar oleh Islam yang menunjukkan sembayang itu sangat penting dalam kehidupan.

Melentur buluh biarlah dari rebung. Maka didikan agama hendaklah bermula dari peringkat dalam kandungan ibu lagi sehinggalah seseorang itu baligh. Ilmu fardhu Ain hendaklah lengkap sebelum seseorang itu mencapai usia baligh. Andainya ia dapat kita selesaikan maka tugas dan tanggungjawab sebagai ibu-bapa sudah terlepas daripada bahu kita. Akhirnya jika semua anak-anak mendapat didikan agama yang secukupnya maka perkara-perkara seperti di atas boleh di atasi.

Khamis, Februari 25, 2010

Dua peragut dirempuh lori


GOMBAK: Umpama perbuatan dosa yang menerima balasan serta-merta, dua peragut yang cuba melarikan diri sejurus melakukan samun dirempuh sebuah lori sebelum terhumban bergelimpangan di atas jalan raya.

Difahamkan, kedua-dua suspek yang menunggang motosikal hanya mampu meloloskan diri sejauh dua kilometer sebelum dilanggar sebuah lori di Rawang, semalam.

Perbuatan yang baik atau jahat, lambat laun akan menerima pembalasan jua akhirnya. Jika ia tidak dibalas semasa di dunia, pembalasan akan berlaku di akhirat. Beruntunglah orang- orang yang banyak amalan-amalan soleh semasa hidupnya di dunia ini dan rugilah mereka yang melakukan maksiat sepanjang kehidupannya.

Untuk terus hidup, kita mestilah mencari rezeki yang halal dengan bekerja samada dengan orang atau sendiri. Dari rezeki itu kita membeli makanan, pakaian dan sebagainya. Rezeki yang halal walaupun sedikit mempunyai keberkatan. Hidup menjadi tenang, aman dan tenteram. Tambahan pula jika rezeki tersebut menjadi nafkah dan perbelanjaan buat anak dan isteri serta keluarga di rumah. Hasilnya keluarga bahagia akan terbentuk dalam sebuah rumahtangga.

Namun begitu jika rezeki yang diperolehi datangnya dari hasil haram seperti meragut dan sebagainya. Sudah tentu ianya tidak ada keberkatan. Bahkan jika digunakan untuk memberi nafkah kepada keluarga, kesannya suasana dalam berumahtangga menjadi tidak tenteram.
Apatah lagi duit yang digunakan untuk membeli barangan seperti makanan dan sebagainya juga menjadi haram.

Setiap daging yang tumbuh dari hasil yang haram, tempatnya di dalam neraka. Oleh itu jauhilah diri kita dari mendapat rezeki dari sumber yang haram. Dalam keadaan hari ini, ada manusia yang mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang tanpa mengira halal atau haram. Akhirnya berlakulah kejadian seperti meragut, mencuri, merompak, melacur dan sebagainya.

Antara sebab perkara ini berlaku ialah kurangnya pegangan dan amalan beragama di kalangan mereka ini. Agama dianggap penghalang kepada kehidupan. Desakan hidup yang memerlukan wang setiap hari menjadikan mereka mengabaikan ajaran dan perintah agama. Tidak takut kepada pembalasan Tuhan di akhirat kelak juga sebab-sebab kejadian meragut. Tambahan pula hukuman yang dikenakan tidak memadai dan tidak dapat memberi pengajaran kepada mereka.

Malangnya, apa yang menyedihkan ialah kesannya kepada mangsa-mangsa peragut . Ramai yang mengalami truma dan kecederaan yang serius akibat perbuatan mereka. Malah ada yang maut dan mengalami kecacatan yang tidak dapat dipulihkan sepanjang hayat.

Barangkali inilah hasil pendidikan yang diperolehi oleh pelajar masa kini . Mereka ini tidak mendapat pendidikan yang sebaik mungkin sehingga apabila tamat persekolahan berani dan sanggup melakukan perbuatan sedemikian. Apakah fenomena ini boleh kita tujukan kepada guru-guru di sekolah sahaja atau pihak-pihak tertentu sahaja? Sama-samalah kita fikirkan.






DUA WANITA MENGANDUNG KORBAN TERBARU DENGGI


KUALA LUMPUR: Dua kematian akibat demam denggi membabitkan wanita mengandung, dilaporkan dalam tempoh 14 hingga 20 Februari, menjadikan jumlah kematian tahun ini meningkat kepada 25 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kes demam denggi bagaimanapun dilaporkan menurun kepada 935 kes berbanding 1,059 kes minggu sebelumnya.

Penyakit yang datang semuanya dari Allah. Manusia dapat hidup di dunia ini pun adalah dengan sifat RAHMAN yang ada pada Allah. Oleh itu segala apa yang berlaku kepada kehidupan manusia sudah tentu adalah dengan izinNya. Maka sebagai hamba Allah sewajibnyalah kita sentiasa merujuk diri kita kepada Allah dalam segenap tindak tanduk, perlakuan dan perbuatan serta perkataan yang diucapkan agar tidak bercanggah dengan larangan Allah.

Sekiranya ia bertepatan dengan perintah Allah, hendaklah kita laksanakan tanpa ragu-ragu lagi. Andainya ia merupakan larangan Allah maka hendaklah kita tinggalkan dan ada rasa benci untuk melakukannya. Allah telah memberi amaran kepada manusia supaya menjauhi perkara-perkara yang berbentuk maksiat. Jika kita terus melakukannya nescaya Allah akan menurunkan bala' kepada kita. Bala yang turun kepada manusia adalah denga berbagai bentuk dan antaranya adalah dalam bentuk penyakit.

Penyakit denggi juga mungkin adalah satu bala' dari Allah kepada kita. Walaupun kita boleh mengatakan wujudnya penyakit ini disebabkan kesilapan dan kesalahan kita yang tidak menjaga kebersihan alam sekitar di kawasan rumah kita. Namun hakikatnya penyakit ini dijadikan oleh Allah kepada kita sebagai satu peringatan buat orang yang berakal. Allah tidak sengaja menjadikan sesuatu itu saja-saja. Bahkan setengahnya adalah untuk memberi amaran kepada manusia supaya insaf dan kembali semula kepada mentaati perintah-perintah Allah dan menjauhi segala larangannya.

Sekiranya bala' Allah turun ke atas muka bumi ini, maka ia akan menimpa semua orang yang ada di sana tanpa mengira samada mereka itu tergolong dalam golongan yang baik atau sebaliknya. Semuanya akan dimusnahkan. Oleh itu menjadi kewajiban bagi orang yang taat kepada perintah Allah memberi nasihat, menegur dan mencegah golongan. yang jahat agar tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Jika mereka ini duduk diam dan tidak melaksanakan amar maaruf nahi mungkar nescaya bala' yang diturnkan oleh Allah juga akan menimpa mereka.

Namun begitu, orang-orang yang baik dan taat kepada perintah Allah ini yang turut ditimpa bala' dan mati akan dibangkitkan oleh Allah mengikut keadaan dan niatnya. Andainya mereka itu orang yang beriman, maka mereka akan mendapat balasan yang baik di akhirat kelak walaupun mereka terkorban bersama-sama dengan orang yang ingkar dan berbuat maksiat.

Oleh itu wabak penyakit denggi yang berlaku pada hari ini hendaklah kita jadikan sebagai tanda amaran Allah kepada kita semua agar menjauhi segala larangan Allah yang ditetapkan olehNya.



TINTA PERTEMUAN

Asslamualaikum. Salam pertemuan kepada semua yang membaca blog saya ini. Semoga segala bentuk perbincangan yang dibuat akan ada manafaatnya. Dalam meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini, ilmu amat penting sekali. Maklumat-maklumat yang baik, yang dipaparkan juga merupakan sebahagian daripada ilmu yang perlu dikutip dan diketahui. Oleh itu ambilllah apa sahaja yang bermanafaat dan berguna untuk kita semua agar hidup kita di dunia dan di akhirat kelak mencapai kebahagian hendaknya dan diberkati Allah. Wassalam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails